kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sistem muafakat tonggak kestabilan pemerintahan

Toleransi Raja, pentadbir kunci keharmonian

Kebelakangan ini, melalui beberapa peristiwa yang berlaku di tanah air, seperti pelantikan Menteri Besar, setiausaha kerajaan negeri dan terbaharu, kuasa Raja dalam pentadbiran negeri, kita telah didedahkan dengan kedudukan Perlembagaan negeri-negeri.

Justeru, adalah penting juga untuk kita mendapatkan gambaran tentang sejarah Perlembagaan negeri-negeri yang membentuk negara Persekutuan Malaysia ini.


Seperti kita maklum, setiap negeri mempunyai Perlembagaan sendiri. Perlembagaan negeri ini juga dikenali sebagai Undang-Undang Tubuh Negeri. Ini menjadikan di Malaysia mempunyai tiga belas Perlembagaan bagi negeri-negeri dan sebuah Perlembagaan bagi keseluruhan Persekutuan.

Perlembagaan negeri bagi sesebuah negeri itu hanya terpakai di negeri masing-masing dan Perlembagaan Persekutuan adalah terpakai ke atas semua negeri dalam Persekutuan, termasuk Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Jika disingkap sejarah, Perlembagaan Negeri-negeri Melayu yang terawal ialah Perlembagaan Negeri Johor dan Terengganu. Pada tahun 1895, semasa pemerintahan Sultan Abu Bakar, Johor telah menggubal Undang-Undang Tubuh Negeri Johor. Perlembagaan negeri Johor ini telah diterima sebagai Perlembagaan pertama di Tanah Melayu.

Sementara itu negeri Terengganu, pada tahun 1911 semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III telah menggubal Undang-Undang Tubuh Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu. Perlembagaan negeri Terengganu ini mempunyai peruntukan serupa dengan Perlembagaan negeri Johor.

Bermesyuarat urusan pentadbiran

Kedua-dua Perlembagaan pertama negara yang telah meletakkan kuasa yang luas kepada Sultan bagi negeri-negeri berkaitan pemerintahan dan pentadbiran negeri. Sultan diberikan kuasa bagi menentukan pegawai-pegawai bagi urusan pentadbiran negeri. Sultan berhak melantik dan memecat pegawai-pegawai. Sultan juga berhak menentukan hukum ke atas pegawai-pegawainya dan juga rakyatnya. Namun, apa yang perlu diberikan perhatian mendalam ialah, walaupun semua kuasa bertumpu pada baginda, baginda hendaklah bermesyuarat dengan pegawai-pegawainya atas apa-apa pekerjaan atau urusan pentadbiran kerajaan.

Perlembagaan ini juga tidak memberikan kuasa mutlak kepada Raja untuk menolak sebarang keputusan mesyuarat. Ada disebut dalam Perlembagaan berkenaan tentang tanggungjawab Raja untuk menerima keputusan mesyuarat pegawai dan tidak boleh memveto atau mengetepikan keputusan itu setelah Sultan pasti tentang tiada khilaf dalam keputusan mesyuarat itu.

Perkara ini penting untuk kita lihat kerana, walaupun dikatakan dalam sejarah bahawa Sultan mempunyai kuasa untuk melantik dan juga memecat pegawai dan pentadbir negeri, tetapi kedudukan pegawai-pegawai berkenaan adalah dihormati oleh undang-undang dan Sultan hendaklah patuh dengan keputusan pegawai-pegawainya.

Dalam keadaan yang mana keputusan mesyuarat tidak dipersetujui oleh Sultan, baginda diberikan peluang mengarahkan ahli mesyuarat untuk menilai keputusan itu sebanyak empat kali.

Ambil kira pendapat pentadbir

Perlembagaan awal ini juga menunjukkan bahawa bertindak dengan kuasa mutlak yang sewenang-wenang bukan tradisi pentadbiran negeri-negeri Melayu. Raja sentiasa mengambil kira pendapat atau keputusan pentadbir; pentadbir juga hendaklah menghormati Sultan. Ia adalah sistem bermuafakat.

Merujuk kepada peruntukan Perlembagaan negeri Melayu, walaupun Sultan mempunyai kuasa mutlak dalam banyak perkara, adalah tidak tepat jika dikatakan Sultan melaksana kuasa berkenaan dengan mutlak. Benar jika Sultan mempunyai kuasa mutlak untuk melantik pegawai, tetapi ada disebut dalam Perlembagaan awal berkenaan tentang sifat ahli mesyuarat, iaitu mereka yang dipanggil ahli al-hal wa al-aqd, yang secara mudah bermaksud mereka yang mempunyai integriti dan keupayaan yang tinggi.

Dengan kata lain, pada hakikat peruntukan Perlembagaan berkenaan, Sultan tidak boleh juga melantik seseorang sebagai ahli mesyuarat negeri seseorang yang tidak mempunyai kelayakan ahli al-hal wa al-aqd, ini.

Ketika proses membentuk Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, negeri-negeri telah diarah untuk membuat Perlembagaannya sendiri dan begitulah seterusnya dengan pembentukan Persekutuan 1957. Johor dan Terengganu mengekalkan sebahagian daripada Perlembagaan awal dan menerima banyak perubahan setelah kemerdekaan.

Walau apa perubahan kepada Perlembagaan 1948 dan 1957, dan penerimaan sistem Raja Berperlembagaan di peringkat Persekutuan dan negeri setelah merdeka, hakikat yang perlu kita teladani ialah, dari segi peruntukan undang-undang sistem muafakat dan mesyuarat menjadi tonggak kepada kestabilan. Sistem ini begitu sebati dalam sistem beraja dan pentadbiran yang sedang kita amalkan.

E-mel ke rencanabh@bh.com.my untuk berkongsi pendapat anda Berita Harian Kolumnis 2014/06/18 - 00:55:52 AM Shamrahayu A Aziz
Tags: perlembagaan, raja, sultan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments