Memang kita hebat menjadi penyokong bola sepak hinggakan banyak kelab peminat tumbuh bak cendawan selepas hujan.
Sekadar minat tak perlu pun berlatih bersorak atau menghafal lagu tema kelab peminat kerana tiada siapa yang peduli kehendak peminat di negara ini. Apa yang bingit sikap tuding-menuding jari yang disertai komen demi komen yang tidak mempunyai sasaran (gol).
Pada musim Piala Dunia 2014 di Rio De Janeiro Brazil, hangat diperkatakan semula isu kegagalan negara kita menghantar skuad Harimau Malaya ke kejohanan Piala Dunia.
Maka isu ketidakbersuaraan anggota ASEAN untuk membida Piala Dunia 2034 bukanlah satu perkara yang pelik kerana tiada satu pun negara gagasan Asia Tenggara itu termasuk negara kita yang berada dalam senarai 30 negara terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Isu membida Piala Dunia 2034 tidak perlu digembar-gemburkan kerana banyak perkara dalaman perlu diselesaikan dahulu di beberapa negara ASEAN terbabit.
Indonesia sedang sibuk dengan pemilihan Presiden dan Thailand masih di bawah pemerintahan tentera.
Kita sebenarnya berpengalaman menganjurkan kejohanan sukan berskala besar seperti Sukan Komanwel 1998 dan sebelum itu Piala Dunia Remaja 1997.
Ini bermakna Malaysia bukan nama yang boleh ditolak begitu sahaja sebagai penganjur dengan pengalaman menganjurkan kejohanan bertaraf dunia sudah tercatat dalam lipatan sejarah. Justeru komitmen semua pihak di dalam negara ini perlu digembleng sama ada mahu jadi penganjur atau penyeri semata-mata sebagai tuan rumah yang layak secara automatik.
Sehubungan itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan pelan pembangunan bola sepak jangka panjangnya perlu melahirkan pemain masa depan yang bukan sahaja bermain dengan akal semata-mata tetapi hebat dalam akademik tahap tinggi bagi menyaingi pemain dunia yang mempunyai akal pintar yang kukuh dan tidak lembik.
Isu lembik pemikiran bukan bermaksud untuk menghina pemain-pemain kita tetapi jika pemain kita lengkap dari segi intelek, digabungkan dengan seni bola sepak maka pasukan kita akan lebih berdaya saing dalam saingan domestik dan antarabangsa.
Pengukuhan akademik dalam diri pemain bola sepak bukan setakat kemahiran mengawal bola, membuat hantaran dan mencari sudut kosong untuk menjaringkan gol malahan membentuk pemain bola sepak yang kreatif dan mempunyai kepantasan pemikiran dan pengawalan emosi yang tinggi.
Kita boleh lihat pada perlawanan Piala Dunia 2014 ini, amarah Pepe menyebabkan dia menerima kad merah kerana menghantukkan kepala kepada Mueller. Jika kita masih ingat pemain handalan England, David Beckham dihantar pulang pada Piala Dunia 1998 kerana melayan provokasi pemain Argentina hingga menerima kad merah dan England kehilangan ayam tambatan yang mahir dengan sepakan lencongnya. Begitu juga kes Zinedine Zidane menghantuk kepalanya ke dada Marco Materazzi pada Piala Dunia 2006 menyebabkan pasukannya ditunjukkan jalan keluar.
Pasukan Malaysia dari saat ini harus dibentuk dengan kekuatan akademik berasaskan teknikal dan taktikal bola sepak selain kekuatan akademik di pusat pendidikan formal sebagaimana yang pernah diterima oleh Socrates yang pernah memeriahkan arena bola sepak dunia. Beliau seorang doktor perubatan yang mempunyai corak permainan yang diadun dengan pemikiran intelek tinggi.
Walaupun tidak merasa menjadi Juara Dunia pada penampilannya dalam pasukan Brazil di Piala Dunia 1982, mendiang tetap digelar Doktor Socrates sehebat namanya di persada bola sepak.
Ironinya skuad bola sepak kita memang memerlukan doktor malahan pakar bola sepak yang mampu mengubati prestasi skuad kita yang kali akhir layak ke persada dunia pada Sukan Olimpik Munich 1972 dan Sukan Olimpik Moscow 1980 yang diboikot atas faktor politik.
Arena keemasan boleh berulang jika semua pihak membuang ego masing-masing demi mewujudkan Skuad Harimau Malaya yang lebih hebat bersaing dengan Skuad Eropah dan Benua Amerika Latin.
Sebelum itu taring perlu diasah di peringkat Asia Pasifik. Perlawanan pendedahan perlu dilakukan dengan kerap bersaing dengan skuad hebat dunia agar kita bukan sahaja belajar diajar malahan belajar, kerana pengalaman yang paling pahit akan menjadi manis akhirnya.
Apa guna asyik bercakaran antara kepimpinan tertinggi bolasepak sedangkan yang hendak seronok bersorak di padang peminat bola sepak juga akhirnya.
Dengarlah suara rakyat yang mahukan pemimpin atasan merubah landskap bolasepak kita daripada hanya handal di rantau ini, namun jadi penyendal di pentas dunia khususnya di Eropah. Lahirkan pemain berkualiti akademik bukannya hanya ada keting keras, namun akal lembik tidak kreatif mengatur perlawanan sebenar. ABDUL RAZAK IDRIS Utusan/Rencana/20140620