kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penyelewengan baucar buku jejas usaha bentuk minda terbuka

Skim Baucar Buku 1Malaysia telah memasuki tahun ketiga, dengan peruntukan RM325 juta. Jika jumlah ini dicampur dengan jumlah pada tahun pertama dan kedua, mungkin sekitar RM1 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan kepada para pelajar IPT untuk membeli buku. Tetapi, benarkah para pelajar menggunakannya untuk membeli buku?

Sudah menjadi rahsia umum, tidak semua pelajar menggunakan baucar yang mereka terima untuk membeli buku. Ada cakap-cakap yang menyebut, pelajar menukarkannya dengan wang tunai, walaupun jumlahnya kurang sedikit, kerana orang tengah juga perlu mendapat sedikit untung. Dengan wang tunai di tangan, pelajar bebas menggunakan untuk sebarang tujuan.

Terdapat juga cerita yang pelajar menggunakan baucar itu untuk menambah nilai kad prabayar telefon bimbit mereka. Ada juga yang menggunakannya untuk membeli pencetak, pakaian dan sebagainya.

Khabarnya pihak industri buku mempunyai beberapa bukti kukuh penyelewengan yang dilakukan oleh sebahagian penerima baucar, serta orang tengah. Kita berharap penyelewengan tersebut dapat didedahkan pada masa terdekat, agar pada masa hadapan, baucar buku hanya digunakan untuk membeli buku.

Memang agak sukar untuk membuktikan penyelewengan orang tengah, yang menukar baucar buku kepada wang atau peralatan lain, dan memberikannya kepada pelajar IPT. Orang tengah ini secara licik mungkin menyediakan salinan resit palsu yang menyebut bahawa sejumlah buku dengan harga sekian telah dibekalkan kepada pelajar tersebut.

Baucar Buku 1Malaysia memperlihatkan hasrat murni kerajaan untuk melihat pelajar IPT memiliki buku yang mereka perlukan, dalam upaya membentuk generasi muda yang berilmu pengetahuan. Di samping itu kerajaan ingin melihat industri buku negara berkembang lebih rancak, kerana kuasa beli melalui ratusan juta ringgit sedia disalurkan ke pasaran pada setiap tahun.

Malangnya hasrat murni itu belum menjadi kenyataan, akibat kelemahan dalam aspek pengendalian tuntutan, serta sikap pelajar sendiri yang tidak mementingkan buku sebagai sumber yang boleh memperkasa diri dan masa depan mereka.
Dengan ketirisan yang wujud, impak terhadap industri buku tidak dapat dirasakan. Ini kerana pemain industri buku belum dapat mengesan faedah ekonominya secara nyata.

Wujud mekanisme

Menyedari ketirisan yang wujud, pihak kerajaan telah mula mengambil langkah agar baucar buku hanya digunakan untuk membeli buku. Akan tetapi secara praktikalnya ia masih memerlukan kaedah modus operandi serta pengendalian tuntutan yang lebih jelas dan bertanggungjawab.

Dalam hal ini harus diwujudkan mekanisme mengawal transaksi yang berkesan, antara pelajar dengan pihak institusi, peruncit, serta Bank Simpanan Nasional yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan tuntutan.

Pihak NGO yang mewakili pemain industri buku negara harus tampil membantu kerajaan menyekat ketirisan skim baucar buku ini. Mereka harus berganding bahu membanteras penyelewengan, kerana gejala ini memberi akibat langsung kepada ekonomi mereka.

Kita berharap apabila skim baucar buku ini diteruskan pada tahun keempat, semua baucar akan digunakan sepenuhnya untuk membeli buku ilmu pengetahuan. Ini akan dapat membentuk generasi pelajar IPT kita yang lebih pandai, dan dalam jangka pendek serta panjang akan mampu bersaing dengan angkatan mereka pada peringkat rantau dan antarabangsa.

Penggunaan baucar buku yang betul juga akan merancakkan industri buku negara, di mana lebih banyak buku bermutu akan dapat dikeluarkan untuk pilihan pembeli. Ia boleh memacu ke arah sasaran menerbitkan kira-kira 28,000 judul buku baharu setahun.

Jika ketirisan baucar buku ini masih berterusan, eloklah pemberiannya dikaji semula. Ini termasuklah menyalurkan peruntukan itu langsung kepada Perpustakaan Negara Malaysia atau mana-mana agensi kerajaan yang bertanggungjawab, agar peruntukan berkenaan boleh digunakan untuk membeli buku dan mengembangkan industri perbukuan negara.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA. Berita Harian Kolumnis 2014/06/17 - 00:17:03 AM Dr Anwar Ridhwan
Tags: buku
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments