kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sisi lain Piala Dunia, pasukan kita jaguh kampung

Saya bukan peminat bola sepak dan Piala Dunia yang sedang berlangsung sekarang membawa saya melihat di luar sudut pandang seorang peminat. Daripada pembacaan, Piala Dunia melampaui bola sepak tetapi sebagai cara negara-negara tertentu memperagakan nasionalisme dan patriotisme.

Negara-negara waima yang jauh lebih miskin serta kucar-kacir politiknya berjaya ke Piala Dunia kerana semangat nasionalisme. Algeria, Cameroon malah Bosnia misalnya yang membayar sokongan rakyat dengan berkerja kuat melayakkan diri ke Piala Dunia. Apa yang pasukan Malaysia bayar kepada kita?

Malaysia yang jauh lebih kaya, pemain-pemain diberi ganjaran besar malah berura-ura mendapatkan khidmat jurulatih antarabangsa yang gajinya setengah juta ringgit sebulan tetapi hanya mampu menyediakan 'pasukan sorak profesional' yang menyaksikan Piala Dunia menerusi siaran langsung RTM.

Hakikatnya sangat sedih, pasukan kita hanya layak menjadi penonton, salah satunya kerana mereka jaguh kampung yang dimanjai dengan ganjaran. Pasukan kita mungkin rendah atau langsung tidak ada semangat nasionalisme kalau dibandingkan dengan negara miskin lain yang berjaya ke Piala Dunia.



Wujud dari Fuleco itu sendiri adalah seekor armadillo atau sejenis trenggiling langka yang hidup di  Benua Amerika

Apakah pasukan bola sepak kita mahu merungut ganjaran tidak cukup besar berbanding Bosnia yang buat pertama kali menyertai Piala Dunia? Apakah yang lebihnya negara-negara miskin dan kurangnya kita yang bau Piala Dunia pun kita tidak boleh hidu, apatah lagi untuk masuk gelanggang? Bagi saya yang tidak mahir sepak terajang politik dalam bola sepak negara kita, saya anggap ini adalah satu kegagalan yang memalukan.

Persatuan bola sepak penuh dengan kontroversi mengalahkan parti politik, tetapi mutu bola sepak semakin mengundur. Dulu lawan kita adalah Korea Selatan, tetapi sekarang mereka sudah masuk ke gelanggang Piala Dunia, pasukan kita hanya setaraf atau lebih rendah berbanding Myanmar.

Disebabkan tidak ada pasukan dari negara ini, peminat tempatan menyokong negara lain yang tidak ada kena mengena dengan kita.

Ketika ini lebih 80 peratus daripada penduduk dunia menonton Piala Dunia menerusi siaran TV. Dianggarkan lebih 37 bilion penonton akan menonton perlawanan akhir yang menentukan pasukan yang akan menjulang Piala Dunia sebulan lagi. Bagi kita yang tidak mampu menghantar pasukan ke Piala Dunia, cukuplah hanya bertepuk sorak kepada wira-wira negara lain.

Pesta bola sepak ini sebenarnya melampaui sebagai satu acara sukan. Maka tidak ada semangat kesukanan di Piala Dunia. Yang ada nasionalisme dan rasisme sesuatu bangsa untuk dipancarkan kepada dunia.

Setelah bola sepak menjadi suatu yang sangat diminati, inilah medan perang untuk menentukan siapa yang berkuasa, berpengaruh dan mempunyai pasukan yang berjiwa nasionalis. Lalu Piala Dunia menjadi premis terbaik memancarkan kehebatan atas nama negara di pentas dunia.

Temasya ini adalah agenda penting selepas Perang Dunia Kedua untuk negara-negara tertentu mempamerkan kekuatan, kebijaksanaan dan menguasai dunia. Matlamat negara yang menghantar pasukan ke Piala Dunia bukan saja untuk menjulang piala, tetapi yang lebih besar ialah kekuasaan dan pengaruh.

Di sana adalah peperangan yang menggunakan pelbagai taktik, teknik, stamina dan tidak terkecuali kecerdasan minda semasa beraksi. Piala Dunia sama dengan peperangan di mana kemenangan jarang berpihak kepada pasukan yang kuat tetapi dungu dan penakut.

Sebaliknya kemenangan boleh dikecapi oleh pasukan yang tidak terlalu kuat tetapi kaya dengan taktik, teknik dan jelas hasrat mereka semasa berada di padang. Piala Dunia mempertemukan pasukan daripada bangsa dan negara tertentu untuk menentang negara lain.

Sukan telah berbaur rasisme kerana seorang peminat bola sepak yang mempunyai nilai nasionalisme yang tinggi tidak akan menyokong pasukan bukan wakil negara atau bangsanya. Ungkapan klise bahawa sukan bebas politik dan rasisme adalah karut semata-mata.

Itu kata kita yang tidak mempunyai pasukan ke Piala Dunia dan melihat dari sudut pandang berbeza dengan negara yang turut bertanding kerana nasionalisme. Kerana itu kenyataan bekas Presiden Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA), Jules Rimet dalam tahun 1926 berkata Piala Dunia wadah keamanan dunia adalah karut.

Pada masa sama Piala Dunia menjadi lubuk kapitalis mengaut untung daripada tewasnya masyarakat terhadap perang publisiti yang sangat luar biasa hebatnya. Pengiklan berebut-rebut menempel Piala Dunia waima terpaksa membayar dengan jumlah yang besar. Sebabnya pulangan daripada kegilaan pesta bola sepak ini kepada kapitalis memang tahap gila juga jumlahnya.

Semua ini adalah sisi-sisi lain Piala Dunia yang tidak kelihatan, malah tidak didedahkan. Sudah tentu ada yang menganggap disebabkan saya bukan peminat bola sepak, maka saya membangkitkan sisi yang buruk mengenai temasya yang diminati majoriti penduduk dunia.

Ia barangkali benar kerana apabila kita berada di luar, ruang litup pandangan kita lebih luas berbanding mereka yang terperosok di dalam. Ini termasuklah sikap orang kita yang tidak pernah mempersoalkan pasukan bola sepak negara yang yang diberi kemewahan tetapi membayarnya hanya menjadi jaguh kampung.     Utusan/Rencana/20140615 Ku Seman Ku Hussain  

Tags: maskot
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments