kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kisah kejayaan libat sama universiti-komuniti

MASYARAKAT sering bertanya, apakah sumbangan universiti kepada komuniti selain melahirkan sumber manusia berilmu pengetahuan dan menyediakan guna tenaga untuk pembangunan negara dalam konteks pekerjaan mahupun pembangunan industri dan kepakaran dalam pelbagai bidang?

Selaras dengan keperluan transformasi pembangunan negara yang bersifat inklusif, universiti memperkasakan tonggak utama pembangunan lestari iaitu masyarakat, alam sekitar dan pembangunan ekonomi melalui pengajaran, penyelidikan dan libat sama yang menjadi tiga agenda utama pengajian tinggi.

Libat sama ini adalah menyeluruh dalam kalangan masyarakat setempat sehinggalah berkongsi kepakaran di luar negara bagi membantu pelbagai kumpulan sasaran.

Di Kuala Muda, Kedah misalnya, sekumpulan pensyarah Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) melaksanakan program Mobile Science Laboratory (MSL) dengan menyediakan bahan pengajian sains dan persekitaran di luar bilik darjah sejak 2009, yang mendorong pelbagai aktiviti sains bagi menarik minat pelajar kepada pembelajaran Sains dan Teknologi (S&T) bermula dengan enam sekolah dan 10 stesen MSL. Sehingga kini lebih 20 sekolah rendah dilibatkan dengan kejayaan mewujudkan lebih 200 makmal sains bergerak MSL.

Seorang pensyarah Sains Matematik pula bekerjasama menyediakan mahasiswanya memasuki dunia pekerjaan dengan lapan syarikat terkemuka termasuk ASE Malaysia, Motorola, Pensonic dan Robert Bosch.

Mahasiswa yang dipilih menghabiskan masa cuti sekali seminggu di syarikat-syarikat ini yang dipantau secara berterusan. Mereka menjalankan pelbagai tugasan dan membantu industri dalam menyelesaikan beberapa masalah sekali gus memperolehi pengalaman secara langsung tentang apa yang diperlukan apabila bekerja kelak.

Di Kelantan, sekumpulan pensyarah Sains Perubatan menggembleng kepakaran rakan-rakannya dalam bidang Sains Pergigian, Sains Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pertubuhan Autisme Kebangsaan, Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan dan beberapa pihak lain untuk membolehkan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti membantu orang kelainan upaya mendapat kemahiran dalam meneruskan hidup.

Program libat sama komuniti ini yang dilaksanakan di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Filipina, Sri Lanka dan Myanmar, pertama kali dilaksanakan di Batu Rakit, Terengganu, melibatkan 55 kanak-kanak OKU. Kepakaran di universiti kini digunakan untuk memberikan latihan kepada pelatih-pelatih meneruskan usaha ini secara lestari melalui program intervensi yang melibatkan latihan berterusan secara latih tubi.

Nasib ibu tunggal juga mendapat perhatian universiti. Sekumpulan pensyarah pengajian jarak jauh dengan pelbagai kepakaran membantu mereka yang berpendapatan kecil untuk berdikari dengan memberikan kemahiran dan pengetahuan tertentu bagi meningkatkan pendapatan dan mendedahkan mereka kepada usaha mencari pendapatan sendiri termasuk dengan menjahit.

Mereka bukan sahaja memanfaatkan kepakaran dalam memberi latihan bahkan berusaha mendapatkan bantuan swasta membekalkan peralatan untuk ibu-ibu tunggal ini meneruskan kehidupan dan berdikari.

Pada masa ini usaha tersebut berfokus di negeri Pulau Pinang bersama-sama pertubuhan sukarela di sini.

Semua kisah benar aktiviti libat sama komuniti ini menunjukkan bahawa universiti telah keluar dari kepompongnya yang berlegar sekitar dewan kuliah dan makmal atau bakti siswa biasa oleh mahasiswa kepada masyarakat luar bandar malah kini merentasi kumpulan masyarakat di pinggir bandar dan di dalam bandar.

Banyak lagi yang boleh dan perlu dibuat dalam memindahkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat secara langsung bagi membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Kumpulan terpinggir sering mendapat tempat dan bukan lagi melalui perjuangan untuk keadilan sosial dengan mengarak sepanduk, tetapi terlibat sama menggunakan kepakaran untuk merasai, membantu dan mengubah nasib mereka.

Hari ini universiti berusaha memadankan ilmu pengetahuan dan kepakaran, sumber dan kemudahan yang ada selaras dengan keperluan, aspirasi dan harapan komuniti serta industri agar memberi faedah optimum kepada semua yang terlibat.

Mereka yang cuba menggunakan universiti dan mahasiswa mahupun pensyarah untuk bertindak di luar daripada budaya keilmuan akan menjadi tidak relevan lagi dengan keperluan masyarakat dan negara pada masa hadapan.

* PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM)   Utusan/Rencana/20140626

Tags: universiti
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments