kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Besarnya pengaruh bola sepak

Rutin hidup, urus niaga turut berubah

Walaupun baru memasuki hari keempat, Piala Dunia Brazil 2014 sudah mencatat kejutan yang bukan sahaja menyaksikan pasukan pilihan diaibkan oleh lawan lebih kecil, malah juara bertahan dikalahkan dengan teruk. Pagi semalam, Costa Rica, sebuah negara kecil yang jarang diberi perhatian, menumbangkan pasukan pilihan, Uruguay 3-1, dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia Kumpulan D.

Walaupun dibarisi pemain kurang ternama, Costa Rica, yang ketinggalan menerusi sepakan penalti, bangkit pada separuh masa kedua untuk menewaskan lawan. Uruguay menjadi pilihan kerana ia berjaya ke peringkat separuh akhir pada Piala Dunia 2010.

Bagaimanapun, kejutan pertama Piala Dunia 2014 pastinya kekalahan juara bertahan, Sepanyol, 1-5 kepada Belanda pada perlawanan pembukaan Kumpulan A, kelmarin. Keputusan itu umpama kejayaan Belanda membalas dendam atas kekalahannya 0-1 kepada Sepanyol pada final tahun 2010.

Kali terakhir juara bertahan kalah dalam perlawanan pembukaan adalah Perancis apabila diaibkan oleh Senegal pada tahun 2002, tetapi belum pernah ada penyandang juara dibelasah teruk seperti Sepanyol. Ia juga kekalahan teruk Sepanyol dalam tempoh 51 tahun selepas tewas 2-6 kepada Scotland pada tahun 1963.

Ini adat perlawanan. England yang terkenal dengan liga bola sepaknya, hanya sekali menjadi juara dan tewas 1-2 kepada Itali, semalam walaupun bermain dengan baik.

Seperti setiap musim kejohanan bola sepak Piala Dunia, rutin hidup sebahagian besar rakyat juga berubah. Musim Piala Dunia adalah masa terbaik untuk mereka melupakan prestasi pasukan negara yang bagaikan tiada masa depan.
Besarnya pengaruh bola sepak di negara ini mendorong beberapa agensi memberi ingatan atau mengeluarkan amaran supaya rakyat mengelakkan gejala biasa berlaku ketika musim Piala Dunia.

Tidur lewat jejas prestasi kerja

Kesatuan Kakitangan Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) minggu lalu mengeluarkan kenyataan menasihatkan penjawat awam supaya memastikan mereka tetap segar dan cergas bekerja walaupun menonton siaran langsung perlawanan bola sepak itu pada waktu dinihari.

Presidennya, Azih Muda berkata, penjawat awam yang mahu menonton perlawanan siaran langsung selepas jam 3 pagi, seharusnya memilih tidur malam lebih awal kerana perbezaan waktu antara Brazil dengan Malaysia, menyebabkan kebanyakan perlawanan ditonton pada 3 pagi atau 6 pagi waktu tempatan.

Pengalaman ketika Piala Dunia lalu, terutama apabila negara tuan rumah mempunyai perbezaan waktu yang panjang dengan Malaysia menunjukkan produktiviti pekerja awam dan swasta menurun, manakala penggunaan cuti sakit meningkat.

Gurauan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui laman Facebook mereka selepas perlawanan pembukaan Jumaat lalu, membuktikan kepemimpinan negara juga menyedari gejala negatif itu ketika musim Piala Dunia.

Namun, gejala paling buruk setiap kali musim kejohanan bola sepak terbesar dunia ialah perjudian/pertaruhan. Malah, Malaysia walaupun tidak pernah layak ke pusingan akhir Piala Dunia, sering menjadi perhatian kerana bookie pertaruhan membabitkan rakyat negara ini.

Pada musim Piala Dunia 2010, jumlah pertaruhan membabitkan 143 individu berusia lingkungan 15 hingga 73 tahun yang ditahan di seluruh negara mengikut Akta Pertaruhan 1953 ialah RM437.9 juta. Jumlah itu dijangka meningkat berikutan penggunaan media sosial/internet sekarang yang sukar dikesan oleh pihak berkuasa.

Bukit Aman menubuhkan pasukan khas bagi memantau kegiatan perjudian bola sepak sepanjang musim Piala Dunia 2014. Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, SAC Roslee Chik, berkata pasukan khas itu bukan sahaja memantau, malah akan menahan sindiket terbabit.

Menurutnya, jenayah rentas sempadan itu membabitkan jaringan dengan laman web luar negara, manakala sebahagian transaksi hasil pertaruhan disalurkan masuk dan keluar negara. Server (pelayan) bagi laman web perjudian itu biasanya berada di luar negara.

Pasaran saham sepi

Sepanjang sebulan demam Piala Dunia ini mungkin memberi kesan kepada prestasi urus niaga pasaran saham. Berdasarkan rekod, pasaran saham lazimnya agak sepi dan mempamerkan prestasi lemah kerana tumpuan dan minat pelabur beralih kepada acara berkenaan.

Nilai pertaruhan tinggi terhadap perlawanan menjadi pendorong utama perhatian pelabur tertumpu kepada perlawanan, terutama yang gemar meraih keuntungan dalam tempoh singkat.

Begitupun, Piala Dunia turut menjana ekonomi kepada pemilik restoran dan kedai makan. Kebanyakan kedai mamak dan warung kopi yang sebelum ini tutup jam 12, beroperasi 24 jam sejak Jumaat lalu.

Namun, Piala Dunia juga menimbulkan hubungan kurang enak antara pasangan suami isteri atau antara isi rumah. Pelbagai pesanan berunsur jenaka, kononnya dari isteri dan suami tersebar luas menjelang Piala Dunia, pastinya berdasarkan pengalaman dalam rumah tangga setiap empat tahun sekali itu.

Yang pasti, sepanjang sebulan ini atau hingga ke pertengahan Ramadan nanti tumpuan ialah Piala Dunia 2014. Barangkali inilah ketikanya golongan tertentu yang gemar mencari isu untuk kepentingan politik masing-masing, boleh berehat seketika. Rakyat lebih gemar bercakap mengenai bola sepak daripada mendengar cakap mereka, yang bagaikan tiada kesudahan.

E-mel ke rencanabh@bh.com.my Untuk berkongsi pendapat anda. Berita Harian Kolumnis 2014/06/17 - 00:32:34 AM Manja Ismail
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments