kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bila saya berstatus jutawan

USAH ditanya mengapa. Mungkin kerana saja hendak membaca. Mungkin kerana suka berangan-angan. Tetapi yang nyata, tajuk artikel dalam akhbar The Wall Street Journal (WSJ) bertarikh 19 Jun, 'Want to Be a Millionaire? Move to Hong Kong’ mendorong saya membaca dengan teliti.

Secara ringkasnya, artikel WSJ ini memetik kaji selidik firma Capgemini and RBC Wealth Management tentang negara mana yang memiliki paling ramai jutawan.

Secara keseluruhannya, Hong Kong berada di kedudukan ke-20 di dunia dari segi bilangan jutawan, iaitu 124,000 orang tetapi masih rendah berbanding Amerika Syarikat sebanyak 4.06 juta orang; Jepun (2.32 juta orang) dan China (758,000 orang) tetapi mengatasi Singapura di tangga ke-25 sebanyak 105,000 orang dan Taiwan (112,000 orang).

Pertambahan bilangan jutawan tersebut didorong oleh kepesatan pasaran hartanah, dengan hubungannya kepada China. Begitu berjayanya syarikat-syarikat pemaju di Hong Kong dan China itu, mereka kini melebarkan pelaburan ke seluruh dunia, termasuk di Johor, Malaysia.

Mungkin ada yang bertanya bagaimana di Malaysia? Maaf. Jika saya jawap di sini, maka pembacaan kolum Merrepak anda akan tamat pada perenggan ini. Seperti saya nyatakan awal di atas, saya membaca artikel WSJ ini tanpa sebab yang khusus.

"Oleh kerana saya tergolong dalam kalangan jutawan, maka penting untuk saya mengetahui apa penanda aras global tentang siapa yang layak bergelar jutawan." Ya. Ayat ini tercipta hasil imaginasi HD (Definisi Tinggi) yang terbentuk dalam kepala setelah usai membaca perihal jutawan Hong Kong itu.

Apa pun, terdapat tujuh perkara saya pasti buat, bila dan jika saya bergelar jutawan:

1 - Bayar saman AES

Seperti kebanyakan pengguna kenderaan yang memenuhi balai polis trafik sekarang (untuk membayar saman), dengan duit berjuta-juta ini saya tidak perlu tunggu waran tangkap. Memanglah tidak sedap bila kena saman sebab yang patut disaman pemandu saya tetapi AES rakam gambar kereta saja. Saya pemilik kereta. Sayalah kena bayar.

2 - Bina insinerator kecil

Untuk mengatasi masalah pungutan sampah disebabkan kontraktor yang tidak ada pengalaman, saya dengan duit berjuta-juta ini, tidak ada masalah hendak membina pusat pembakaran sampah bersaiz kecil. Tidak perlu besar. Cukup boleh digunakan sesama jiran tetangga. Boleh bakar sampah dan apa saja yang tidak dikehendaki termasuk bahan bacaan yang mencemarkan jati diri dan agama.

3 - Kursus berbudi bahasa di dalam negara

Sebagai jutawan, saya akan laksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan mengadakan kelas-kelas, seminar dan kursus berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat. Sasaran kursus akan ditumpukan kepada ahli politik bahawa walaupun mereka bebas berkata apa sahaja mengikut keistimewaan imuniti yang diberikan di dalam Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat, tidak bermakna 'mencarut' dibolehkan, baik secara verbal atau ditulis dalam Facebook dan Twitter.

4 - Hapuskan peminta sedekah

Walaupun saya jutawan duit bergantang-gantang tetapi saya suka minum dan makan di restoran mamak. Cuma yang tidak seronok, baru sejam saya duduk, sudah tiga peminta sedekah datang. Seorang buta dan disebelahnya ditemani seorang tidak buta. Kadang-kadang yang tidak buta nampak sangat kemas dan lawa. Saya bukan kedekut. Setakat sedekah RM1 dapat kertas tisu percuma. Tiada masalah. Tetapi saya rimas istirehat saya diganggu. Saya akan buka kilang, beri mereka kerja. Kalau meminta sedekah lagi, tahulah kita kerjaya ini amat lumayan sebenarnya.

5 - Catuan air

Rumah saya lima tingkat. Dari dapur ada lif naik ke bilik tidur. Tapi masa bina vila, saya tidak fokus kepada tangki air. Bila catuan air dilaksanakan baru-baru ini, memang haru-biru. Dua tiga kali bolehlah saya terjun ke kolam renang di tepi laman vila saya tetapi orang gaji saya pun mandi sama. Mana bisa begini. Saya akan bagi RM10 juta untuk percepatkan pembinaan loji air yang tertangguh tak tentu hala itu.

6 - Kurangkan pekerja asing

Baru-baru ini saya dengar iklan sebuah syarikat telekomunikasi. Watak penjualnya mengajuk cakap lelaki Bangladesh. Sampai begini sekali penerimaan bangsa Malaysia terhadap kehadiran pekerja asing. Tidak rimaskah bila restoran anda kunjungi semua pekerjanya warga Indonesia? Tidak kelakarkah kita dilarang meletak kereta dalam bangunan sendiri oleh pengawal keselamatan Nepal? Saya persoalkan semua ini walaupun bodyguard saya berketurunan peranakan Inggeris. Bekas ejen CIA.

7 - Tubuh pasukan bola sepak

Seiring dengan trend jutawan global masa kini, saya juga melabur dalam sukan bola sepak. Tan Sri Tony Fernandes beli kelab QPR. Saya lain sikit. Saya tak beli Liverpool. Tetapi saya beli pemain ternama LFC seperti Luis Suarez dan Daniel Sturridge, pada harga berbilion ringgit dan minta kerajaan beri kerakyatan kepada mereka supaya boleh menyarung jersi Harimau Malaya. Kita tidak patut tidak ada dalam Piala Dunia sekarang. Johardy Ibrahim Utusan/Rencana/20140622

Tags: jutawan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments