kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kroni atau tidak mereka kaya raya

Tauke besar kumpulan perniagaan YTL Corporation Bhd, Tan Sri Francis Yeoh Siok Ping, sangat marah bila, dalam satu majlis syarahan anjuran PEMANDU, dia ditanya sama ada betul dia kroni Tun Dr Mahathir Mohamad.

Siok Ping, anak sulung pengasas YTL, Tan Sri Yeoh Tiong Lay, adalah Pengarah Urusan kumpulan itu. Tapi dialah yang jadi taiko YTL sekarang. Ikut berita, dia bukan saja nafi dia bukan kroni Dr Mahathir sebaliknya dia tuduh kerajaan amal kronisme. Dia kata, amalan itu adalah punca Malaysia tak maju macam Singapura.

Dia juga kata kerana dasar kerajaan utamakan Bumiputera jadi punca usahawan kecil dan sederhana bukan Bumiputera susah dapat pinjaman perniagaan kerajaan. Setelah kena kutuk kau-kau oleh banyak pihak, termasuk media massa, dia minta maaf secara terbuka dan salahkan media massa kononnya silap tafsir dan salah lapor ucapan dia.


Bukan Siok Ping saja nafi jadi kroni Dr Mahathir atau mana-mana Perdana Menteri. Boleh kata semua usahawan akan nafi. Tapi orang yang faham politik, ekonomi dan perniagaan tahu yang boleh kata semua tauke besar di negara kita bergantung pada kerajaan.

Ada yang dapat kontrak, lesen dan konsesi kerajaan. Ada yang dapat pinjaman murah ratusan juta ringgit dari institusi kewangan kerajaan. Ada yang dapat komisen beratus juta ringgit jadi orang tengah dalam pembelian kerajaan.


YTL pun lebih kurang macam tu juga. Mulai zaman sebelum Dr Mahathir dah mula dapat kontrak kerajaan untuk buat makmal sains sekolah dan kerja-kerja pembinaan biasa.

Dalam zaman Dr Mahathir dapat kontrak bina hospital modular, lesen penjaja bebas elektrik (IPP), usaha sama perumahan dengan Bandaraya Kuala Lumpur dan Syarikat Perumahan Negara, projek kereta api laju KLIA, lesen telekomunikasi 4G dan paling baru projek komputer sekolah bernilai RM6.6 bilion.

Pandai cari peluang

Kalau kata nasib baik atau ong, YTL adalah antara empayar perniagaan keluarga Cina yang paling nasib baik dan ong. Asal usulnya mereka pandai cari peluang sentuh bahu dengan kepemimpinan kerajaan. Kunta Kinte minta maaf kepada keluarga YTL sebab Kunta Kinte kenal mereka lama. Kunta Kinte ucap terima kasih kepada mereka atas semangat setia kawan yang mereka tunjuk kepada Kunta Kinte.

Sebagai penulis ekonomi, Kunta Kinte dari awal lagi tertarik dengan intelek dan wawasan Siok Ping. Jadi Kunta Kinte sangat hairan dan terkejut pasal apa dia melenting teruk sangat bila peserta majlis tanya berkenaan hubungan dia dengan Dr Mahathir.

Adakah media massa benar-benar salah tafsir dan salah lapor atau pendirian Siok Ping telah berubah sebab Dr Mahathir bukan Perdana Menteri lagi atau kerana dia berasa syarikatnya tak perlukan bantuan kerajaan lagi?

Mustahillah sebab lepas zaman Dr Mahathir pun keluarga YTL terus rapat dan akrab dengan pengganti-pengganti dia. Mereka akrab dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang dengan Datuk Seri Najib Razak. Mereka terus dapat projek raksasa kerajaan. Malah dalam ucapan dia, Siok Ping kata dia sanjung program transformasi Najib.

Tapi ada satu yang Kunta Kinte nampak. Sudah ada tauke dan usahawan yang mula jauhkan diri daripada kerajaan atau malu mengaku rapat dengan kerajaan.


Ini mula berlaku sejak Barisan Nasional tak lagi kuat macam dulu dan ada negeri-negeri maju tempat mereka berniaga, macam Selangor dan Pulau Pinang, dah jatuh ke tangan pembangkang.

Masa Pilihan Raya Umum tahun lalu terdengar desas-desus kata ada usahawan Cina yang bagi berpuluh juta ringgit kepada pembangkang. Nak tak percaya pun susah juga sebab sebaik saja habis pilihan raya, mereka mula dapat projek dan tanah di negeri-negeri yang pembangkang perintah.


Untung besar dan cipta nama

Bagi YTL, tak salah kalau Kunta Kinte kata, kerana lesen IPP lah ia buat untung besar dan cipta nama, dalam dan luar negara, sebagai syarikat infrastruktur berwibawa. Kerana imej itulah YTL boleh berkembang ke luar negara dan hutang berbilion-bilion ringgit. Kalau betul Siok Ping kata usahawan SME bukan Bumiputera tak dapat pinjaman kerajaan sebab kerajaan utamakan Bumiputera, maaflah kalau Kunta Kinte terpaksa kata dia tak cakap benar.

Dalam sebuah rencana yang disiarkan oleh surat khabar New Sunday Times 8 Jun lalu tulisan Dr Awang bin Puteh, ada disebut iaitu analisis Unit Perancang Ekonomi (EPU) dapati bagi setiap satu ringgit kontrak kerajaan, 80 sen dibolot oleh bukan Bumiputera.

Kunta Kinte rasa yang 20 sen Bumiputera dapat itu pun kebanyakannya oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Bumiputera perseorangan dapat tahi gigi saja. Kata Dr Awang lagi, ikut perangkaan rasmi hanya 31% pinjaman SME dibagi kepada usahawan Bumiputera tahun lepas. Kalau tolak pinjaman mikro oleh Amanah Ikhtiar Malaysia, pinjaman SME kepada Bumiputera hanya 15%.

Dia kata, kontrak komputer sekolah yang YTL dapat lebih besar daripada pinjaman SME yang dibagi kepada Bumiputera tahun lalu. Tapi pasal jahil, malas selidik dan mudah percaya cakap kosong, Bumiputera sangka mereka dapat banyak.

Jadi, dalam pada tauke-tauke besar bukan Bumiputera yang dapat habuan berbilion ringgit daripada kerajaan malu nak mengaku akrab dengan kerajaan, usahawan kecil dan sederhana Bumiputera nampaknya dilayan seakan-akan anak tiri. Tak patut dan tak adillah macam itu. Wallahuaklam.   Kunta Kinte Berita Harian Kolumnis 2014/06/14 - 01:12:15 AM
Subscribe

  • Trapik Lait Ija ...

    Kite lalu depang Trafik lait … ija ija ija .. sini ija jugok Langkawi kalu jalang … ija dok ? … Ghase-ghasenye nye selughuh…

  • Mitok share ! Mitok share !

    Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Mitok share kepade sumue oghang hok dengo voice ni ... gini ... Jighaen saye kepade jighaen saya kepade…

  • Kisoh Igak Ikang

    Doh wak gane ni orrrkk , kisoh petang ning lepah ' minung bir' .... bace deh ... kawang daghi ganu ato ... jangang maghoh ke ambe plok ...…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments