kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Isu lama perlu ditangani, janji mesti dikota

Mengharapkan sesuatu yang luar biasa dalam tempoh seratus hari pemerintahan Tan Sri Adenan Satem tentu tidak adil. Beliau perlu diberi masa yang mencukupi untuk merencanakan dan melaksanakan dasar sedia ada dan dasar baharu beliau. Sejak mengambil alih kepemimpinan akhir Februari lalu, satu daripada cabaran beliau adalah bagaimana keluar daripada bayangan Tun Abdul Taib Mahmud yang menjadi Ketua Menteri selama 32 tahun. Semua mengharapkan beliau bukan sahaja meneruskan dasar yang telah mendatangkan kesan positif kepada 2.5 penduduk Sarawak, tetapi berani mengubah suai, malah meminda dasar yang tidak serasi dengan kehendak rakyat.


Penduduk Sarawak ingin melihat adakah beliau akan mengubah dasar Tanah Adat Bumiputera (NCR)? Meskipun kelulusan yang diberi kepada syarikat dan individu tertentu tidak mungkin dapat ditarik balik, harapan rakyat ialah permohonan mereka untuk mendapatkan geran tanah bagi lot kampung dan tanah yang telah diusahakan sejak turun-temurun diluluskan. Keazaman politik diperlukan untuk mengambil tindakan yang mengutamakan rakyat, agar kerajaan tidak dituduh memihak kepada syarikat dan individu tertentu yang ada kaitan dengan pemimpin negeri. Jika tidak, isu ini menjadi duri dalam daging setiap pilihan raya.

Ujian terbesar Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-11


Namun, ujian terbesar kepada Ketua Menteri kelima Sarawak itu, tentunya bagaimana beliau menghadapi Pilihan raya Negeri Sarawak Ke-11 nanti. Mampukah beliau memperbaiki prestasi Barisan Nasional? Adakah masyarakat Cina akan kembali kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan menolak DAP? Beliau perlu terlebih dahulu menangani dengan pantas dan berkesan isu berkaitan penyertaan pemimpin tertentu ke dalam Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS). Suara siapakah yang mahu didengar: TERAS atau SUPP dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP)?

Beliau perlu menanganinya isu itu dengan baik. Jika tidak, kerumitan yang lebih besar akan berlaku dan menyusahkan BN pada jangka panjang.

Untuk pilihan raya akan datang, Adenan tidak mempunyai pilihan, kecuali memastikan jumlah kerusi dimenangi BN meningkat atau sekurang-kurangnya mempertahankan jumlah sedia ada. Dalam pilihan raya negeri tahun 2011, BN memenangi 55 kerusi daripada 71 kerusi. Pilihan raya Sarawak dijangka diadakan pada suku akhir tahun depan. Apakah isu yang perlu ditangani oleh BN sebelum itu? Selain menyelesaikan rasa tidak puas hati SUPP dan SPDP berkaitan dengan TERAS, pelbagai isu lain perlu ditangani beliau. Isu lama pasti akan dimainkan semula, malah lebih hangat lagi, terutama membabitkan isu kalimah Allah dan NCR.

Sejauh mana kerajaan sanggup melaksanakan Perjanjian 10 Perkara berkaitan isu kalimah Allah yang diputuskan menjelang pilihan raya negeri lalu, akan menentukan sokongan pengundi bukan Islam terhadap BN. Rakyat mahu konsep 1Malaysia direalisasikan.

Perlu diingat, 44 kerusi ialah kerusi majoriti Cina dan Dayak. Penganut agama Kristian tidak puas hati dengan tindakan kerajaan menangani isu ini, selain sekatan membawa masuk kitab Injil dalam bahasa Indonesia ke negeri ini. Keadaan ini diburukkan lagi dengan isu pengislaman kaum Dayak di pedalaman Sarawak. Bagaimana reaksi dan pendirian gereja terhadap isu ini penting dipantau dan ditangani.


Dasar selaras Perlembagaan

Kerajaan perlu dilihat sensitif dan adil dari segi tindakan dan layanannya terhadap kaum bukan Islam, sesuai dengan persetujuan menjelang pembentukan Malaysia dan kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan.

Memandangkan isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ada kaitan dengan kos sara hidup, jangan terkejut jika isu ini akan dimanipulasikan sepenuhnya oleh pembangkang untuk meraih undi terutama di luar bandar. Kerajaan perlu menggembleng tenaga membabitkan pelbagai pihak untuk memastikan penerangan secara bersemuka dilakukan dengan berkesan hingga ke akar umbi. Isu lama yang perlu terus ditangani adalah pembangunan di luar bandar iaitu pembinaan jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik, serta kemudahan persekolahan. Segala janji berkaitan pembangunan sebelum ini perlu dikotakan. Jalan perlu diturap, klinik, sekolah dan asrama perlu dibina dan dinaik taraf atau diselenggara dengan baik dan bekalan air bersih dibekalkan, termasuk membina empangan.

Pengundi luar bandar, termasuk etnik minoriti terutama Orang Ulu terutama yang tinggal di pedalaman seperti Belaga dan Baram tidak harus dipandang ringan.

Suara mereka perlu didengar dan diberi tempat sewajarnya, termasuk dari segi ekonomi, pampasan dan pemberian tanah, serta peluang dalam sektor perkhidmatan awam. Tugas dan tanggungjawab untuk membetulkan keadaan bukan hanya terletak pada bahu kerajaan pusat, tetapi juga kerajaan negeri dan agensi kerajaan terbabit. Kedua-dua pihak perlu dilihat komited, ikhlas dan sensitif. Sebelum sentimen kecewa dan tidak puas hati terus menggelegak dan nasi menjadi bubur, tindakan agresif serta proaktif perlu diambil untuk menangani masalah dan isu berkaitan.

Jeniri Amir ialah pensyarah Universiti Malaysia Sarawak. Berita Harian Kolumnis 2014/06/14 - 01:07:04 AM
Tags: janji
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments