kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Inilah tanda kasih sayang isteri...

KITA masing-masing tentu pernah hadapi situasi tertekan atau terdail nombor telefon orang lain secara tidak sengaja. Dan selalu juga kita akan dihubungi semula oleh orang yang terima panggilan itu.

Walaupun mereka mungkin berasa terganggu oleh panggilan kita, namun apabila kita minta maaf, biasanya hal itu boleh selesai dengan mudah.

Akan tetapi ada juga ketikanya hal ini sampai mencetuskan masalah lain. Sebagai contoh apa yang berlaku pada diri saya sendiri beberapa bulan lepas. Pada suatu hari, selepas solat Zuhur saya dapati ada banyak panggilan yang tidak berjawab daripada isteri. Pesanan suara pun banyak yang kesemuanya bernada cemas.

Saya segera hubunginya untuk bertanya mengapa dia telefon saya dan bertanya soalan seperti itu. Sebaik panggilan  dijawab, saya dengar suaranya  teresak-esak menangis.

Rupa-rupanya semasa saya solat, dia terima panggilan daripada telefon saya. Oleh kerana saya tidak bercakap dan dia pula hanya mendengar suara saya menyebut  'ALLAH'  berkali-kali, dia langsung menyangka saya dalam kecemasan.

Sangkanya telah berlaku kejadian yang tidak diingini terhadap saya dan ini sudah tentu ada kaitan dengan kasih sayang!

Isteri saya (dan tentunya isteri orang lain juga) tidak akan jadi begitu kalau bukan kerana kasih sayang.

Walaupun masih tidak jelas akan apa yang sebenarnya berlaku, rasa bimbang mendahului. Ya, hal yang seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja!

Apa yang berlaku kepada diri saya, meskipun ia hanya sekadar salah faham, namun dalam hati tetap rasa bangga dan bersyukur malah masih boleh tertawa selepas menjelaskan kepada isteri bahawa saya tidak apa-apa, selamat dan sihat walafiat.

Isteri-isteri biasanya begitulah. Ketika suami di luar, kebanyakan mereka di rumah. Kalau pun yang bekerja, habis waktu kerja mereka biasanya terus balik rumah. Suami pula habis waktu kerja belum tentu ke mana. Ramai yang menyinggah di kedai mamak, kelab sosial  dan sebagainya untuk berjumpa kawan-kawan.

Sementelahan pula Piala Dunia kurang lebih 20 hari sahaja lagi. Ramailah suami yang tidak nampak pintu rumah berminggu-minggu selepas ini.

Seperti pandangan ramai orang, saya juga bersetuju bahawa tengok bola seorang diri di rumah memang tidak cukup 'stim' banding layan beramai-ramai di kedai mamak.

Lagi sebab musababnya kerana kita tidak mahu tidur isteri dan anak-anak terganggu.

Namun ketika di luar, mungkin kita jarang berfikir bahawa ada seseorang yang hatinya sentiasa memikirkan keselamatan kita. Justeru apabila berlaku insiden yang sekadar terdail nombor telefon, dan tiada pula suara kita yang kedengaran, mereka akan mudah terfikir hal yang bukan-bukan. Kadang kalanya, apabila kebimbangan sudah menguasai, apa yang diperjelaskan pun mereka susah nak faham, seperti kes ini:

Isteri: Kenapa abang call?

Suami: Abang tertekan la sayang.

Isteri: Tertekan? Apa masalahnya bang?  Citer la kat sayang...

Suami: Abang tertekan jer...

Isteri: Kalau abang ada masalah cerita laa....

Suami: Masalah apanya? Tak ada masalah apa pun, abang cuma tertekan jer

Isteri: Ye la... Kalau abang tertekan.. abang kenalah cerita kat sayang.

Suami: Adoi la! Ini abang betul-betul tertekan. Dah kata tak ada masalah, cuma tertekan, sayang nak suruh abang cerita jugak kat sayang. Nak cerita apanya?

Isteri: Cerita masalah abang la, apa yang buat abang tertekan?

Suami: Adoi la! Adoi... Tertekannya! Nak cerita macam mana lagi ni??? Tertekan nombor telefon sayang la, nak cerita apa lagi?

Isteri: Oooo... tertekan nombor telefon sayang! Cakap la terdail.

Kepada suami-suami, kalau tidak mahu jadi kecoh seperti ini, pastikan anda tidak terdail nombor telefon isteri ketika di luar rumah.

Untuk mengelak hal sebegini, lebih selamat jika nombor telefon isteri anda hafal sahaja, jangan simpan dalam telefon.

Kalau tertekan nombor telefon orang lain, mungkin tidak akan sampai jadi begini kerana isteri memanglah prihatin akan hal ehwal suami dan pasti banyak soal jawabnya pula nanti.

MUHAMAD MAT YAKIM Sinar Harian Kolumnis 23 Mei 2014
Tags: isteri
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments