kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

MAS warisi hutang 'mega'

Cerita syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) belum tamat. Usaha mencari pesawat MAS MH370 yang hilang masih diteruskan. Begitu juga kisah hutang dan kerugian yang ditanggung MAS masih diperkatakan.



Pada Khamis, 19 Jun lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tidak timbul isu kebarangkalian kerajaan akan menutup MAS pada masa ini.

Beliau berkata walaupun MAS mencatat kerugian, hala tuju syarikat itu masih belum diputuskan, dan implikasi kewangan kepada kerajaan adalah berdasarkan keputusan yang akan ditentukan hasil kajian Khazanah Nasional Bhd, sebagai pemegang saham terbesar. Khazanah ketika ini menguasai 69.4 peratus kepentingan MAS.

Pada 2011, MAS mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM2.52 bilion. Faktor kerugian dikatakan ekoran kelembapan pasaran industri penerbangan, terutama bagi perkhidmatan kargo, peningkatan kos operasi merangkumi kos bahan api dan kos bukan bahan seperti peruntukan pemulangan pesawat, peruntukan susut nilai pesawat kargo, dan peruntukan usang.

Sebenarnya MAS telah melaksanakan langkah-langkah strategik dalam pelan perniagaannya dan berjaya memulihkan prestasi kewangan syarikat tetapi masih mengalami kerugian bersih sebanyak RM431 juta pada 2012, berbanding RM2.52 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 pula, MAS mencatat peningkatan hasil sebanyak 10 peratus kepada RM15.1 bilion berbanding RM13.8 bilion pada tahun sebelumnya, berikutan peningkatan jumlah trafik penumpang.

Bagaimanapun, MAS masih mencatat kerugian selepas cukai sebanyak RM1.174 bilion.

Kerugian ini disebabkan peningkatan kos bahan api, kejatuhan nilai Ringgit Malaysia berbanding dolar Amerika Syarikat dan kos pemulangan pesawat.

Bagi tempoh suku pertama tahun ini pula, MAS mencatat kerugian sebanyak RM443 juta berbanding kerugian RM279 juta pada tahun sebelumnya.

Banyak orang tertanya-tanya apakah kerajaan perlu terus membantu MAS atau tidak?

Kalau jawapannya tidak, mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan menutup syarikat itu daripada terus menanggung kerugian.

Jika jawapannya, ya kerajaan masih lagi mahu jadikan MAS sebagai syarikat penerbangan nasional, maka kerajaan perlu terus membantu MAS.

Ada pendapat sesetengah pihak, jika MAS hendak dipulihkan, pengurusannya patut ditukar.

Tetapi, MAS pernah memanggil beberapa individu yang berwibawa dan berpengalaman dalam kewangan, tetapi hasilnya belum berjaya.

Kerugian MAS bukanlah disebabkan barisan pengurusannya, turun naik harga minyak, penurunan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat, persaingan harga tiket dengan syarikat penerbangan tambang rendah dan misteri kehilangan MH370, tetapi sebenarnya syarikat itu mewarisi hutang ‘mega’ yang entah bila mampu dilunaskan.

Masalah kewangan MAS bukan bermula selepas kerajaan mengambil alih MAS. Ada pihak mengatakan - masalah MAS dimulakan selepas kegagalan penswastaannya.

Banyak pihak mungkin sudah lupa bail out pada 2000/2001 dahulu. Kerajaan membayar kepada Tan Sri Tajudin Ramli hampir RM1.8 bilion untuk saham MAS bernilai RM800 juta yang dipegangnya. Tajudin memegang tampuk kawalan MAS dengan membeli 32 peratus saham Bank Negara untuk RM1.8 bilion pada 1994.

Tajudin menjual semula saham terkawal itu kepada kerajaan dengan harga RM8 seunit berbanding nilai pasaran RM3.68 seunit pada 2001, setara dengan perbelanjaannya RM1.8 bilion pada 1994 walaupun MAS mengalami kerugian.

Dan dia tinggalkan MAS dengan hutang hampir RM10 bilion. Itulah yang menyebabkan MAS bergelut dengan hutang sehingga hari ini.

Hutang RM10 bilion itulah yang menyebabkan MAS sampai sekarang tak mampu pulih. Bayangkan kalau kadar faedah 4 peratus, dalam setahun kena bayar RM400 juta, itu baru bayar ‘bunga’ sahaja.

Ingat lagi isu harga nasi lemak MAS sampai RM100 satu hidangan. Syarikat yang dapat kontrak itu, pemiliknya mungkin sudah jadi kaya raya. Begitu juga khabarnya ada syarikat yang membekalkan makanan kepada MAS mendapat kontrak hingga 25 tahun.

Ketika zaman mewah MAS itu, Khazanah belum menjadi pemegang saham terbesar. Sekarang bahananya ditanggung oleh Khazanah.

Kaut perolehan beratus juta pun belum tentu beri keuntungan kepada MAS, sebab RM400 juta kena bayar hutang bunga sahaja.

Kini, Khazanah ada tempoh enam hingga 12 bulan lagi untuk mengemukakan pelan perniagaan baharu bagi memulihkan semula kedudukan MAS. Opsyennya sama ada MAS akan dijual, memfailkan kebankrapan, atau menyuntik lebih banyak dana.

Kita tunggu bila tiba masa pengumuman Khazanah tentang masa depan MAS. Azman Anuar Utusan/Rencana/20140622

Tags: hutang, mas
Subscribe

  • Cerita pemimpin lama kesatuan MAS

    Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun sejak 58 tahun lalu dirai dengan penuh penghayatan. Pada 1 September 2015 ini pula akan lahir…

  • CEO paling sesuai untuk MAS baharu?

    Perancangan pemulihan Penerbangan Malaysia (MAS) kena bermula Januari tahun depan. Kalau hen­dak membuka buku baharu, eloklah MAS dan rakyat…

  • MAS mesti radikal pulih semula imej

    Tidak syak lagi, 2014 akan selama-lamanya kekal dalam ingatan dan bersemadi di hati sanubari rakyat Malaysia. Dengan tragedi berkembar kapal terbang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments