kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Usah gopoh syor mansuh Akta Hasutan

Isu pemansuhan Akta Hasutan sedang giat dibincangkan. Cadangan beberapa Akta baharu bagi menggantikannya juga berjalan seiring. Saya telah menulis mengenai Akta Hasutan dalam ruangan ini pada awal Julai 2013. Ketika itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pendirian bahawa tiada perubahan akan dibuat kepada Akta Hasutan.

Walau apa pun kenyataan berkenaan, dalam masa setahun ini, apa yang kita sudah sedia maklum ialah tiga Rang Undang-Undang sedang dalam perhatian pihak berkenaan. Rang Undang-Undang itu dinyatakan sebagai pengganti kepada Akta Hasutan. Jika diteliti deraf Rang Undang-Undang berkenaan, kita dapati perubahan sangat besar dalam menangani perkara berkaitan hasutan. Persoalan perundangan juga agak ketara.

Sementara itu, persoalan berkaitan proses penyediaan draf Rang Undang-Undang itu juga menjadi tanda tanya. Apa yang saya ingin sampaikan di sini ialah, kita alu-alukan perubahan undang-undang ke arah lebih baik. Sudah tentu setiap perkara baik hendaklah kita rai demi keharmonian dan kesejahteraan negara. Namun, dalam melakukan perkara berkenaan, kita hendaklah berhati-hati serta membuat persediaan rapi dan terperinci. Akta Hasutan ini bukan Akta biasa-biasa.


Ambil iktibar pemansuhan ISA

Sebelum membuat sebarang keputusan berkenaan Akta Hasutan ini kerajaan hendaklah mengambil iktibar daripada pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan juga Ordinan Darurat. Jangan nanti kita terkapai-kapai menggadaikan ketenteraman awam. Akta baharu nanti belum tentu mampu menyelesaikan permasalahan yang sedia ada atau masalah baharu yang akan muncul selepas atau kesan kepada perubahan berkenaan. Kalau sudah hilang, ia sukar dicari ganti.

Mengikut sejarah kewujudannya secara keseluruhan, Akta Hasutan telah berjaya mencapai objektifnya iaitu menghalang hasutan dalam pelbagai perkara bagi menjamin keharmonian negara.

Kecenderungan menghasut yang ditangani oleh Akta Hasutan secara ringkasnya termasuklah hasutan yang boleh dikatakan sebagai sehingga membenci, menghina atau membangkitkan perasaan tidak setia kepada Raja atau kerajaan.

Ia juga menjadikan kesalahan kecenderungan hasutan bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong dan perbuatan mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum di Malaysia.

Subjek yang dirangkum dalam Akta Hasutan ini bukan main-main. Ia meliputi perkara yang secara terang atau tersirat boleh menjejaskan kedudukan, kestabilan dan kesejahteraan. Ia adalah perkara yang menentukan masa depan negara. Bukan keharmonian semata-mata, ia juga berkaitan keselamatan negara.

Lebih serius lagi Akta Hasutan ini menentukan letak duduk institusi Raja, iaitu institusi yang dibina atas sejarah, memayungi semua lapisan dan kumpulan masyarakat Malaysia. Akta Hasutan ini juga menjaga perhubungan antara negeri yang membentuk Persekutuan.

Hubungan antara institusi Raja dan Akta Hasutan, serta peri penting Akta Hasutan terhadap institusi Raja ini begitu jelas dalam peruntukan Perlembagaan yang mensyaratkan perkenan Majlis Raja-Raja dalam sebarang urusan pindaannya. Dengan kata lain, Majlis Raja-Raja mempunyai peranan khusus untuk menjaga ketetapan atau peruntukan Akta Hasutan. Perkara 159(5) dengan jelas menyatakan, antara lain, “Sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Fasal (4) Perkara 10, apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya… tidaklah boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja”.


Mesti dapat perkenan Majlis Raja-Raja


Dengan kata lain, sebagai sebuah akta yang diluluskan bagi tujuan menjaga ketenteraman awam seperti maksud peruntukan Perkara 10(2)(a) dan Perkara 10(4), pindaan atau pemansuhan Akta Hasutan hendaklah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja. Kepentingan Akta Hasutan menjaga ketenteraman awam juga dapat dilihat dalam peruntukan berkaitan kebebasan bersuara Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri tidak mendapat perlindungan keistimewaan kebebasan bersuara dalam Dewan Parlimen jika dituduh mengikut Akta Hasutan. Maksudnya di sini, walau penting mana urusan, termasuk urusan menggubal undang-undang, seseorang tidak boleh menyalahi Akta Hasutan.

Justeru, sebarang keputusan, terutama pemansuhan Akta Hasutan ini perlu mengambil perhatian banyak perkara. Perlu kita ingat, meruntuhkan sesuatu atau memansuhkan sesuatu seperti Akta Hasutan ini mudah dilakukan, tetapi janganlah diambil mudah.

Membuang sesuatu yang telah lama memberikan manfaat seperti Akta Hasutan ini memerlukan perbahasan panjang. Jangan gopoh gapah; kerana yang baharu nanti belum tentu berjaya. E-mel ke rencanabh@bh.com.my untuk berkongsi pendapat anda Berita Harian Kolumnis 2014/06/25 - 12:18:47 PM Shamrahayu A Aziz
Tags: akta
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments