kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Di mana 'taring' Maritim Malaysia?

PENDEDAHAN akhbar ini pada Ahad lalu berhubung kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi yang bermaharajalela di perairan negara bukanlah perkara kecil sebaliknya ia melibatkan kerugian berjuta-juta ringgit dalam tempoh sebulan kepada kerajaan.

Berdasarkan maklumat yang diterima oleh penulis, aktiviti penyeludupan di perairan negara cukup menggerunkan seolah-olah tiada penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa negara ini.

Walaupun mempunyai kuasa yang dianggap cukup luar biasa untuk membanteras sebarang jenayah di lautan, namun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dilihat kehilangan taringnya sehingga memungkinkan sindiket antarabangsa mengambil kesempatan.

Diesel bersubsidi dari Malaysia menjadi sasaran sindiket kerana mereka mampu mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit apabila ia dijual di pasaran antarabangsa.



SALAH sebuah kapal yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Selatan di perairan Pengerang, Johor, kelmarin.

Ini kerana harga diesel bersubsidi negara ini jauh lebih murah berbanding negara-negara lain sebagai contohnya di Malaysia, bahan bakar itu dijual RM2 seliter selepas kerajaan memberi subsidi sebanyak 74 sen.

Di Vietnam harga diesel seliter adalah RM3.60 sen, Thailand (RM3.04), Indonesia (RM3.38), Filipina (RM4.39) dan Singapura (RM4.46).

Walaupun menjual dengan harga AS$1, namun sindiket tetap mengaut keuntungan memandangkan mereka membeli daripada sindiket tempatan dengan harga sekitar RM2.40 sen hingga RM2.60 seliter.

Seperti mana dilaporkan sebelum ini, satu sumber memberitahu, bagi setiap sejuta liter diesel yang diseludup, kerajaan kerugian RM740,000 berdasarkan pemberian subsidi sebanyak 74 sen seliter bagi kegunaan rakyat negara ini.

Dan perlu diingat, penyeludupan yang berlaku bukannya melibatkan kapal yang boleh memuatkan antara 200,000 liter hingga 300,000 liter tetapi juga kapal lebih besar yang mampu memuatkan antara tiga juta liter hingga lima juta liter diesel pada satu-satu masa.

"Dalam sehari bukan satu dua kapal yang menjalankan operasi haram itu tetapi melibatkan jumlah yang banyak dan bukan di satu kawasan sahaja. Persoalannya kenapakah tiada tindakan diambil? Kenapa perlu Pasukan Petugas Khas bagi membanteras kegiatan itu sedangkan kita sudah ada agensi penguat kuasa untuk tujuan tersebut," kata satu sumber kepada penulis.

Sememangnya persoalan itu perlu dijawab oleh agensi terlibat dan bukannya diam seribu bahasa seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Ini memandangkan, minyak diesel yang diseludup walau hanya seliter sekali pun, ia adalah hak rakyat negara kita. Tetapi kenapakah begitu mudah ia dirompak oleh sindiket-sindiket antarabangsa? Kenapakah mereka boleh bermaharajalela di perairan negara?

Difahamkan aktiviti rondaan oleh Maritim Malaysia dilakukan 24 jam. Kalau betullah keadaan itu, tak kan mereka tidak nampak kapal-kapal yang menjalankan aktiviti haram tersebut?

Justeru Maritim Malaysia tidak boleh mengamalkan sikap menganggap pendedahan media sekadar berita sahaja. Mereka perlu mengkaji kelemahan yang ada dalam operasi yang dijalankan kerana agensi itu bertanggungjawab memastikan tidak berlaku kegiatan penyeludupan.

Tambahan pula agensi itu mempunyai keupayaan untuk membanteras perbuatan tersebut sebagaimana pihak berkuasa negara jiran yang dilihat begitu tegas bagi memastikan perairan mereka tidak dijadikan 'port' untuk kegiatan haram.

"Menunjukkan ada pergerakan kapal yang mencurigakan terutamanya berlabuh sebelah menyebelah, mereka pasti akan menghantar pasukan untuk menyiasat tetapi keadaan itu dikatakan tidak berlaku kepada pihak berkuasa Malaysia," dakwa satu sumber yang bertanggungjawab menyiasat penyelewengan diesel bersubsidi di tengah laut kepada penulis, kelmarin.

Sumber itu berkata, turut perlu diperjelaskan ialah benar atau tidak berlakunya 'pembayaran tol' antara RM600 hingga RM3,000 oleh kapal-kapal yang terlibat dalam penyeludupan diesel bagi memastikan aktiviti mereka tidak diganggu oleh pihak berkuasa.

"Maritim Malaysia perlu menjelaskannya supaya ia tidak menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti agensi itu," katanya.

Atas sebab itulah, ramai berpendapat, tiada gunanya, Maritim Malaysia begitu bangga mendedahkan satu demi satu kejayaan membanteras jenayah lain di perairan negara tetapi dalam soal penyeludupan diesel tiada apa-apa kejayaan besar yang dicapai.

Sebaliknya apa yang agak melucukan, seperti mana kata sumber itu, Maritim Malaysia begitu teruja untuk mengumumkan berlakunya rompakan minyak diesel ke atas kapal dagang tetapi tidak pula mempersoalkan betulkah minyak tersebut dari Singapura.

"Sikap Maritim Malaysia itu agak menghairankan, sebab tiada apa yang perlu 'dibanggakan' berhubung kes rompakan tersebut memandangkan sepatutnya agensi berkenaan menumpukan perhatian bagaimanakah diesel bersubsidi begitu mudah diseludup keluar melalui perairan negara ini," katanya.

Atas sebab itulah, sumber tersebut menegaskan, Maritim Malaysia tidak boleh menutupi kelemahannya apatah lagi mengamalkan sikap cuba mengalih isu dengan memperbesar-besarkan isu rompakan ke atas kapal Ai Maru di perairan Tanjung Sedili pada Sabtu lalu.

"Tumpulah kepada tugas utama iaitu menghapuskan sehingga ke akar umbi penyeludupan diesel bersubsidi melalui perairan kita kerana kerajaan akan terus menanggung kerugian berpuluh-puluh juta ringgit sebulan jika kegiatan itu tidak dibanteras dan keadaan ini boleh membebankan kewangan negara," katanya lagi.

Penulis difahamkan Maritim Malaysia mempunyai teknologi yang cukup canggih termasuklah mengawasi sebarang pergerakan di laut tetapi malangnya ia seolah-olah tidak digunakan atau sengaja tidak digunakan.

Keadaan itu menyebabkan kegiatan penyeludupan diesel bermaharajalela apatah lagi apabila ada sindiket yang bersedia mengeluarkan modal untuk merasuah anggota-anggota agensi penguat kuasa bermula dari darat hingga ke laut.

Kini terserahlah kepada Maritim Malaysia sama ada ingin menjadi penyelamat kepada ekonomi negara atau membiarkan sahaja kelemahan yang berlaku sehingga ia satu hari kelak boleh meruntuhkan ekonomi kita.

Ini memandangkan ketirisan dan pengaliran wang negara akibat kegiatan penyelewengan bahan bakar itu bukanlah sedikit sebaliknya ia semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Keadaan itu memungkinkan kerajaan terpaksa menambah peruntukan setiap tahun bagi menampung subsidi bagi bahan bakar, bukan disebabkan penggunaan oleh rakyat negara tetapi berpunca daripada kelemahan agensi penguat kuasa kita.

Zulkiflee Bakar Utusan/Rencana/20140618
Tags: maritim
Subscribe

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Menghormati

    Menghormati atau memberi hormat adalah sesuatu yang membawa banyak kekuatan dan kelebihan. Ia mempunyai kekuatan untuk menyatukan atau memisahkan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments