kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Meletak universiti negara di persada dunia

PANDANGAN Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa universiti di negara ini memerlukan model baharu dalam pengurusan dan pentadbirannya adalah tepat pada masanya dan harus dilihat dengan terbuka dan mendapat input dari pelbagai pihak yang terlibat dengan pengajian tinggi.

Kata Idris, bukan sahaja dalam kalangan universiti, malah mereka yang berada di Kementerian Pendidikan dan agensi-agensi berkaitan juga perlu melakukan perubahan dan sudut pandangan baharu dalam memastikan universiti terus relevan dan bersedia menghadapi cabaran di seluruh dunia.

Idris yang melihat dari dekat pelbagai produk penyelidikan yang dihasilkan oleh lima buah Universiti Penyelidikan di negara ini iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Pulau Pinang Sabtu lalu turut mendengar pandangan wakil industri dalam forum yang masing-masing berpandangan bahawa universiti, industri dan penyelidikan yang dilakukan perlu lebih memahami dan mencari pendekatan yang paling berkesan dalam memanfaatkan kepakaran dan hasil penyelidikan yang begitu banyak dan boleh saling membantu.

Pada masa ini, kelima-lima Universiti Penyelidikan negara berada dalam kedudukan antara 200 terbaik mengikut ranking dunia dalam bidang-bidang Kejuruteraan dan Teknologi. Dalam bidang Kejuruteraan Kimia misalnya UM dan USM berada pada kedudukan di antara 51-100, manakala UTM, UKM dan UPM pada ranking 101 - 200.

Begitu juga kedudukannya dalam bidang Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Struktur, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik malah juga Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautikal dan Pengeluaran. Sementara itu, USM juga tersenarai pada kedudukan Ke-28 dalam QS World Ranking 2014 dalam bidang Sains Persekitaran.

Semua ini membuktikan kemampuan universiti kita berada dalam kalangan yang terbaik di dunia, walaupun hakikatnya itu bukanlah matlamat sebenar universiti. Paling tidak universiti negara ini sebenarnya berupaya berada dalam persada dunia terutamanya bagi menyokong usaha negara mencapai status negara maju dengan penghasilan kepakaran dalam bidang-bidang utama sains dan teknologi.

Usaha seterusnya ialah mewujudkan kepimpinan dan sistem sokongan yang kuat dalam meneruskan usaha yang mula menampakkan hasilnya ini. Misalnya bagaimana untuk masyarakat merasai kewujudan universiti melalui hasil-hasil kajian yang dilakukannya. Bagaimana bahan-bahan tempatan, termasuk bahan buangan daripada pertanian dan fundamental yang ada dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghasilkan kekayaan kepada negara.

Sebenarnya terdapat begitu banyak penyelidikan universiti negara ini yang seharusnya dapat diketengahkan dalam masyarakat dan membantu menyelesaikan pelbagai isu yang ada sama ada pembangunan ekonomi, perumahan, industri, alam sekitar, malah juga sosio budaya. Kajian-kajian yang dibuat sesetengahnya boleh diaplikasikan terus untuk faedah masyarakat.

Misalnya kajian-kajian yang menggunakan bahan tempatan seperti pisang yang boleh dimajukan sebagai industri hiliran dan industri kampung secara langsung. Penghasilan produk melalui teknologi makanan seperti serbuk teh dan cendawan yang dijadikan biskut berkhasiat, mee untuk kesihatan dalam pengurusan berat badan dan banyak lagi yang dihasilkan di makmal tetapi belum dipasarkan secara meluas.

Bagaimana pula universiti dapat menggembleng tenaga bersama-sama industri untuk memanfaatkan sumber dan kepakaran untuk bersaing di pentas dunia? Cabarannya ialah bagaimana untuk kedua-dua pihak duduk bersama dan mencari jalan penyelesaian dalam memanfaatkan usaha ini.

Siapa yang boleh menjadi orang tengah untuk memadankan dua pihak untuk memanfaatkan teknologi yang ada, seperti mana yang dilakukan oleh Pusat Kolaborasi Penyelidikan Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) yang baru beroperasi dengan agresif dalam memanfaatkan usaha di antara universiti dengan industri terutamanya di Pulau Pinang?

Universiti bukan lagi menara gading yang jauh dari masyarakat dan hanya berteras idealisme. Universiti adalah menara ilmu yang sepatutnya memanfaatkan ilmu pengetahuan yang sentiasa relevan untuk masyarakat, negara dan dunia.

Mahasiswanya bercakap tentang ilmu dan bagaimana memanfaatkan ilmu untuk tujuan yang sama. Para profesor, pensyarah, penyelidik dan pengurus mahu pun pentadbirnya sentiasa membina upaya untuk membolehkan masyarakat memahami apa yang dibuat dan merasai apa yang terhasil dari makmal mahu pun ilmu pengetahuan yang dijana dan diperkasakan secara berterusan. Setiap mereka yang terlibat dengan pengajian tinggi turut memahami kepentingan budaya ilmu dan bagaimana ia perlu diinterpretasi dan dibawa faedah semua pihak.

Tugas meletakkan universiti negara ini di persada dunia bukanlah mudah. Ia harus bermula dari dalam kalangan masyarakat yang ada dan semua yang terlibat dengan pengajian tinggi.

Walaupun dana bukanlah segala-galanya, namun ini akan membantu universiti-universiti untuk terus berusaha keras menjadikannya terus relevan dengan pelbagai cabaran yang ada.

Universiti-universiti di negara ini juga tidak lagi boleh bergerak secara "silo" atau bersendirian, sebaliknya bekerjasama dan berusaha memanfaatkan pelbagai disiplin ilmu, kepakaran dan kekuatan bagi melonjakkan nama universiti negara ini secara bersama sebagai satu jenama universiti Malaysia.

Mohamad Abdullah ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia.   Utusan/Rencana/20140617

Tags: universiti
Subscribe

  • Raja, rakyat dan perlembagaan

    TIDAK berapa lama dulu seorang diplomat Thai memberitahu bahawa saya tidak perlu menunjukkan pembesar dan pemimpin Thai berinsut di lantai ketika…

  • Perlembagaan Persekutuan bukan saluran pecat pemimpin

    SAYA terpanggil untuk berkongsi pandangan perundangan mengenai isu ini kerana sejak akhir-akhir ini, ada yang menyatakan pandangan dan tafsiran…

  • Hak kebebasan berhimpun

    DALAM masyarakat demokratik, rakyat memainkan peranan penting menyemak dan mengimbangi (check and balance) cabang-cabang kerajaan supaya tidak…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments