kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Langkah kanan jadi hab pendidikan serantau

Pernahkah anda tertanya: Apakah pendapat rakyat di negara lain mengenai pengajian tinggi Malaysia? Baru-baru ini ketika saya mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat lawatan kerja ke Abu Dhabi (Emiriah Arab Bersatu - UAE), Kazakhstan dan China, banyak pihak yang memuji keupayaan dan pencapaian pengajian tinggi di Malaysia.

Di Abu Dhabi, misalnya kami disambut oleh seorang pegawai kerajaan yang dahulunya belajar di Universiti Malaya. Beliau menyambut kami dengan ucapan “Assalamualaikum! Selamat datang!” dengan penuh bersemangat. Beliau memberitahu saya bahawa Malaysia adalah destinasi pengajian tinggi yang menarik kepada rakyat di Asia Barat dan ramai anak muda berkejar untuk belajar di Malaysia. Selain kos yang berpatutan, keistimewaan Malaysia datangnya daripada pendekatan dalam agama Islam yang moderat/wasatiyyah membebaskan Malaysia daripada masalah ekstremisme.

Beliau merasai ‘ketenangan rohani’ ketika belajar di Malaysia. Ujarnya, walaupun kadangkala ada ketegangan antara kaum, namun ia bukanlah masalah besar dan beliau selalu menyertai rakan Universiti Malaya berbangsa Melayu, Cina dan India di kedai mamak. Makanan kegemaran? Nasi lemak ayam goreng. Rakyat Malaysia, katanya, harus bersyukur dengan keamanan yang ada.

Begitu juga apabila saya mengiringi Perdana Menteri melawat Kazakhstan, negara ke-9 terbesar dunia. Dengan populasi kira-kira 18 juta orang, 70 peratus beragama Islam, 23.9 peratus Kristian Ortodoks dan 6.1 peratus lain-lain agama, negara itu agak sama dengan Malaysia. Begitu hormat mereka kepada Malaysia sehinggakan ibu negeri dimajukan seperti Putrajaya!

Di Kazakhstan, saya tidak menyangka begitu ramai orang berpandangan tinggi sistem pengajian



Universiti Malaya berada dalam kumpulan sama dengan universiti terkemuka dunia seperti New York, Duke dan Columbia dalam rating 5 bintang QS Intelligence Unit.
di Malaysia. Menariknya, saya sempat bersembang dengan seorang rakyat Kazakhstan yang bekerja di Kedutaan Malaysia di sana. Menurutnya, beliau pernah melanjutkan pengajian di Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya. Baginya dan rakan-rakannya, Malaysia negara stabil dan progresif dan beliau sangat yakin Malaysia akan menjadi antara destinasi pengajian tinggi paling popular untuk pelajar dari Asia Tengah. Setakat ini kita mempunyai lebih 1,700 pelajar Kazakhstan yang melanjutkan pengajian di Malaysia. Dari Asia Tengah sahaja, bilangannya kira-kira 2,500 dan semakin meningkat.

Di Kazakhstan juga saya sempat berjumpa dengan rektor sebuah universiti pertanian yang juga mantan Menteri Pendidikan di negara bekas Kesatuan Soviet itu. Beliau berterus-terang mengatakan mahu datang ke Malaysia dalam masa terdekat untuk belajar dan memantapkan penguasaan bahasa Inggerisnya. Beliau teruja dengan kefasihan bertutur dalam bahasa Inggeris ahli perniagaan dan pegawai awam Malaysia yang ditemui.
Selepas meneliti banyak negara, beliau berpendapat Malaysia destinasi terbaik yang memenuhi segala keperluannya untuk belajar bahasa Inggeris.

Pengalaman di Malaysia sangat positif

Di China, saya sebahagian daripada rombongan Perdana Menteri dalam acara sambutan hubungan diplomatik 40 tahun. Saya sempat juga bertemu seorang rakyat China bernama Xu Zhen, bekas graduan Kolej Damansara Utama, Pulau Pinang, yang sudah lebih 10 tahun bekerja di Education Malaysia di Beijing. Beliau memberitahu saya bahawa pengalaman belajar di Malaysia sangat positif dan ini mendorong beliau terus berkhidmat mempromosikan pengajian tinggi Malaysia di tanah airnya. Beliau amat merindui Malaysia, tetapi satu rungutan beliau adalah keenakan pelbagai makanan tempatan menyebabkannya naik berat badan sebanyak 10 kilogram yang sehingga kini sukar dikurangkan!

Semangat Xu Zhen saya dapat lihat pada alumni Universiti Malaysia seperti Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, SEGi, dan UCSI, yang saya temui di suatu karnival pendidikan di Beijing yang mana dianggarkan dikunjungi lebih 100,000 orang. Mereka begitu memuji Malaysia dan percaya bahawa peluang melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia haruslah diketahui. Oleh itu, mereka secara sukarela pula mempromosikan negara kita sebagai hab pendidikan serantau kepada pengunjung karnival pendidikan berkenaan, walaupun sudah lama meninggalkan Malaysia.

Antara tahun 2012 dan 2013, ada peningkatan kemasukan pelajar China ke Malaysia sebanyak 73 peratus. Sehingga tahun ini, lebih daripada 6,800 pelajar China di Malaysia.

Secara keseluruhannya, ada kira-kira 123,000 pelajar antarabangsa di Malaysia daripada 163 negara. Kerajaan mensasarkan 200,000 pelajar menjelang tahun 2020. Menurut laporan, Malaysia adalah destinasi pendidikan ke-11 terhebat dunia. InsyaAllah, kita akan bertambah baik.

Universiti Malaya baru-baru ini memperoleh rating 5 bintang daripada QS Intelligence Unit, dan berada dalam kumpulan yang sama dengan universiti terkemuka dunia seperti New York, Duke dan Columbia.

Universiti Sains Malaysia (USM) pula menduduki tempat ke-38 terbaik di dunia dalam bidang kejuruteraan kimia dan ke-28 dalam bidang sains alam sekitar berdasarkan QS World University Ranking pada 2014, manakala pencapaian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berada pada kedudukan ke-19 terbaik dunia dalam kategori universiti yang berusia bawah 50 tahun, antara bukti kejayaan Malaysia dalam menjaga kualiti pendidikan IPT, termasuklah politeknik dan kolej komuniti di negara ini.

Memang tidak dinafikan dari semasa ke semasa akan ada masalah berbangkit seperti menyalahgunakan pas pelajar, penyalahgunaan dadah dan pelbagai masalah sosial lain. Kadangkala pihak kementerian juga menerima aduan daripada pelajar antarabangsa yang diganggu pihak berkuasa dan sebagainya. Masalah memang akan wujud di mana-mana sahaja, namun ia bukan perkara biasa, tetapi suatu pengecualian.

Bahkan, ketika ini kami sudah mewujudkan Education Malaysia Global Services (EMGS) untuk memantau dan menangani masalah berbangkit ini. Menerusi kerjasama dengan Jabatan Imigresen, diharap agar perkhidmatan kepada pelajar antarabangsa dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.


Pergiat usaha mempromosi Malaysia

Komen positif daripada pelbagai pihak terhadap pendidikan tinggi ini bagaikan sokongan moral untuk saya terus mempergiatkan usaha mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan di rantau ini. Ironinya, walaupun segelintir pihak di Malaysia sering memperlekeh kualiti pendidikan tinggi di negara sendiri, rupa-rupanya di luar negara cukup ramai pula yang mengagumi pencapaian pendidikan tinggi negara kita.

Malaysia sekarang sudah mula boleh melihat hasil daripada kesungguhan usahanya menjadikan hab pendidikan serantau. Dari Abu Dhabi hingga Kazakhstan, menganjur pula ke China, usaha Malaysia merentas benua untuk mempromosikan pengajian tingginya disambut dengan tangan terbuka. Namun perjalanannya masih jauh. Masih banyak laluan benua yang perlu direntas. Namun setakat ini kita membuktikan, bercakap disertakan dengan usaha, pasti tidak sia-sia. Tidak seperti 30 tahun dahulu, kini saya penuh yakin menganggap bahawa bukan angan-angan lagi meletakkan Malaysia dalam peta destinasi popular melanjutkan pengajian tinggi bagi pelajar di serata dunia.

Insya-Allah, menjelang tahun 2020, apabila soalan ini diajukan semula, saya berharap agar jawapannya: “Malaysia terbaik”.


Datuk Seri Idris Jusoh ialah Menteri Pendidikan II Berita Harian Rencana 2014/06/12 - 08:46:55 AM
Tags: pendidikan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments