kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Isu-Isu Akhbar Cina ~ Sekular,

MALAYSIA MEMANG NEGARA SEKULAR

AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 18 Jun 2014 menyiarkan artikel mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa Malaysia bukan negara sekular.

Artikel bertajuk ‘Malaysia memang negara sekular, tiada pilihan lain’ yang ditulis oleh Timbalan Pengarang akhbar berkenaan, Tay Ting Hien disiarkan dalam ruangan Pendapat Yan Lun halaman 35.

Menurut Jamil Khir, sejarah telah membuktikan Malaysia bukan negara sekular kerana ia ditubuhkan berasaskan kepada kerajaan Islam kesultanan Melayu dan raja-raja Melayu yang merupakan ketua agama Islam bagi negeri masing-masing.

Berdasarkan kenyataan menteri ini, saya secara tiba-tiba terfikir jika hujah berkenaan digunakan, ia bermakna sudah tiada lagi negara yang mengamalkan sistem sekular di dunia ini.

Mungkin pada suatu hari nanti, akan ada seorang menteri daripada Parti Konservatif membuat kenyataan di Parlimen England bahawa Britain tidak mengamalkan sistem sekular kerana ia ditubuhkan berasaskan kepada kerajaan beraja yang beragama Kristian.

Sistem negara demokrasi dan raja berperlembagaan yang diamalkan Britain sekarang mempunyai hubung kait dengan reformasi yang dibuat pada abad ke-16 apabila Raja Henry VIII mengumumkan raja di negara itu bukan sahaja sebagai ketua negara malah merupakan pemimpin tertinggi agama.

Bukan sahaja Britain, malah seluruh negara Eropah yang dahulunya ditubuhkan berdasarkan keagamaan dan kemudiannya bertukar menjadi negara berasaskan sistem feudalisme dan republik boleh disebut sebagai bukan negara sekular.

Hujah sama juga boleh digunakan kepada India dan negara-negara Indo-China kerana raja yang menubuhkan kerajaan di sana adalah beragama Hindu dan Buddha serta mengamalkan budaya berasaskan agama terbabit.

Negara-negara di Amerika Tengah dan Amerika Selatan juga bukan negara sekular kerana pemerintah awal yang menubuhkan kerajaan di sana berpegang kuat kepada ajaran Kristian Katolik.

Jika digunakan faktor sejarah, adalah jelas dari benua Eropah sehingga ke benua Asia termasuk Amerika Tengah dan Amerika Selatan, semuanya tiada negara sekular.

Tetapi di negara-negara terbabit, pihak pemerintah tidak menggunakan bukti-bukti sejarah dalam menentukan adakah mereka sebuah negara sekular atau teokratik.

Jika seorang menteri di England menggunakan hujah sama seperti Jamil Khir, sudah pasti Perdana Menteri Britain, David Cameron akan meminta beliau bercuti panjang selama sebulan untuk belajar kembali mengenai perlembagaan negara berkenaan.

Keadaan sama juga boleh dikaitkan dengan Iran yang kita boleh katakan bukan sebuah republik Islam kerana mengikut sejarah ia diasaskan oleh Dinasti Pahlavi yang melaksanakan pemerintahan raja berperlembagaan.

Sebenarnya, sama ada sesebuah negara itu berasaskan sistem teokratik atau sekular tidak dapat dibuktikan melalui sejarah. Ia hanya boleh diketahui apabila kita meneliti isi kandungan perlembagaan di negara-negara terbabit.

Hari ini orang yang berpendirian Malaysia adalah negara sekular berpegang kepada hujah bahawa sistem pemerintahan yang digariskan dalam Perlembagaan negara ini jelas merujuk kepada amalan pentadbiran sekular.

Antaranya, undang-undang tertinggi Malaysia digubal oleh manusia dan rakyat memilih kerajaan menggunakan peti undi. Ini berbeza dengan Iran, Arab Saudi, Sudan dan Afghanistan yang meletakkan al-Quran sebagai rujukan tertinggi.

Dengan itu, kita boleh menolak kata-kata Jamil Khir dan menyatakan secara tegas kepada beliau bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular sejati dari dahulu, sekarang dan akan datang.

Malaysia hanya akan menjadi negara Islam apabila Perlembagaan diubah dan hukum hudud dilaksanakan. Kita semua sudah pasti merasa amat risau jika ini dibuat dan akan membantah dengan sekeras-kerasnya.

RAGU KEUPAYAAN PEMBANGKANG

AKHBAR China Press bertarikh 23 Jun 2014 menyiarkan artikel mengenai pergolakan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden parti, Azmin Ali.

Artikel yang ditulis oleh Tan Guan Fong bertajuk ‘Keangkuhan Pakatan Rakyat’ disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Azmin dengan angkuhnya mahukan jawatan Menteri Besar dengan mengadakan undi tidak percaya terhadap Abdul Khalid.

Beliau tidak hiraukan bagaimana susah payahnya Abdul Khalid dan pemimpin lain untuk memastikan pembangkang terus berkuasa di Selangor.

Azmin telah menyusahkan Abdul Khalid, sedangkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri tidak dapat meredakan tingkah laku anak didiknya yang tamakkan kuasa itu.

Walaupun telah diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang, strategi itu ternyata gagal untuk meredakan pergolakan antara Azmin dan Abdul Khalid.

Antara jalan penyelesaian baharu ialah Abdul Khalid bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR. Sehingga ke hari ini keputusan tidak memihak kepada beliau. Banyak cabang berlaku pelanggaran peraturan sehingga menyebabkan pertandingan perlu diadakan semula.

Pada waktu ini, oleh kerana Azmin dalam kedudukan menang, beliau dilihat kurang sabar untuk menunggunya! Akhirnya diputuskan keputusan penuh hanya dapat diketahui pada Julai ini.

Pada masa sama, Barisan Nasional (BN) telah mengambil kesempatan daripada kepincangan kerajaan PKR Selangor untuk tidak henti-henti melakukan asakan.

Pelbagai isu sensitif termasuk yang berkaitan keagamaan ditimbulkan sehingga menyebabkan Abdul Khalid tidak menang tangan untuk mengatasinya.

Isu agama Islam adalah pantang besar kepada ahli politik. Walaupun Abdul Khalid mempunyai kuasa sebagai Menteri Besar, banyak jerangkap samar yang perlu dilalui beliau.

Walaupun Anwar dikatakan hebat, tidak mungkin beliau boleh melakukan lebih baik daripada Abdul Khalid. Semua sudah sedia maklum dan faham perkara itu.

Sementara itu, Pas yang secara terang-terangan mahukan jawatan Menteri Besar, dengan sengaja ataupun tidak sengaja dilihat menyokong UMNO. Mereka telah mencipta pelbagai alasan untuk tidak bersetuju dengan tindakan Abdul Khalid.

Tidak disangka, apabila pembangkang sekali lagi menang dengan cemerlang di Selangor, segala jasa Abdul Khalid telah hangus. Sama ada pihak dalam PKR atau parti lain yang menganggotai pakatan pembangkang, mereka mahu beliau disingkir dengan segera. Salah satu alasan yang diberikan ialah Abdul Khalid tidak memberi laluan kepada orang lain untuk menjadi Menteri Besar.

Jika pihak pembangkang memerintah Kerajaan Pusat sudah tentu perkara sama akan berlaku. Pastinya perebutan jawatan dan skandal akan semakin parah, kerana kebanyakan pemimpin terbabit terutama dalam PKR ialah klon yang berasal daripada UMNO.

Walaupun kuasa masih belum berada di tangan, sudah berlaga bermati-matian sesama sendiri. Bukankah situasi ini sangat menyedihkan dan membelakangi hasrat pengundi?

Pihak pembangkang sering menganggap perjalanan mereka ke Putrajaya sudah tidak jauh lagi, hanya tinggal selangkah sahaja.

Sebenarnya selangkah itu beratnya seperti beribu-ribu kilogram. Jika masih berbalah sesama sendiri dan tiada kejujuran kepada pengundi, jangan harap pihak pembangkang akan dapat memerintah Kerajaan Pusat! Utusan/Rencana/20140626

Tags: sekular
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments