kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Isu-Isu Akhbar Cina ~ PKR dan Kewarganegaraan

PAKATAN RAKYAT HILANG ARAH

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 13 Jun 2014 menyiarkan artikel kelangsungan politik Pakatan Rakyat berikutan kekalahan DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan baru-baru ini.

Artikel bertajuk ‘Ke manakah hala tuju Pakatan Rakyat?’ yang ditulis Ketua Fakulti Budaya Hakka, Universiti Perguruan Kao Shiong Taiwan, Lee Liang Shi disiarkan dalam ruangan Pendapat Yan Lun halaman W3.

Kegagalan DAP mengekalkan kerusi Parlimen Teluk Intan setelah kalah tipis kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRK pada 31 Mei lalu mendedahkan kepincangan Pakatan Rakyat sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.

Antaranya, persoalan menjurus sekiranya kekalahan itu akibat penyokong Pakatan Rakyat yang telah mula kembali kepada BN? Adakah ia petanda gelombang ‘Ubah’ diumumkan Pakatan Rakyat pada 5 Mei 2013 makin lemah?

Tidak dinafikan kebenaran segelintir pengundi kembali menyokong BN selain dikatakan nisbah pengundi khususnya dalam kalangan penyokong DAP yang menurun dan jika tidak, pastinya DAP dapat mengatasi undi BN yang menang tipis.

Peralihan sokongan itu dipercayai kerana rakyat sudah kecewa dengan konflik dalaman Pakatan Rakyat yang dilihat tidak berkesudahan, malah semakin menampakkan perpecahan terutama antara Pas dan DAP.

Antara isu yang dikatakan menyumbang kepada kekalahan itu ialah pertelagahan Pakatan Rakyat yang berlaku di negeri Selangor serta perbezaan pendapat berhubung cadangan pelaksanaan hudud Pas yang ditentang DAP.

Lebih memburukkan keadaan, UMNO mengambil kesempatan itu untuk berpihak kepada Pas (dalam isu hudud) dan ternyata taktik itu memecahbelahkan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat sehingga menyebabkan mereka hilang punca dan langkah.

Sejak tsunami politik Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, semangat Pakatan Rakyat dilihat berkobar-kobar apatah lagi laungan ‘Ubah’ kerajaan pada PRU 2013 mendapat sokongan rakyat yang yakin mereka dapat menggantikan kerajaan BN.

Pada hemat penulis, keadaan politik pada masa itu tidak memungkinkan Pakatan Rakyat melepasi struktur kumpulan politik BN apatah lagi parti komponen itu menguasai tiket undi dan penyokong dari Sabah dan Sarawak.

Hakikatnya, bukan mudah untuk tumbangkan tiket ‘deposit’ BN yang begitu kukuh di Sabah dan Sarawak dan Pakatan Rakyat dilihat hanya boleh meraih 89 kerusi berbanding 95 kerusi, iaitu had paling maksimum mampu diperoleh mereka.

Penulis juga membayangkan, BN berkemungkinan besar dapat menguasai majoriti 2/3 kerusi Parlimen dalam PRU akan datang sekiranya Pakatan Rakyat tidak bertindak sesuatu untuk memulihkan pergolakan dalaman mereka.

BN pula kata penulis, jika mahu mengekalkan kuasa perlu bekerja keras memulihkan ekonomi negara sekali gus memberi kemakmuran kepada rakyat, justeru tidak ada sebab suara Pakatan Rakyat terus relevan di negara ini.

PEMUDA UGUT LEPAS KEWARGANEGARAAN

ARTIKEL mengenai hasrat seorang pemuda anak kacukan untuk menukar nama Islamnya yang masih tidak kesampaian disiarkan dalam akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 10 Jun 2014.

Artikel bertajuk ‘Tidak terima jadi status beragama Islam’ itu disiarkan di muka hadapan akhbar berkenaan.

Dalam temuramah di Pulau Pinang pada 9 Jun lalu, pemuda bernama John menyatakan kekecewaan kerana permohonan untuk menukar nama Islamnya dalam kad pengenalan tidak dilayani Jabatan Pendaftaran.

Malah, kenyataan berbaur ugutan turut dinyatakan kepada wakil akhbar berkenaan bahawa dia akan melepaskan kewarganegaraan Malaysia sekiranya permohonan yang dibuat sekali lagi masih gagal!

Menyelami dilema, John, 32, mendakwa Pejabat Pendaftaran Pulau Pinang telah melakukan kesilapan apabila dia terpaksa menanggung beban menggunakan nama Melayu selama lebih 20 tahun lalu.

Berdasarkan dokumen, John, ketika memohon Mykad pada usia 12 tahun telah didaftarkan atas nama Johann Lim Noordin, namun telah diubah kepada Johann Lim Noordin Bin Billy Noordin oleh pejabat pendaftaran berkenaan.

Perubahan itu dibuat berdasarkan pertimbangan pihak berkenaan bahawa rupa John tidak seperti Cina selain nama bapanya ialah Billy Noordin.

Memandangkan dirinya bukan beragama Islam, John tidak sanggup melalui proses pertukaran status dokumennya diputuskan oleh Mahkamah Syariah, setidak-tidaknya itulah prasyarat akhir ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran.

Apa yang dikesali John, dia sama sekali tidak faham kenapa harus menanggung beban akibat kesalahan Jabatan Pendaftaran dan perlu berhadapan dengan kesukaran mendapatkan kelulusan daripada Mahkamah Syariah pula.

Lebih merisaukannya, dokumen sebelum ini juga membuktikan Mahkamah Syariah Pulau Pinang belum pernah ada rekod mahu melepaskan permohonan menggugurkan status agama Islam setakat ini.

Dalam usaha mendapatkan maklumat dari pihak Pejabat Pendaftaran di Pulau Pinang, wartawan Nanyang Siang Pau mendapati kes John itu telahpun dibawa ke Pejabat Pendaftaran Putrajaya untuk tindakan selanjutnya.

Isu berkenaan kini semakin hangat diperkatakan dalam laman sesawang sekali gus tersebar di seluruh dunia. Keadaan ini telah menyebabkan sesetengah pengguna Internet menyalahtafsirkan perkara tersebut.

Sebahagian besar mereka telah mempertikaikan sikap tidak bertanggungjawab pejabat pendaftaran itu yang seolah-olah melepaskan tengkuk dan menyerahkan kesilapan mereka kepada Mahkamah Syariah.

Salah seorang daripada mereka dikenali sebagai Alvin pula menyeru semua pengguna Internet agar menyebarkan kepincangan sistem birokrasi kerajaan Malaysia sekiranya isu John masih tidak diselesaikan dengan baik.   Utusan/Rencana/20140619

Tags: pkr
Subscribe

  • Langkah Kajang', langkah malang

    ARENA politik pasti mencatatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sebagai 'satu sejarah hitam' dalam politik negara. Bermula…

  • Demokrasi PKR yang tercalar

    Aduan Bantahan Pemilihan Paling Banyak Dalam Sejarah Politik Malaysia Jika pada pemilihan lepas terdapat 160 aduan rasmi daripada ahli dan…

  • All-out war for the big post

    The earth has been rumbling under the feet of Tan Sri Khalid Ibrahim as speculation grows that Selangor may soon be getting a woman Mentri Besar.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments