kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Padamkan keangkuhan itu...

Rasanya reaksi sebegini luar biasa tidak pernah berlaku selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, seorang penjawat tinggi kerajaan menfailkan saman terhadap sebuah portal berita. Tindakan itu tiba-tiba dianggap telah melanggar hak bersuara, hak mengeluarkan pendapat dan mahu menakut-nakutkan media.

Portal berita itu yang berkeras enggan memohon maaf dan menarik balik pandangan pembaca yang menjadi punca saman fitnah itu walaupun telah diminta berbuat demikian, sebaliknya dipertahankan, bahkan terus dijunjung dan dijulang.

Latar belakang portal ini yang mendapat dana asing telah terdedah sebelum ini. Bukan perkara asing kepada portal ini yang memusatkan berita, analisis dan komen pembaca untuk memperlekeh, mengecam dan cuba memfitnah pihak yang tidak sefahaman dengan mereka.

Dalam kamus pemberitaan portal ini, ia dianggap adil, terbuka dan tidak memihak.

Perdana Menteri pula dikecam dan dikritik hanya kerana mahu menggunakan hak asasi beliau di sisi undang-undang. Seperti ditegaskan oleh Najib, saman itu bukan sebahagian bagi mana-mana tindakan keras. Ini juga bukan satu cubaan untuk menutup mulut pengkritik. Ini adalah tindakan terhadap tuduhan spesifik yang melampaui batas, daripada komen adil kepada fitnah.

Tetapi sebut sahaja apa jua organisasi yang berkaitan undang-undang, hak asasi dan media yang mereka ada seperti sengaja digerakkan secara sistematik bagi mempertahankan tindakan portal berita ini. Tetapi barang diingat kritikan berkenaan harus dibaca sekali dengan kesedaran bahawa organisasi itu jika tidak pun dianggap sebagai propembangkang, adalah organisasi ciptaan kumpulan songsang.

Saman

Saman fitnah seperti ini tentu sekali tidak akan mendapat reaksi sedemikian rupa jika portal berita itu bukan Malaysiakini. Realitinya sebelum ini sudah berpuluh-puluh eksekutif termasuk bertaraf Menteri Besar di pihak sebelah sana menfailkan saman kepada media sama ada media cetak, elektronik mahupun dalam talian.

Hal ini bukan satu tindakan yang asing. Tetapi kini, mereka seolah-olah cuba menggambarkan bahawa hak untuk mengemukakan saman kepada media tidak tertakluk kepada eksekutif di sebelah mereka.

Tidak pula kita pernah terdengar mereka persoalkan tentang dana awam yang digunakan untuk tindakan saman oleh eksekutif pakatan pembangkang umpamanya di Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor.

Tidak pula kita pernah dengar gesaan daripada kumpulan pejuang hak asasi mahupun organisasi pemikir mereka agar pemimpin pakatan pembangkang segera menarik balik saman kepada media yang nilainya sangat tidak munasabah itu.

Tidak pula kita pernah dengar daripada mulut mereka bahawa saman ke atas media hanya akan mewujudkan tanggapan yang tidak baik, dan pemimpin pakatan pembangkang serta ahli partinya menyampaikan mesej salah.

Yang lebih memprihatinkan dalam kes saman Najib ke atas Malaysiakini itu ialah ada kecenderungan untuk melakukan penghakiman sebelum kes tersebut didengar di mahkamah. Pihak-pihak yang diketahui propembangkang secara berterusan cuba merumuskan bahawa apa yang dilakukan oleh Najib adalah salah.

Tetapi lihatlah yang itu mereka diam, yang ini mereka hingar-bingar. Tingkah laku buruk mengata dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih atau ibarat meludah ke langit telah menjadi satu kebiasaan. Sungguh, ini bukan sesuatu yang baik kepada politik negara ini.

Adegan songsang ini semakin kerap dipertontonkan di depan rakyat. Saman kepada media yang bukan pilihan atau mesra pakatan pembangkang mereka galakkan, tetapi yang prokerajaan, mereka bertindak sebaliknya.

Cara seperti ini dianggap lazim dan semacam telah menjadi satu budaya berpolitik di negara ini. Mereka tak peduli betul atau salah, fitnah atau kebenaran. Cubalah ketengahkan apa juga fakta dan hujah, mereka yang totok pakatan pembangkang ini tidak ambil kisah.

Mereka angkuh kerana berasa telah mendapat sokongan majoriti. Media mereka berasa mendapat dukungan kumpulan pembaca yang kuat dan berpengaruh. Parti politik pula berasa rakyat akan sentiasa bersama dengan mereka.

Yang mereka perlukan sekarang ialah membakar sentimen dan semangat bencikan apa yang selama ini telah terbina agar jalan pakatan pembangkang ke Putrajaya lebih mudah.

Menambahkan lagi sengsara, mereka begitu licik mencipta kekeliruan untuk memesongkan pemikiran rakyat agar bersikap curiga terhadap apa juga yang dilakukan oleh kerajaan.

Inilah yang mereka sedang lakukan dalam keadan kerajaan pun masih tercungap-cungap untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya sehingga kadangkala terlihat kurang berkeyakinan melawan keangkuhan jentera pakatan pembangkang ini.           Utusan/Rencana/20140615    ZULKEFLI HAMZAH warungrakyat.mingguan@gmail.com

Tags: angkuh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments