kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perjuangan bukan sekadar ucapan

Usaha diiringi pengorbanan suci dituntut demi kesinambungan kemakmuran negara

Kebelakangan ini kita sering mendengar perkataan 'perjuangan' disebut dalam program realiti di televisyen. Perkataan 'perjuangan' itu diucapkan sama ada oleh ahli panel atau peserta beberapa program yang kini ditayangkan di beberapa stesen televisyen. Antara program yang 'berperang' antara satu sama lain itu ialah Kilauan Emas, Bintang Mencari Bintang, The Band, Bintang Kanak-Kanak , yang semuanya bercirikan hiburan.

Sebelum ini, program realiti yang popular termasuk Raja Lawak, Maharaja Lawak, Akademi Fantasia dan sebagainya. Ada juga program bercirikan agama seperti Imam Muda yang sangat diminati. Disebabkan format program seperti ini mempunyai unsur penyingkiran, mereka yang terpaksa dikeluarkan sama ada atas keputusan panel atau undian khidmat pesanan ringkas (SMS), peserta sering diberikan kata-kata semangat.

Ketika membuat komen, ahli panel sering meminta peserta meneruskan perjuangan sama ada untuk menghadapi persaingan minggu berikutnya atau meneruskan perjuangan di luar setelah disingkirkan. Peserta program berkenaan juga sering membuat komen yang mereka akan meneruskan perjuangan dalam bidang mereka.

Sama ada perkataan perjuangan itu sesuai digunakan atau tidak bergantung kepada penilaian seseorang. Cuma, dalam konteks ini, perjuangan itu lebih bermaksud kepada usaha. Walaupun ini adalah persoalan semantik, adalah lebih baik jika mereka kata akan meneruskan usaha, bukan meneruskan perjuangan. Perjuangan dalam konteks yang lebih besar memerlukan pengorbanan. Perjuangan untuk menegakkan kemerdekaan sudah tentulah mempunyai nilai yang sangat tinggi berbanding dengan peserta program lawak jenaka yang tersingkir.

Fahami maksud sebenar

Perjuangan adalah satu perkataan besar yang sering dikaitkan dengan semangat patriotisme dan kenegaraan. Malangnya, hari ini perkataan perjuangan itu diucapkan dengan begitu mudah oleh sesiapa saja tanpa memahami maksud sebenarnya. Pemimpin politik sering menyebut perkataan perjuangan sewaktu berucap di khalayak untuk menaikkan semangat, memberi nasihat, meningkatkan keyakinan, membuat perbandingan dan sebagainya. Mereka mempromosikan ‘perjuangan’ sebagai sesuatu yang suci. Mereka yakin bahawa sesuatu hasil yang bermakna bermula daripada perjuangan. Perjuangan tulen memerlukan pengorbanan. Pengorbanan datuk dan nenek kita dahulu untuk membebaskan negara ini daripada penjajah British adalah pengorbanan sangat besar dalam sejarah negara ini.


Perjuangan biasanya mempunyai matlamat tersendiri. Sebagai contoh, usaha yang dijalankan oleh pimpinan kerajaan untuk memajukan negara adalah satu perjuangan. Mereka melakukannya kerana mahukan rakyat menikmati kehidupan yang sempurna. Usaha yang mereka lalui bukanlah mudah. Mereka terpaksa menempuh pelbagai cabaran terutama bagi menghadapi kerenah rakyat yang tidak semestinya menyokong mereka. Sesetengah rakyat pula terpengaruh dengan hasutan. Penghasut mempunyai agenda dan kepentingan sendiri dan sentiasa berusaha menggagalkan usaha kerajaan. Mereka menggunakan demokrasi sebagai alasan memperjuangkan hak dan kepentingan mereka. Dalam masyarakat berbilang kaum, kerajaan berjuang untuk menyatupadukan rakyat. Namun, perjuangan seperti ini sering mengalami jalan buntu. Jika masyarakat sebangsa dan seagama pun bersengketa inikan pula rakyat yang berbeza agama, kaum, bahasa, budaya, sosial, status ekonomi dan sebagainya. Walaupun pelbagai halangan terpaksa dilalui, malah sejauh mana sekali pun proses ini terpaksa ditempuhi, perjuangan ke arah mewujudkan rakyat yang bersatu padu terpaksa diteruskan. Inilah yang dikatakan perjuangan yang tidak kenal erti jemu. Bagi pemimpin parti politik pula, mereka berjuang untuk meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap falsafah dan ideologi parti masing-masing. Sebaliknya, di kalangan parti khasnya yang berbalah, mereka menggunakan cara dan strategi masing-masing dalam perjuangan mereka. Biasanya mereka akan melihat kebaikan diri sendiri dan mempolitikkan kelemahan parti lawan.

Usaha raih sokongan rakyat

Mereka sedar perjuangan parti mereka akan berkubur sekiranya tidak lagi mempunyai kredibiliti dan kehilangan pengikut. Untuk memastikan parti mereka terus relevan, pimpinan parti berjuang untuk memastikan parti mereka memberi impak kepada masyarakat. Rakyat tidak akan menyokong mereka jika parti yang mereka dokong sekadar memanaskan suhu politik tanah air sedangkan ia tidak membawa kebaikan kepada kehidupan rakyat dan masa depan negara.

Bagi parti politik yang menggunakan Islam, mereka kononnya berjuang menentang siapa juga yang cuba menentang hukum agama tetapi mereka bersekongkol dengan parti yang menentang Islam. Apakah ini boleh dianggap sebagai perjuangan tulen untuk menegakkan syiar agama, bangsa dan negara. Amat meragukan jika pengikut parti ini menganggap mereka berjuang demi kesucian agama. Hanya mereka yang taksub sahaja yang mengatakan perjuangan mereka sebagai merintis jalan ke syurga.

Pada satu ketika parti pembangkang berjuang menggunakan pentas di atas jalan raya. Mereka mengadakan demonstrasi jalanan kononnya untuk menuntut hak atas nama keadilan. Mereka juga berjuang tetapi dengan cara yang tidak boleh diterima oleh penduduk negara ini kerana ia menimbulkan kesusahan kepada rakyat.

E-mel ke rencanabh@bh.com.my Untuk berkongsi pendapat anda. Mior Kamarul Shahid Berita Harian Kolumnis 2014/06/13 - 00:14:18 AM
Subscribe

  • Listen and speak wisely

    I came across an article on being a listener and find it difficult to absorb. As an educator, I may be wrong as we are supposed to talk and deliver…

  • Action, not talk, speaks louder

    We’ll get somewhere if more of us respond with positive action rather than negative talk. SOME time ago, as I was driving, I found myself…

  • Give priority to listening and speaking skills

    I REFER to the letter “Teachers to take a back seat” (NST, June 9) by Muhamad Solahudin Ramli and the article “Reforming education…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments