kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Analisis Mingguan: Bisik-Bisik Awang Selamat

Ketirisan 1

Dahsyat dan menakutkan. Itulah yang boleh Awang rumuskan terhadap amalan rasuah dalam kalangan agensi penguatkuasaan sehingga membawa ketirisan besar kepada negara.

Paling ketara isu manipulasi dan penyeludupan diesel bersubsidi. Berdasarkan maklumat yang diterima, gejala rasuah berlaku di hampir semua agensi penguat kuasa sama ada di darat mahupun di laut.

Di darat, ada pihak bekerjasama dengan sindiket termasuk membocorkan maklumat operasi serbuan. Ini meliputi segelintir petugas sebuah kementerian dan agensi penguat kuasa. Harapkan pagar, pagar makan padi. Siasatan yang dilakukan mendapati ada anggota bawahan memiliki wang dalam akaun berjumlah RM1juta dan pegawai mempunyai RM40 juta.



Sumber: http://dupahang.wordpress.com/2011/03/04/pesta-rasuah-di-kerdau-dan-merlimau/

Di laut pula, ada kalangan pegawai agensi yang mengambil 'tol' bagi setiap kapal yang menyeludup diesel. Sebab itu, aktiviti penyeludupan diesel dan penjualannya di pasaran gelap berleluasa. Usahawan diesel dan tauke-tauke kapal nelayan tersenyum lebar.

Tidak mengejutkan jumlah yang terlibat dalam penyelewengan diesel di semua peringkat mencecah ribuan orang. Ada beberapa nama tokoh dikatakan terpalit sama, Awang geleng kepala apabila mengetahuinya. Marilah kita berdoa dan bersuara agar gejala ini dibongkar habis-habisan. Bersihkanlah semua agensi penguatkuasaan dengan langkah berani dan drastik - bukan lagi retorik dan tindakan bermusim.

Dalam pada itu, penyelesaian bijak dalam isu manipulasi dan penyelewengan subsidi diesel serta petrol perlu diambil terutama kaedah baharu menyalurkan terus kepada golongan sasaran.

Maka Awang lega apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Wahid Omar menyarankan langkah seumpama itu bagi mengelakkan ketirisan dan menghalang warga asing daripada menerima manfaat subsidi.

Kerajaan telah membelanjakan RM136.6 bilion bagi menyediakan subsidi minyak sejak tahun 2000 tetapi sejumlah besar mengalir kepada golongan bukan sasaran dan pihak yang meraih untung melalui pasaran gelap. Awang difahamkan, daripada jumlah penggunaan 14.5 bilion RON95 pada 2013, sebanyak 6 bilion liter digunakan oleh kenderaan Singapura, Thailand, rakyat asing dan 75 peratus pemilik kereta mewah yang tidak sepatutnya menikmati subsidi.

Angka 6 bilion liter RON95 adalah jumlah yang amat besar. Lebih menyedihkan kerugian dialami berbilion-bilion ringgit, yang siapa harus dipertanggungjawabkan.

Tahap ketirisan ini sudah luar biasa. Tiada negara lain mengalami situasi seperti ini. Pada Awang, ia adalah sabotaj kepada rakyat dan tanah air sendiri. Formula lama pengagihan subsidi hanya memperkasakan golongan yang kaya raya, orang asing, dan membiakkan gejala rasuah. Sampai bila begini dan sekali lagi, siapa harus dipertanggungjawabkan?

Ketirisan 2

Awang sudah beberapa kali menerima aduan berkaitan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang lebih tunjuk taring kepada pembayar cukai individu berbanding hartawan dan syarikat besar. Antaranya aduan memohon pengurangan denda kerana terlewat membayar cukai, yang bukan sahaja tidak dilayan malah tidak dijawab surat rayuan mereka.



Lembaga Hasil Dalam Negeri

Lain pula ceritanya apabila berurusan dengan seorang bilionair sehingga boleh mendapat 'diskaun' lebih RM100 juta. Itupun melalui ansuran selama 18 bulan, yang rakyat biasa tidak akan menikmati diskaun dan kelonggaran luar biasa itu. Awang tidak pasti sejauh mana kesahihannya tetapi cakap-cakap tentang kes itu berlegar dalam kalangan pihak tertentu. Memandangkan ia isu kepentingan awam, LHDN wajar tampil memberi penjelasan termasuk menafikannya jika hal tersebut tidak benar.

Jika tidak ditangani dengan tegas soal ketirisan ini, Malaysia boleh menjadi seperti Mexico yang kerugian hasil lebih 30 peratus akibat penipuan dan gejala elak cukai. Awang percaya LHDN boleh mengutip lebih banyak hasil jika lebih efisien dan tidak mengira bulu. Aneh di Malaysia, tiada jerung besar yang didakwa kerana kesalahan tersebut walaupun gejala itu diketahui berlaku. Di banyak negara lain terutama Korea Selatan, hartawan dan bilionair bukan sahaja tidak dapat diskaun malah diheret ke mahkamah sebagaimana dialami oleh Pengerusi Samsung, Lee Kung Hee pada 2009. Renungkan.

Piala Dunia

Walaupun demam Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia melanda semua benua, Awang berazam mahu lebih selektif kali ini. Memandangkan semua perlawanan melebihi tengah malam hingga ke subuh, berpilih-pilih sahaja perlawanan yang mahu ditonton.

Jika keesokannya kerja, lebih baik tidur sahaja dan menonton siaran ulangan. Awang juga peminat bola sepak tetapi tidak mahu dikuasai dari segi psikologi hingga boleh menjejaskan produktiviti dan kesihatan diri. Bola, bola tapi kerja tetap kerja dan urusan harian lain mesti berjalan lancar. Awang tidak kisah sekiranya diperli teman-teman kaki bola dengan bermacam provokasi termasuk hujah Piala Dunia cuma empat tahun sekali. Sedikit pun tidak rasa ketinggalan. Bangun pagi boleh tahu keputusan, menarik juga. Takda hal.

Yang menjadikan Piala Dunia lebih menarik kepada para peminat bola sepak ialah kejutan dan drama. Sama juga keadaannya pada temasya 2014 di Brazil. Keputusan kontroversi pengadil perlawanan pembukaan antara tuan rumah dengan Croatia serta kekalahan memalukan juara bertahan Sepanyol menghangatkan demam Piala Dunia.

Siapa sangka pasukan Sepanyol yang dibarisi ramai bintang, dibelasah Belanda 5-1. Walaupun bukan penyokong Sepanyol, Awang tergamam kerana teruja dengan perlawanan dan keputusan.

Kasihan banyak penyokong Sepanyol yang berduka tetapi itulah bola sepak. Kejutan boleh berlaku. Persoalannya nanti mampukah Sepanyol bangkit sebagaimana pernah dibuktikan pada musim lalu, bermula kalah tetapi berjaya di kemuncak.

Tetapi harap-harap ada kejutan lebih besar seperti Korea Selatan boleh melangkah ke final. Apa pun Awang seronok dengan kemunculan Piala Dunia. Boleh alihkan perhatian kita daripada terbelenggu isu-isu semasa dan politik yang berlebihan. Lega rasanya, macam buat refleksologi.

Setiap kali Piala Dunia, berlegar di fikiran, bilakah pula Malaysia layak ke tahap itu? Pada Julai 1999, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran pasukan negara ke Piala Dunia 2014 tetapi tidak tercapai. FAM kemudian melanjutkan sasaran ke temasya bola sepak berprestij itu pada 2022.

Awang tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi, bimbang kecewa lagi. Ketika negara seperti Korea Selatan dan Jepun secara konsisten boleh layak ke Piala Dunia, Malaysia masih di tahap lama. Pada dekad 1970-an dan awal 1980-an, Malaysia kerap menewaskan Korea Selatan dan Jepun tetapi kini pencapaian kedua-dua negara itu bertaraf dunia. Selagi tiada program khas bersepadu sebagaimana dilaksanakan oleh kedua-dua negara tersebut, janganlah mimpi Malaysia akan melangkah ke pusingan akhir Piala Asia apatah lagi ke Piala Dunia. Ia tidak boleh menjadi misi FAM semata-mata, tanggungjawab itu harus dipikul oleh kerajaan yang menguasai banyak sumber.

Meskipun Malaysia asyik gagal layak ke Piala Asia dan Piala Dunia, nama negara kita tetap disebut-sebut dalam 'kehebatan' yang berbeza. Buktinya, sindiket judi bola sepak Piala Dunia, yang nama Malaysia selalu dijadikan rujukan laporan media antarabangsa. Sindiket judi kita dianggap oleh dunia sebagai licik dengan pertaruhan hampir RM500 juta sebagaimana Piala Dunia 2010. Seramai 143 individu anggota sindiket ditahan tetapi tiada seorang pun didakwa di mahkamah kerana tiada bukti kukuh. Memang 'hebat'. Khabarnya, pertaruhan musim 2014 berkali ganda lebih besar. Akan berulangkah lagi episod berjaya diberkas tetapi tiada pendakwaan. Kita tunggu.

Ohhh Anwar

Sekali lagi cubaan ketua pembangkang, Anwar Ibrahim untuk memburuk-burukkan Malaysia di luar negara, sia-sia sebagaimana temu ramah beliau dengan BBC di London, baru-baru ini. Beberapa isu yang beliau cuba manipulasi dan putar belit seperti kehilangan pesawat MH370, undi popular dan dakwaan menjadi mangsa konspirasi dalam kes liwat, disanggah oleh pengacara BBC itu sendiri.

Awang tidak berminat ulas panjang sekadar mahu menyatakan bahawa dunia semakin mengenali siapa sebenarnya Anwar. Nasihat kepada beliau, daripada sibuk ke luar negara, lebih baik tumpukan perhatian menangani masalah pemilihan PKR yang meruncing sekarang ini. Sudah dua penggal pemilihan parti itu berdepan dengan kepincangan, penipuan, pergaduhan dan ketegangan yang tidak pernah berlaku kepada parti lain di negara ini. Anwar juga harus secara budiman memohon maaf kepada seluruh ahli atas segala kelemahan pemilihan parti itu. Belajarlah ambil tanggungjawab.

Tentera obes

Dalam ruangan ini minggu lalu, Awang paparkan masalah obesiti dalam kalangan tentera dan polis kita sebagaimana yang turut dialami oleh beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

Ekoran itu, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil pendekatan responsif dengan mengumumkan beberapa langkah menangani sebahagian pegawai dan anggotanya yang obes serta berat badan berlebihan. Persoalannya, bagaimana pula dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)? Setakat ini, pengurusan ATM agak berdiam. Awang percaya ATM juga akan mengambil langkah sebagaimana tentera negara lain untuk lebih efisien 'menguruskan' tentera yang obes. Apatah lagi era sekarang, mudah untuk dibuat perbandingan antara tentera kita dan tentera negara serantau. Siapa kelihatan lebih segak apabila berpakaian seragam? Utusan/Rencana/20140615

Tags: lhdn, rasuah
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Benci dan kebencian!

    Artikel Steven tegur Pas isu Timah: ‘Anda tanam kebencian, dapatlah kebencian’ Oktober 19, 2021 menarik perhatian pembaca mungkin.…

  • Berjalan kaki tingkatkan mood

    Kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada Keluarga Malaysia yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri…

  • Bersikap Berani Menjadikan Hidup Kita Bernilai?

    Kegelisahan dan kesukaran adalah sebahagian daripada kehidupan. Cara anda mengatasi dua perkara ini dan menjalani kehidupan yang ceria adalah…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments