kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kualiti guru IPG capai tahap tertinggi

PUTRAJAYA 15 Jun - Kejayaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 berkait rapat dengan proses pembentukan warga perguruan yang mampu memacu kualiti pendidikan negara ke tahap lebih tinggi.

Lantaran itu, sebanyak 27 buah institut pendidikan guru (IPG) yang bermula sebagai maktab perguruan kini dinaik taraf sebagai universiti yang menawarkan 17 kursus ijazah sarjana muda dan satu praijazah kepada bakal-bakal guru.

Dengan sasaran itu, Timbalan Rektor Insitut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr. Lee Boon Hua berkata, di bawah Anjakan Ke-4 PPPM mentransformasi perguruan menjadi profesion pilihan, operasi kesemua IPG kini ditumpukan kepada tujuh agenda penting yang terdiri daripada:



DR. LEE BOON HUA Timbalan Rektor IPGM
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR Gambar SHAH JEHAN

* Memperkukuhkan saluran pengambilan guru terlatih

* Memantapkan kurikulum

* Meningkatkan kualiti pensyarah

* Meningkatkan kualiti prasarana.

* Meningkatkan kualiti kepimpinan

* Membangunkan aktiviti penyelidikan dan inovasi

* Membangunkan profil 27 buah cawangan IPG di seluruh negara.

Katanya, ketujuh-tujuh agenda itu menerapkan elemen kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam kalangan bakal guru dengan kaedah Kemahiran Abad Ke-21.

Beliau kemudian mendefinisikan takrifan Kemahiran Abad Ke-21 itu sebagai menggunakan kaedah pembelajaran dan pengajaran menerusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Oleh itu, Pusat Pembangunan Kurikulum IPG bertanggungjawab meneliti semula skop akademik institut berkenaan dengan pemantauan dan kelulusan Majlis Senat agar bakal guru dilengkapi teori dan pengetahuan sebelum mengajar di sekolah-sekolah.

"Antara perubahan itu adalah memanjangkan tempoh praktikal mengajar di sekolah daripada lapan minggu kepada 24 minggu dengan dibahagikan kepada dua semester.

"Perkara ini bertujuan memastikan bakal-bakal guru benar-benar bersedia dan mampu menjadi warga pendidik sebenar seperti yang diimpikan dalam visi dan misi negara," katanya.

Boon Hua berkata, IPG turut menyasarkan semua pensyarah sekurang-kurangnya berkelulusan tahap sarjana dan mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Dalam merencanakan matlamat itu, beliau berkata, institut berkenaan sedia menawarkan biasiswa kepada para pensyarah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Kini, IPG mempunyai sebanyak 95.3 peratus pensyarah berkelulusan sarjana dan 9.5 peratus ijazah doktor falsafah," ujarnya.

Dalam pada itu, Boon Hua berkata, IPG juga mengadakan kerjasama dengan universiti dan kolej terkemuka United Kingdom, Australia dan New Zealand bagi melahirkan guru-guru berkualiti.

"Hasil kerjasama itu telah mengangkat imej IPG apabila universiti dan kolej di ketiga-tiga negara berkenaan mengiktiraf kualiti akademik dan kokurikulum di IPG,'' katanya lagi.

Boon Huan amat berharap hala tuju institut yang dirancang sebelum ini dapat digerakkan sekali gus mempengaruhi hasil pelaksanaan PPPM dalam usaha menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia.

"Kita percaya menjelang tahun 2025, kualiti guru dan sistem latihan perguruan di Malaysia akan mendapat pengiktirafan dunia sekiranya setiap pelaksanaan berjalan lancar," katanya.

Mengulas tentang penstrukturan semula semua IPG, Boon Hua berkata, latihan bagi guru pelatih itu diterjemahkan dalam satu modul pembelajaran baharu untuk diselaraskan di seluruh negara.

IPGM, jelas beliau, bertindak sebagai badan induk yang menyelia setiap modul latihan dan kokurikulum guru pelatih, selain menentukan dasar serta hala tuju di setiap kampus IPG untuk mengimbangi kesaksamaan kualiti latihan guru pelatih.

"Selain mengguna pakai input daripada pensyarah di Pusat Pembangunan Akademik (PPA) di IPGM, kita turut mendapat pandangan serta kepakaran pensyarah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta," katanya.

Tambah beliau, ia bagi memastikan perkembangan berterusan pembangunan kokurikulum modul latihan guru pelatih untuk diselaraskan di seluruh kampus IPG.

"Ini membuktikan IPGM benar-benar serius untuk memastikan 45,000 guru pelatih yang sedang mendapat latihan di IPG menjadi model guru berkualiti," ujar beliau.

Boon Hua berkata, selain terlibat dengan minggu orientasi sekolah, guru pelatih didedahkan dengan kemahiran mengurus dan memimpin pelbagai program di peringkat sekolah merangkumi aktiviti kokurikulum.

"Pendedahan ini berupaya mewujudkan satu budaya dan aktiviti yang melengkapkan struktur organisasi yang baik di sekolah.

"Kita percaya, dengan penambahbaikkan program praktikal bagi guru pelatih di sekolah, bakal guru ini akan lebih bersedia pada hari pertama lagi untuk merealisasikan PPPM," katanya.

Kata Boon Hua, pemantauan yang dilakukan sejak dua tahun lalu bagi memastikan modul yang diterapkan di IPG mampu diterjemahkan oleh guru kepada pelajar termasuk kemahiran penggunaan teknologi maklumat (ICT), mempraktikkan konsep KBAT serta kerjasama berpasukan pada peringkat sekolah.

Dengan dengan kira-kira 11,500 lepasan baharu IPG, Boon Hua mahu dasar PPPM tidak saja berakhir pada tahun 2025, sebaliknya sasaran yang lebih besar adalah untuk menghasilkan guru yang boleh melaksanakan pembelajaran serta pengajaran yang akhirnya memberi manfaat kepada para pelajar.   Utusan/Pendidikan/20140616

Subscribe

  • Perlukah Menyuruh Mereka Meletak Jawatan?

    Maka dengan ini ‘sila letak jawatan’ merupakan catatan di media. Kegagalan para Menteri (termasuk Menteri Kanan) , ahli Parlimen yang…

  • Keserasian Pasukan Negara?

    Pasukan Harimau Malaya kini sedang bersiap sedia untuk kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang baki pusingan keduanya akan disambung di…

  • Keserasian dalam pasukan bola, politik

    Pasukan Hari Malaya kini sedang bersiap sedia ke Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang baki pusingan keduanya akan disambung di Dubai,…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments