Oleh itu, pengetahuan baik dan penguasaan tinggi terhadap bahasa rasmi adalah antara syarat penting, yang diperlukan ada pada rakyat, atau lebih tepat lagi warga negara sesebuah negara itu. Hal ini menjadi bukan sahaja ketara, tetapi wajib apabila sesebuah negara meluluskan permohonan kewarganegaraan untuk pihak tertentu.
Ini bermakna syarat kewarganegaraan kebanyakan negara membabitkan keperluan calon memperlihat kecekapan baik dalam bahasa rasmi negara yang dipohon kewarganegaraan itu. Kebolehan menggunakannya secara fungsional dalam komuniti bahasa itu, adalah sesuatu yang wajib dan tidak pun dilihat sebagai mencabuli kebebasan peribadi.
Perlihat kecekapan
Malaysia juga tidak terkecuali dalam hal ini. Mereka, sama ada orang asing yang berhajat menjadi warganegara mahupun rakyat kita sendiri yang belum diberi taraf warga negara, perlu memperlihat kecekapan berbahasa Melayu iaitu bahasa rasmi negara. Kegagalan linguistik ini boleh menyebabkan mereka tidak diberi kewarganegaraan Malaysia.
Walau bagaimanapun, ramai rakyat Malaysia yang menjadi warganegara secara automatik kerana dilahirkan di negara ini, didapati tidak cekap berbahasa Melayu. Malah, ada yang boleh dikategorikan sebagai tidak boleh berbahasa Melayu langsung.
Meskipun demikian, dengan tiada pengetahuan baik dan penguasaan tinggi dalam bahasa rasmi negara, mereka ini didapati terus mampu hidup dengan selesa dan sesetengahnya mewah lagi, tanpa sebarang musibah sosial. Hal begini bukan saja tidak terdapat, tetapi tidak dibenarkan berlaku di negara lain.
Malangnya ia berleluasa di sini. Setelah 57 tahun merdeka, golongan bukan Melayu, kaum Cina misalnya, didapati masih tidak boleh berbahasa Melayu dengan memuaskan.
Pelbagai alasan diberikan tentang ketidakcekapan ini. Antaranya, beban mempelajari bahasa lain selepas bahasa ibunda di sekolah. Malah, ada yang bertanyakan kaedah untuk menjadikan bahasa Melayu popular dalam kalangan bukan Melayu, agar mereka lebih berminat mempelajarinya.
Sesungguhnya, menjadi kewajipan semua warga negara Malaysia untuk mengetahui dan menguasai bahasa Melayu pada tahap yang baik. Ini kerana kecekapan dalam bahasa rasmi negara ini adalah penting untuk kewarganegaraan yang dipegang oleh setiap rakyat.
Oleh itu, tidak boleh sesekali timbul pertanyaan dan lain-lain daripada mana-mana pihak, khususnya bukan Melayu, tentang cara menjadikan bahasa rasmi negara, lebih menarik, meyakinkan dan sebagainya untuk dipelajari mereka.
Toleransi berbahasa
Dalam Dasar Bahasa Negara yang menganjurkan penggunaan bahasa Melayu dalam ranah awam untuk maksud rasmi negara, bahasa lain tidak sesekali dihalang daripada digunakan, sekalipun dalam sistem pendidikan negara. Ini menunjukkan dasar ini bukan sahaja memperlihat toleransi, bahkan ia menerima penggunaan bahasa lain, tetapi dalam lingkungan tidak rasmi.
Sebagai rakyat, kita sepatutnya menggunakan satu bahasa saja, iaitu bahasa Melayu, untuk tujuan rasmi. Dengan ini, kita tidak boleh sesekali menggunakan bahasa lain selain bahasa Melayu, dalam wacana rasmi kerajaan. Oleh itu, kita tidak boleh terus membenarkan penggunaan pelbagai bahasa dalam lingkungan rasmi, misalnya bahasa Mandarin kepada khalayak Cina dalam majlis rasmi negara.
Sebenarnya tiada fenomena lain yang memecah-belahkan rakyat daripada penggunaan pelbagai bahasa, apabila kerajaan berurusan dengan rakyat jelata. Dalam hal ini, penggunaan pelbagai bahasa didapati penghalang besar dalam usaha kita mengikat rakyat dari pelbagai keturunan.
Dengan tiadanya kecekapan dalam bahasa yang sama oleh rakyat, ini menjejaskan usaha penyatupaduan dalam pengertian komunikasi antara kaum. Dalam keadaan begini, mustahil sekali rakyat dapat berkomunikasi dengan berkesan dengan kaum bukan seketurunan dengannya.
Oleh itu, hanya gagasan kecil sahaja dapat diperkata dalam komunikasi antara kaum. Pelbagai persoalan besar negara, antaranya politik, ekonomi dan sosiobudaya negara yang menjadi gagasan besar, didapati tidak mampu diperkata dalam bahasa Melayu yang terhad sifatnya.
Dengan ini, langkah perlu diambil untuk memastikan kita yang berbeza keturunan memahami dan merasai perihal serupa melalui bahasa yang sama, iaitu bahasa Melayu. Oleh itu, bahasa kerajaan perlu satu sahaja, selari dengan negara ini yang juga satu sahaja. Berita Harian Kolumnis Rencana 2014/06/26 - 03:37:27 AM Teo Kok Seong