Di dalam bukunya Tomb-stone, The Untold Story of Maos Great Farnace, Yang Jisheng menyebut, untuk memahami lebih mendalam bagaimana negara China terjerumus ke lembah kebuluran dalam tempoh 1958-1962, adalah perlu kita fahamkan dasar Three Red Banners" (Tiga Panji Merah) yang dipegang oleh Parti Komunis China (PKC). Tiga panji-panji ini ialah Haluan Umum, (General Line), Great Leap Forward dan Peoples Communes. Saya telah menceritakan maksud Great Leap Forward dan Peoples Communes dalam coretan-coretan yang lalu.
Haluan Umum adalah singkatan dari ungkapan "Haluan Umum untuk Menegakkan Masyarakat Sosialis" (General Line for Socialist Construction). Menurut Jisheng, oleh sebab tiga panji-panji politik ini yang memandu rakyat China menjadi manusia komunis, maka ia telah menyemarakkan sifat fanatik yang melampau mulai tahun 1958. Dan, kerana itu jugalah, kata Jisheng, Tiga Panji Merah adalah penyebab utama berlaku kebuluran dalam tahun-tahun tersebut.
Haluan Umum menyentuh dasar parti yang mahukan rakyat China "go all out, aim high, and build socialism with greater, faster, better and more economical results". Bahan propaganda parti dan kerajaan menghebahkan mesej itu kepada rakyat bahawa "speed is the soul of the General Line and the Great Leap Forward was the embodiment of that ideal. Conceptually, therefore, the General Line and the Great Leap Forward were one and the same, with the General Line emphasizing action; the Great Leap Forwards was action guided by the General Line (halaman 87)."
LAWATAN Presiden Liu Shao-chi (kiri) ke kampung kelahirannya di Hunan, pada pertengahan 1961 memberi kesan apabila melihat alat mengisi makanan yang kosong. Kemudian beliau meminta Mao Tse-tung memberhentikan dasar Great Leap Forward. |
Dasar Three Red Banners ini telah diputuskan oleh PKC di persidangan parti pada bulan Mac 1958 di Chengdu (tiga bulan sebelum bermulanya gerakan Great Leap Forward) di mana Mao Tse-tung menyampaikan ucapan yang panjang lebar sebanyak enam kali untuk persidangan yang memakan masa lapan belas hari. Di sepanjang persidangan itu, kata Jisheng, Mao menunjukkan sikap "brimming with ideas, radiating vital energy, and in invincibly advantages position."
Menurut Jisheng, Mao menggunakan persidangan parti di Chendu itu untuk menghapuskan sama sekali apa jua tentangan terhadap dasar yang dinamakan Rash Advance (langkah mencapai kemajuan negara secara terburu-buru) seperti yang disasarkan menerusi Great Leap Forward. Istilah rash advance (dalam bahasa Mandarin maojin) yang dipopularkan oleh Mao pada waktu itu bertujuan mencapai kemajuan negara secara pantas dengan tidak mengambil kira langsung realiti keadaan sebenar. Ia tidak juga mengambil kira langsung kesan-kesan buruknya. Tentangan terhadap rash advance mula-mula telah timbul pada awal tahun 1956. Pengkritik-pengkritiknya terdiri daripada pegawai-pegawai di Majlis Negara yang bertangungjawab dalam bidang ekonomi. Mereka termasuk Chou En-lai, yang juga Perdana Menteri China ketika itu, dan pemimpin-pemimpin kanan parti Liu Shao-chi, Chen Yun, Li Xian-nian dan Bo Yibo. (Kecuali Liu, mereka ini kemudian menjadi tulang belakang kepada kumpulan yang praktikal, dan, berikutan kematian Chou dan Mao, merupakan tenaga penggerak utama membantu Deng Xiao-ping memulihkan ekonomi China dalam tahun 1980-an).
Kerana takut akan dituduh oleh Mao sebagai right deviationists (petualang berhaluan kanan), semua lapisan pegawai kerajaan meningkatkan berlipat kali ganda sasaran pencapaian ekonomi mulai tahun 1955. Tetapi Chou En-lai dan Liu Shao-chi tidak berganjak dengan pendapat bahawa sasaran itu tidak boleh dicapai dan menyatakan kebimbangan mereka tentang the emergence of a phenomenon of impetuous and rash advance. Pada Februari 1956, dalam satu sidang Majlis negara, Chou yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja Majlis Negara, menzahirkan pandangannya: "It would be very dangerous to rush into projects that .. have no basis in reality. If the leader becomes too hot-headed, a splash of cold water might clear his mind Please, everyone, be practical and realistic" (halaman 91)." Beliau nampaknya menyindir Mao.
Chou dan Liu berpadu tenaga menentang rancangan rash advance Mao. Semasa menyediakan Rancangan Lima Tahun Kedua dan rancangan ekonomi untuk tahun 1957, Chou tetap terus menentang rash advance dan memotong dengan drastiknya sasaran-sasaran pencapaian ekonomi yang diunjurkan. Langkah-langkah Chou itu dimuatkan dalam laporan kepada Kongress Kebangsaan Kelapan PKC pada bulan September 1956.
Liu Shao-chi pula, dalam laporan politiknya kepada Kongres itu, menarik perhatian Kongres tentang dua penilaian menyentuh keadaan politik di China pada ketika itu. Menurut Jisheng, dengan membuat penilaian pertama itu, maka Liu menganggap China perlukan penilaian baharu tentang "Chinas main domestic contradiction" (ini bahasa orang komunis). Dalam hal ini, Liu jelas menentang pendapat Mao apabila, dalam laporan politiknya itu, beliau lebih menekankan keperluan membangunkan ekonomi China sebagai intipati isu sebenarnya. Sementara itu, laporan ekonomi Chou En-lai untuk Rancangan Lima Tahun Kedua telah mendapat kelulusan oleh Kongres tersebut. Malah laporan Chou menyebut: "The partys responsibility is to take pains at all times to prevent and correct any tendency towards right-deviating conservatism, or left-leaning risk-taking (halaman 92)."
Jisheng menganggap keputusan Kongres parti September, 1956 itu jelas ditujukan kepada Mao - malah memperlekeh dasar rash advance yang hendak dilaksanakan Mao.
Ini dilakukannya pada tahun berikutnya. Pada mesyuarat plenum Jawatankuasa Pusat PKC bulan Oktober, 1957 Mao menyentuh bagaimana pada tahun lepas (1956) (di Kongres Kelapan) perwakilan parti telah menolak hampir kesemua idea-ideanya untuk memajukan dengan cepat ekonomi China; betapa slogan-slogan yang diciptakannya menyeru rakyat bekerja keras telah ditolak oleh kongres.
Jelas benar, Mao mempergunakan bogey Kuomintang sebagai hantu menakutkan ahli-ahli parti kerana Kuomintang adalah musuh ketat Parti Komunis sejak sekian lamanya. Mao juga, pada mesyuarat plenum itu, dengan bongkaknya membatalkan (overruled) secara persendirian keputusan Kongres Kelapan menyentuh perkara domestic contradictions yang dianjurkan Liu Shao-chi.
Menurut Jisheng, sebelum Mao membuat ucapan tersebut, Chou En-lai telah menyatakan pendiriannya menentang kedua-dua conservatism dan rash advance. Tetapi, setelah Mao menyampaikan fatwanya, maka kelulah lidah semua pihak, termasuk Chou dan Liu, ujar Jisheng. Menurutnya lagi, boleh dikatakan mulai saat itulah, "Maos comrades-in-arms were now his submissive surbodinates, his every opinion would be parroted as a golden rule by all those beneath him."
Kritikan Mao terhadap Chou En-lai berterusan pada bulan Januari, 1958 apabila Mao mempengerusikan Persidangan parti di Nanning. Ucapan Chou dan Li Xian-nian (sebagai Naib Perdana Menteri China ketika itu) pada 1956 semasa Kongres Kelapan telah diedarkan kepada akhbar parti Peoples Daily untuk disiarkan serentak dengan lidah pengarang yang mengutuk isi ucapan Chou dan Li itu. Menurut Jisheng, draf asal lidah pengarang itu telah diberi kepada Mao terlebih dahulu untuk ditokok-tambah oleh Mao.
Di persidangan itu, Mao menyindir semua pemimpin parti yang mengagungkan kegemilangan zaman silam China. Kepada pihak-pihak yang mengkritiknya kerana Mao dikatakan telah memperdaya diri sendiri dengan delusions of grandeur, Mao membalasnya dengan berkata: "Whats wrong with bragging about 600 million people, and showing off the accomplishment of socialism (halaman 96)?" Pada 19 Januari, 1958, Mao mengadakan pertemuan panjang dengan Chou di mana, kesudahannya, Chou memberi pengakuan kepada Mao yang beliau akan mengubah sikap.
Pengakuan peribadi Chou di depan Mao pada 19 Januari 1958 itu tampak menyelesaikan perbalahan antara Mao dan Chao. Namun Mao masih belum berpuas hati. Saya kembali kepada Persidangan parti di Chengdu pada bulan Mac 1958. Semasa sesi persidangan pada 10 Mac 1958 itu, Mao dengan angkuhnya membuka perbahasan menyentuh soal pemujaan pemimpin yang di luar batasan (cult of personality).
Bagi saya, oleh sebab pada tahap itu Mao Tse-tung adalah di ambang hendak memulakan dasar Great Leap Forward mulai pertengahan 1958, dia hendak menentukan agar seluruh jentera parti secara total tunduk kepada kehendaknya. Dia juga mahu mengingatkan parti bahawa isi ucapan pemimpin Soviet, Nikita Khrushchev pada bulan Februari 1956 itu tidak boleh diterima, jauh sekali dipakai, untuk Parti Komunis China. Abdul Rahim Noor Utusan/Rencana/20140622