kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Henti draf akta keharmonian

NUCC kena sedia Kertas Putih, perjelas sebab undang-undang baharu perlu digubal

Pada 6 Jun lalu, saya menghadiri majlis konsultasi Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC). NUCC harus dipuji kerana komitmennya untuk mendapatkan pandangan rakyat. Amanah dan harapan yang diberikan kepadanya amat penting dan besar.

Namun, satu daripada jawatankuasa NUCC melakukan kesilapan yang boleh menyebabkan usaha majlis itu ditolak rakyat, iaitu membentangkan tiga draf undang-undang baharu tanpa menjelaskan terlebih dahulu mengenai visi, matlamat dan perancangan mereka. Tanpa memberikan latar belakang, dengan tidak semena-mena jawatankuasa ini menerbitkan draf tiga akta berkenaan.

Pada konsultasi itu, saya menggesa agar proses menyediakan draf akta itu diberhentikan. Saya meminta NUCC menyediakan terlebih dahulu Kertas Putih untuk memberikan gambaran apa yang mereka sedang usahakan.

NUCC mengeluarkan kenyataan pada 9 Jun 2014 yang antaranya turut menjawab cadangan saya. Ia menyatakan penyediaan Kertas Putih adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan bukan amalan biasa di negara ini. Namun, NUCC bersetuju menyediakan kertas yang akan menjelaskan sebab undang-undang baharu itu diperlukan dan bagaimana ia akan menyumbang ke arah pengukuhan keharmonian sosial.

Alasan bukan amalan kebiasaan

Tindakan NUCC memberikan alasan Kertas Putih bukan kebiasaan di negara ini adalah dikesali. Ramai ahlinya adalah daripada masyarakat sivil yang banyak memberi pandangan berkaitan penambahbaikan proses tadbir urus negara. Mereka seharusnya merebut peluang yang amat jarang ini untuk mempraktikkan apa yang mereka tuntut.


Seharusnya mereka mencipta contoh terbaik untuk pembuat dasar lain, bukannya menjadikan amalan biasa sebagai helah untuk tidak berubah. Seharusnya merekalah yang menasihatkan Perdana Menteri dan menyediakan draf Kertas Putih untuk diterbitkan terlebih dahulu, bukan mencuci tangan begitu sahaja.

NUCC adalah usaha murni Perdana Menteri untuk mencapai hasrat melahirkan Malaysia yang bersatu padu dan harmoni. Ia selaras dengan Rukun Negara dan juga yang dicita-citakan dalam Wawasan 2020, iaitu mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, yang mana masyarakat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan agama dalam keadaan semuanya meletakkan kesetiaan penuh kepada negara.

Malangnya, tatkala NUCC diwujudkan untuk memberi nasihat kepada Perdana Menteri bagaimana untuk mencapai semua visi murni itu, mereka menghadapi tentangan sejak mula ditubuhkan.

Ada pertubuhan Melayu Islam yang ragu dengan niat sebenar NUCC. Mereka mendakwa hasil kerja NUCC nanti akan mencabar kedudukan orang Melayu, agama Islam dan kedudukan Raja-Raja seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Malah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyatakan pandangan agak keras. Menurut beliau, tiga draf undang-undang dicadangkan itu tidak akan menghasilkan kesaksamaan atau keadilan.

Kritikan itu tidaklah mengejutkan. Sebenarnya semuanya memang boleh dijangka. Sejak awal penubuhan NUCC, anak Dr Mahathir, Datin Paduka Marina, mengatakan NUCC perlu memahami cabaran paling besar mereka ialah defisit kepercayaan rakyat. Defisit kepercayaan inilah yang membawa kepada kritikan terhadap NUCC.

Marina, seorang daripada ahli NUCC turut mengatakan, untuk berjaya NUCC perlu inovatif dan proaktif. Malangnya, jawatankuasa yang menyediakan tiga draf undang-undang itu tidak menghiraukan pandangan itu dan mengekalkan cara kerja lapuk. Mereka tergesa-gesa dan gagal merancang dengan teliti cara mengecilkan defisit kepercayaan rakyat terhadap mereka terlebih dahulu.

Rakyat berasa sangsi

Akibat kegelojohan jawatankuasa kecil ini, NUCC keseluruhannya ditolak oleh akar umbi yang mana kebanyakannya kerana rakyat tidak tahu apa sebenarnya wawasan NUCC dan di mana letaknya akta baharu ini dalam kerangka kerja NUCC. Kesangsian yang wujud menyebabkan amanah diberikan kepada NUCC oleh Perdana Menteri menjadi lebih sukar untuk dipenuhi jika tidak diperbaiki.

Perlu disebutkan tidak ada jaminan akta baharu akan memperbaiki keadaan. Malah, mengikut penyelidikan Pusat Kajian Berkley Mengenai Agama, Keamanan dan Hal Ehwal Antarabangsa yang berpusat di Georgetown University, Amerika Syarikat, ada kalanya undang-undang boleh menyebabkan keharmonian nasional menjadi lebih tergugat.

Maka NUCC perlu menjelaskan kajian manakah yang mereka rujuk sehingga mahu memperkenalkan bukan satu, tetapi tiga akta baharu. Jawatankuasa ini perlu bertanggungjawab. Mereka perlu meminta maaf atas kesilapan besar ini agar kredibiliti NUCC tidak terus tergugat. Mereka perlu menarik balik draf undang-undang berkenaan dan memperbaiki kaedah kerja.

NUCC perlu mendrafkan dahulu Kertas Putih yang menggariskan gambaran besar keharmonian nasional yang mereka mahu usahakan. Penerangan perlu diberikan dan memasukkan hasil perbincangan empat jawatankuasa lain dalam NUCC. Mereka perlu menjelaskan jika ada undang-undang baharu yang perlu diperkenalkan dan kenapa ia boleh membantu meningkatkan keharmonian. Langkah lain juga perlu diterangkan agar rakyat memahami cadangan NUCC secara holistik.

Setelah itu barulah rakyat boleh memberikan pandangan lebih jitu. Tanpa maklumat penuh, semua komen yang diberikan adalah bersifat teoretikal.

Jika NUCC tidak mahu menerbitkan Kertas Putih, panggillah ia dengan apa-apa nama yang sesuai sekali pun. Yang penting rakyat perlu mendapat satu dokumen yang menggariskan latar belakang dan gambaran penuh idea yang mahu dibawa oleh NUCC. Jangan biarkan kesilapan ini merosakkan agenda kesatuan nasional yang lebih besar.


Wan Saiful Wan Jan Ketua Eksekutif Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Berita Harian Rencana 2014/06/19 - 00:28:44 AM
Tags: akta, harmoni
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments