kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Model Baru Ekonomi acuan status negara maju

Tiada golongan tersisih nikmati agihan kekayaan

Aspirasi nasional untuk menjadi negara maju setengah dekad lagi mempunyai beberapa persoalan utama. Antaranya, apakah acuannya? Apakah tanda aras digunakan bagi mengukur, sama ada kita telah berjaya dan siapa serta golongan manakah yang mendapat manfaat daripada kejayaan itu nanti?

Model Baru Ekonomi yang menjadi asas kepada rancangan pembangunan kita untuk satu dekad (tahun 2010 hingga tahun 2020) jelas menyatakan bahawa acuan kemajuan kita adalah milik kita. Pengukurnya bukan sekadar kekayaan material negara melalui Pendapatan Negara Kasar (GNI), tetapi juga aspek pengagihan kekayaan.

Tiada golongan akan tersisih kerana negara kita hanya dianggap berjaya apabila setiap ahli masyarakat berpeluang untuk maju.

Sama penting dalam acuan kita adalah memastikan kelestarian sumber dan bahan asli yang bukan sahaja bakal lupus jika tidak cermat penggunaannya, malah kos pencemaran bakal merugikan apa sahaja faedah yang terkumpul selama ini.

Dalam memastikan tiada individu atau golongan yang tersisih, Dasar Pembangunan Negara amat berkait rapat dengan dasar menjamin keperluan asas rakyat.

Paling asas ialah untuk memastikan sekurang-kurangnya tahap asas keselamatan ekonomi dapat dinikmati oleh setiap ahli masyarakat. Ini meliputi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal pada tahap keselesaan yang boleh diterima.

Keperluan sara hidup minimum terjamin dari segi makanan, tempat tinggal dan pakaian yang membentuk sebahagian daripada taraf hidup adalah teras program pembangunan ekonomi dan sosial kerajaan.

Capai pendapatan minimum

Bagi mencapai taraf hidup minimum mestilah disokong oleh pendapatan minimum seperti ditetapkan oleh kerajaan baru-baru ini. Bagaimanapun, dalam setiap masyarakat, akan wujud anggota masyarakat yang kurang berkemampuan untuk mengatasi punca kemiskinan mereka. Golongan ini termasuk mereka yang kurang upaya, terbabit dalam kemalangan dan hilang punca pendapatan, tua dan sebagainya.

Sistem perlindungan sosial adalah berdasarkan tanggapan bahawa untuk menjamin perpaduan dan solidariti, keselamatan ekonomi ahli dalam masyarakat adalah tanggungjawab bersama. Perpaduan bermakna masyarakat berkongsi waktu senang dan susah.

Setiap individu dalam masyarakat bertanggungjawab menyumbang ke arah pembangunan individu dan masyarakat.

Seperti yang ditakrifkan oleh Persatuan Keselamatan Sosial, keselamatan sosial merujuk kepada ‘perlindungan yang disediakan oleh sesuatu masyarakat untuk ahlinya, melalui polisi awam yang dapat menampung kehidupan ahlinya daripada kesusahan ekonomi dan sosial yang disebabkan oleh kecederaan atau penyakit, bersalin, kecederaan pekerjaan, pengangguran, kecacatan, usia tua dan kematian; penyediaan penjagaan perubatan, serta pemberian subsidi untuk keluarga dengan kanak-kanak.’

Keselamatan sosial selalunya merujuk kepada skim yang individu bakal menikmati faedah memikul sebahagian tanggungjawab seperti sumbangan daripada pekerja dan majikan. Bantuan wang tunai langsung kerajaan dan skim bantuan yang lain termasuk:

Skim pencen
– Simpanan Dana untuk tujuan pencen seperti KWSP;
Skim Perlindungan Kecederaan Pekerjaan;
– Hilang upaya dan Skim Pencen untuk waris;

Skim Pencen yang disediakan untuk syarikat;
– Pelan Persaraan Swasta (PRS);
– Pelan Bantuan Pengangguran; dan
– Skim Insurans Kesihatan.

Skim keselamatan sosial sekurang-kurang mempunyai empat matlamat utama:

Untuk mengatasi cabaran kemiskinan.

Memastikan rakyat berasa selamat, iaitu bukan sahaja berasa terjamin jika berlaku kesusahan di luar jangkaan seperti sakit, kecacatan, pengangguran, tetapi juga berasa selamat berada dalam persekitaran pekerjaan dan kematian pencari nafkah utama atau tunggal.

Hasilnya, individu akan berani mengambil risiko untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif. Sikap ini yang bakal menggerakkan keusahawanan yang akan dapat melonjak ekonomi negara.

Mencapai kesaksamaan dengan pengagihan semula atau memindahkan pendapatan kepada golongan yang memerlukan dan serba kekurangan.

Solidariti dalam kalangan ahli masyarakat yang sepatut tidak dianggap sebagai sedekah, tetapi sebagai satu bentuk saling kerjasama dan sokongan dalam satu masyarakat yang dapat berdikari.

Bagaimanapun, kerajaan mempunyai cabaran dalam penggubalan dasar keselamatan sosial, antara:

Perubahan ciri-ciri demografi iaitu penuaan masyarakat yang menjadi trend di seluruh dunia.

Keperluan untuk menjana peluang pekerjaan yang sesuai.

Ancaman pengangguran kerana pasaran tenaga kerja yang semakin global dan persekitaran ekonomi yang semakin tidak menentu.

Keperluan untuk memperluaskan perlindungan dengan skim yang berpatutan dan sistem kewangan

Kerajaan yang mampan

Juga isu sama ada sistem sepatutnya diuruskan oleh kerajaan atau swasta.

Cabaran berkenaan adalah halangan yang menjadi lebih sukar diatasi ketika ekonomi mengalami kemelesetan dan apabila kerajaan mengalami masalah kewangan negara. Justeru, ketika negara mengalami pertumbuhan ekonomi yang sihat, kerajaan perlu menjana lebihan kewangan supaya dapat menampung perbelanjaan, terutama bagi memastikan keselamatan sosial yang asas terjamin.

Maklumat lanjut mengenai topik ini boleh diperoleh melalui hasil kajian Datuk Dr Soh Chee Seng, bekas Felo SSRC dengan melayari laman sesawang ssrc.um.edu.my.

Dr Norma Mansor ialah Profesor di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya Berita Harian Kolumnis 2014/06/18 - 00:52:41 AM
Tags: meb
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments