kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Memahami tindakan Ketua Polis Negara

SELAIN daripada bertekak pasukan manakah yang bakal menjuarai Piala Dunia, penulis lebih tertarik dengan isu Deepa lawan Izuan Abdullah iaitu kes tentang soal hak penjagaan anak yang membabitkan keputusan berbeza antara mahkamah syariah dan sivil.

Isu ini terus menjadi perbualan antara kami walaupun aksi bola sepak Piala Dunia begitu sengit di televisyen.

Dan pastinya persoalan yang dibincangkan ialah pihak manakah yang mempunyai kuasa memutuskan hak penjagaan anak? Mahkamah syariah atau sivil?

Dan adakah mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan berkenaan untuk si isteri yang bukan Islam apabila si suami telah memeluk Islam?

Dan bagaimana pula dengan status dan pertukaran pertukaran agama kanak-kanak tersebut. Adakah ia sah dan mengikut undang-undang?

Ini adalah persoalan yang biasa kita bincangkan apabila kes seperti ini berlaku.

Kes ini terus menarik perhatian ramai apabila ada pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang terus mempertahankan tindakan dan kenyataannya bahawa polis akan menempatkan anak-anak dalam kes hak penjagaan membabitkan mahkamah syariah dan sivil, di pusat penjagaan.

Khalid berkata polis mengambil jalan tengah dalam soal hak penjagaan anak yang membabitkan keputusan berbeza mahkamah syariah dan sivil, tanpa menguatkuasakan perintah mana-mana mahkamah.

Ramai di antara kami yang berpendapat ini adalah langkah yang adil dan perlu dilaksanakan walaupun boleh dipertikaikan dari segi perintah yang sudah dikeluarkan oleh pihak mahkamah.

Itu sebabnya bagi yang tidak bersetuju dengan tindakan KPN telah mendakwa KPN tidak menghormati undang-undang yang diperintahkan oleh mahkamah.

Apa yang pasti, kes ini mengundang semula satu isu tentang perundangan syariah yang sering kali berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama yang melibatkan pertindihan bidang kuasa dengan mahkamah sivil.

Sebenarnya Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan setakat mana undang-undang Islam dapat dilaksanakan di negeri-negeri Melayu. Perkara ini cukup jelas yang mana telah memberikan kuasa kepada negeri untuk menjalankan pentadbiran undang-undang Islam.

Itu sebabnya kita perlu merujuk pada Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang secara dasarnya memberi kuasa penuh kepada mahkamah syariah untuk mengadili semua kes yang melibatkan hal ehwal yang bersangkutan dengan agama Islam. Prinsip yang terkandung dalam Perkara 121(1A) merupakan salah satu usaha untuk memartabatkan perundangan Syariah dalam negara. Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan ini juga secara dasarnya telah meletakkan kedudukan mahkamah syariah setaraf dengan mahkamah sivil.

Selain itu, kita juga perlu meneliti Perkara 12(4) perlembagaan Persekutuan yang juga memperuntukkan agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya tidak perlu dipinda.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila Mahkamah Tinggi (Sivil) Seremban mengeluarkan perintah hak jagaan pada 7 April lalu sedangkan Mahkamah Syariah Seremban sudah pun mengeluarkan perintah sama pada 19 Mac tahun lalu dan perlu diingatkan bahawa perintah itu tidak pernah dibatalkan.

Bahkan ada antara kami berpendapat keputusan itu seperti tidak menghormati bidang kuasa mahkamah syariah serta menafikan keistimewaan mahkamah syariah dalam membicarakan kes yang tidak boleh dicabar oleh mahkamah sivil.

Namun, tindakan yang dilakukan plaintif disebabkan Senarai 2(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa mahkamah syariah hanya mempunyai bidang kuasa ke atas orang yang menganut agama Islam dan ini memberi peluang yang kes ini juga boleh diputuskan oleh mahkamah sivil?

Dan kita akan berbalik kepada persoalan asas, iaitu bagaimana pula dengan status si suami yang sudah memeluk agama Islam? Bukankah orang yang sudah menganut agama Islam tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah juga?

Bagaimana pula dengan pindaan Perenggan 1A dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan. Di sinilah terdapatnya garis pemisah antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Daripada pemahaman kami, Perenggan 1A ini menjelaskan bahawa mahkamah sivil tidak boleh mencampuri perkara-perkara yang berada di bawah bidang kuasa mahkamah syariah. Dengan itu, peruntukan ini telah mengeluarkan mahkamah syariah dari kekuasaan mahkamah sivil.

Perlu diingatkan bahawa sebelum pindaan itu terdapat beberapa kes yang mana setelah mahkamah syariah membuat keputusan, pihak yang kalah akan memohon kepada mahkamah sivil untuk membuat keputusan sebaliknya, khasnya dalam kes penjagaan anak.

Itu sebabnya ada beberapa kes yang mana kedua-dua mahkamah mengeluarkan keputusan berbeza. Jadi, pindaan pada Perenggan 1A ini dibuat bertujuan untuk mewujudkan kata sepakat supaya keputusan kedua-dua mahkamah dihormati.

Namun, apa yang berlaku dalam kes Deepa lawan Izuan Abdullah adalah sebaliknya.

Saya yakin kes Deepa lawan Izuan Abdullah bukanlah kes terakhir tentang isu penjagaan anak oleh ibu bapa berbeza agama. Saya pernah terbaca, terdapat lebih daripada 40 kes yang pernah dibicarakan yang melibatkan bidang kuasa antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Saya juga tertarik dengan saranan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Siti Zubaidah Ismail yang menegaskan bahawa sudah sampai masanya pihak kerajaan menimbang keperluan penggabungan mahkamah sivil dan mahkamah syariah bagi kes tertentu melibatkan orang Islam dan bukan Islam.

Menurut beliau, pendekatan yang boleh diambil ialah dengan menggunakan kaedah mediasi dan mahkamah syariah juga perlu bersedia untuk menghadapi cabaran penggabungan kepakaran bagi merealisasikan keadilan kepada pihak yang memohon.

Cadangan itu membawa kita kepada kemungkinan pembentukan sebuah mahkamah khas yang mengendalikan kes yang tertakluk kepada mahkamah syariah dan sebahagian lagi kepada mahkamah sivil.

Dan mahkamah khas ini mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan kes-kes seperti Deepa lawan Izuan Abdullah.

Mungkin apa yang dicadangkan oleh Dr. Siti Zubaidah Ismail tentang penggabungan dua mahkamah itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana pensyarah kanan itu juga menegaskan yang idea ini pernah diutarakan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Dan jika saya tidak silap Tokoh Undang-Undang negara, Allahyarham Tan Sri Professor Ahmad Ibrahim juga pernah mencadangkan percantuman beberapa bahagian khusus antara mahkamah syariah dan sivil.

Sudah sampai masanya jalan penyelesaian yang muktamad diambil agar kita tidak terus dibelenggu dengan masalah seperti ini. Walaupun kita berhadapan dengan suatu masalah yang sangat serius, namun masih terdapat jalan penyelesaian melalui rundingan.

Shahbudin EmbunKuala Lumpur Utusan/Forum/20140619

Tags: polis
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments