kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik-Bisik Mingguan Awang Selamat

LHDN berdiam

Entah kenapa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berdiam selepas Awang bangkitkan isu diskaun cukai pendapatan secara keterlaluan kepada hartawan dan syarikat korporat besar dalam ruangan ini minggu lalu.

Memandangkan isu tersebut serius sehingga menyebabkan kehilangan RM100 juta kepada pendapatan negara, LHDN wajar tampil memberikan penjelasan. Jika benar perkara itu berlaku, berilah kewajarannya. Jika salah, nafikanlah dengan bukti kukuh.

Setakat ini, tiada respons daripada lembaga tersebut walaupun sepatutnya mendapat reaksi pantas kerana ia melibatkan isu kepentingan awam. Sudah tentu, LHDN diberi ruang keadilan seluas-luasnya untuk mempertahankan diri tetapi sekali lagi, mengapa berdiam?

Yang lebih dikhuatiri, jika benar, ia adalah elemen ketirisan yang tidak boleh dibenarkan atas sebab integriti dan amanah. LHDN mesti bertanggungjawab. Janganlah LHDN kelihatan hanya berani dan bertegas ke atas pembayar cukai pendapatan individu tetapi berlembut dengan bilionair.

Berdasarkan maklumat sumber, terdapat beberapa kes hartawan mendapat kelonggaran istimewa, itu yang didengar. Cabarannya, apa lagi yang kita tidak ketahui dan berapa banyak wang cukai yang sepatutnya dikutip, sudah hilang?

Bantulah PKR...

Sudahlah pemilihan banyak cabang PKR di seluruh negara sebelum ini dilanda kekecohan, keganasan dan penipuan, pemilihan semula yang diadakan juga, sama buruk keadaannya.

Awang sudah tidak larat geleng kepala. Inikah parti politik yang mahu dijadikan sandaran rakyat Malaysia. Bagai ayam kokok berderai-derai, ekor bergelumang najis.

Pemilihan semula cabang PKR di Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam hanya memalukan lagi parti itu. Lihatlah gambar aksi pergaduhan sehingga ada yang cedera dan berdarah di muka. Nampaknya para pemimpin PKR sudah hilang kawalan ke atas parti tersebut di samping kegagalan untuk menjalankan pemilihan yang lancar. Awang cadangkan PKR mengundang badan pemerhati bebas antarabangsa dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membantu mengawasi pemilihan. Selain itu, elok dapatkan khidmat UMNO dan Pas yang lebih tertib pemilihan parti mereka. Dari segi kawalan keselamatan, mintalah bantuan polis dan anggota Rela. Ambulans juga mesti disediakan. Semua yang hadir dinasihatkan pakai topi keledar sebagai langkah keselamatan tambahan. Apa salahnya...

Rayer terlepas?

Ketika beberapa individu lain didakwa di mahkamah atas dakwaan menghasut, Awang tertanya-tanya mengapa pendakwaan ke atas ADUN Seri Delima, RSN Rayer ditangguhkan?

Harap-harap ia memang sekadar ditangguhkan, bukannya dibatalkan sebagaimana desakan pihak peguam bela Rayer. Banyak laporan polis telah dibuat ke atas ADUN DAP itu kerana mengeluarkan perkataan UMNO celaka yang dilihat menghina masyarakat Islam dan Melayu.

Jika sekumpulan individu merempuh ke persidangan DUN kerana membantah kenyataan Rayer, dihadapkan di mahkamah, Awang tidak nampak sebarang sebab mengapa beliau patut terlepas. Rayer turut mengulangi kenyataan itu ketika berceramah di khalayak awam. Beliaulah puncanya. Pada Awang, akar ekstremisme itu mesti diambil tindakan terlebih dahulu. Jika tidak, ia memberi isyarat yang salah kepada rakyat Malaysia. Kegagalan untuk mengambil tindakan ke atas Rayer akan menyemarakkan ekstremisme yang lebih besar.

Usah biar bara menjadi api.

Letak jawatan

Apa sudah jadi dengan kawalan keselamatan perairan Sabah. Bolos dan bolos lagi.

Terbaharu, dua warga tempatan diculik dan dilarikan sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Air Sapang, Kunak.

Sejak tahun 2000, tidak silap Awang, hampir 10 kejadian culik, cubaan culik dan serangan bersenjata berlaku. Paling menggemparkan pencerobohan di Lahad Datu yang sepatutnya sudah diambil iktibar.

Soalan sinikal orang ramai selepas ini ialah bila dan berapa kerap lagi perairan Sabah akan dibolosi termasuk kejadian culik. Sudah banyak alasan dan penjelasan diberikan oleh pihak berkuasa tetapi belum nampak penyelesaiannya. Yang lebih mengganggu fikiran adalah tuding menuding jari sesama agensi dan kebimbangan terhadap elemen rasuah.

Akibatnya, sektor pelancongan dan imej kerajaan terjejas. Ekoran kes penculikan warga China pada Mei lalu, sebanyak 76 penerbangan dari China ke Kota Kinabalu dibatalkan. Ia memberi kesan lebih serius berbanding kehilangan pesawat MH370.

Awang berharap sudah sampai masanya agensi-agensi keselamatan yang dipertanggungjawabkan termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengambil tanggungjawab.

Perlu ada budaya akauntabiliti lebih-lebih dalam soal keselamatan dan kedaulatan, yang sangat besar impikasinya kepada negara. Memandangkan begitu kerap berlaku bolos dan culik, mesej lebih jelas perlu diberi. Jika kepala-kepala pihak keselamatan di sana enggan letak jawatan, rombak sahaja.

Lawan obesiti

Ustaz Johari Abd. Wahab ketika remajanya sudah obes. Pada usia 14 tahun, berat badannya 140 kilogram (kg). Keadaan fizikalnya makin besar dan berat termasuk ketika menuntut di Yaman.

Pernah berat badannya mencapai tahap 167kg dengan ukuran pinggang 56 inci. "Sangat sukar untuk mendapatkan seluar saiz saya di pasaran, '' itulah antara keluhan beliau sewaktu berbual selepas mengikuti ceramahnya di ibu negara, baru-baru ini.

Kini, Ustaz Johari, 35 tahun, tidak lagi menghadapi situasi itu. Berat badannya turun kepada 85 kg dan pinggang 40 inci. "Ramai yang tidak percaya saya akan dapat menangani masalah obesiti. Pada mulanya saya juga teragak-agak tetapi saya yakinkan diri dan tekadkan hati,'' katanya lagi.

Perubahan itu berlaku tidak sampai dua tahun tanpa perlu menjalani program pelangsingan badan, suntikan mahupun mengambil produk-produk diet yang berlambak dalam pasaran.

Ditanya apa formula beliau, Ustaz Johari menyatakan, beliau tidak lagi makan nasi, mengambil makanan secara seimbang, elakkan makanan berminyak dan manis. Selain itu, beliau ada amalan tersendiri iaitu senaman ringan cuma empat minit sehari.

Mengenai kehidupan tanpa nasi, kata Johari, ia malah menjadikan beliau lebih cergas dan bertenaga. "Sekali lagi, pada mulanya memang sukar tetapi semuanya boleh dikawal di minda kita." Lalu Awang teringat rakan sekerja, Amir Syarifudin Mansor yang sudah lebih lima tahun tidak menjamah nasi tetapi kelihatan sasa lagi ceria.

Pertemuan hari itu menjadikan Awang teruja terhadap Johari.

Pertama, ceramah agamanya yang mengupas soal silaturahim, mengasihi ibu bapa serta keikhlasan dalam pekerjaan dengan penyampaian bersahaja. Kedua, keyakinan beliau untuk mencari jalan keluar daripada obesiti. Kisah beliau seharusnya menjadi motivasi kepada semua individu obes supaya sesekali jangan mengalah. Tiada yang mustahil.

Jiwa dan maruah

Beberapa keputusan mengejut dalam kejohanan bola sepak Piala Dunia di Brazil, terus menjadi bualan hangat terutama para peminat sukan. Juara bertahan, Sepanyol tersingkir awal. Ternyata pasukan yang dibarisi ramai bintang, tidak semestinya hebat. Corak permainan Sepanyol membosankan dan tidak mampu beri saingan kepada pasukan bukan pilihan. Tiada aura - tidak sebagaimana yang biasa diperlihatkan. Rasanya, lebih seronok tengok Harimau Malaya beraksi. Begitu juga dengan England yang tewas kepada Uruguay sebelum pulang awal. Liga dan tradisi bola sepak yang gah tidak menjadikan pasukan negara itu cemerlang di peringkat antarabangsa. Awang bersimpati ke atas nasib Sepanyol dan England, yang kedua-dua pasukan itu mempunyai ramai peminatnya di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Penyerang Uruguay, Luis Suarez yang mencari makan dalam Liga Perdana England menerusi pasukan Liverpool merobek perasaan penyokong England dengan dua jaringannya.

Suarez antara bintang yang menyerlah saingan Piala Dunia setakat ini selain Arjen Robben dan Robin van Persie (Belanda), Kareem Benzema (Perancis) serta Lionel Messi (Argentina).

Tidak kurang menarik perhatian pasukan Equador yang mencatat satu kemenangan setakat ini.

Negara itu walaupun agak miskin, sudah tiga kali layak ke Piala Dunia. Sepuluh daripada 23 pemain dalam skuad Equador datang dari wilayah Esmeraldas di pinggir Pasifik. Di wilayah itu hanya terdapat lima padang, itu pun yang ditumbuhi rumput liar. Stadium utamanya pula tiada air untuk pemain mandi selepas perlawanan. Kebanyakan remaja mengasah bakat bermain bola di pantai kerana tiada padang yang bersesuaian. Berbanding Equador, kemudahan bola sepak Malaysia jauh lebih hebat bertaraf negara maju. Pun begitu, Equador ada kelebihan - jiwa dan maruah - dalam pengisian misi bola sepaknya. Utusan/Rencana/20140622

Tags: dap, lhdn, obesity, pkr
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments