kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ada yang tak kena dengan Laporan Jabatan Negara AS

SEMEMANGNYA agak mengaibkan apabila Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mentafsirkan Malaysia berada dalam himpunan yang serupa dengan Korea Utara, Eritrea dan Republik Afrika Tengah apabila dikaitkan dengan isu pemerdagangan manusia.

Dalam laporan terkini yang dikeluarkan beberapa hari lepas, Malaysia diletakkan pada Tahap 3 iaitu kedudukan paling bawah setelah berada dalam Senarai Pemerhatian Tahap 2 pada 2012 dan 2013.

Penurunan taraf dari Tahap 2 ke Tahap 3 turut juga dialami oleh tiga negara lain iaitu Thailand, Gambia dan juga Venezuela. Agak menarik juga apabila Afghanistan, Barbados, Chad dan Maldives juga berada dalam Senarai Pemerhatian Tahap 2 seperti Malaysia tetapi dikekalkan pada tahap tersebut kerana pada pendapat Jabatan Negara AS terdapat bukti bahawa usaha sedang dilaksanakan untuk menyekat pemerdagangan manusia.

Kriteria utama yang digunakan untuk melonggokkan Malaysia pada tahap terendah adalah wujud persepsi bahawa tiada usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menyekat fenomena yang lebih popular dengan ungkapan perhambaan era moden.

Laporan tersebut dengan secara khusus menuduh kerajaan tidak bersungguh-sungguh mengekang dan menghukum sindiket buruh paksa dan pelacuran yang berlaku secara berleluasa di sektor perladangan, perkilangan dan pembinaan. Kerajaan juga dituduh tidak memberi perlindungan yang sewajarnya terhadap mangsa sindiket tersebut.

Satu tuduhan yang agak berat dan mengaibkan kerana Tahap 3 bukan sahaja membuka ruang kepada AS untuk mengenakan sekatan tetapi juga memberi gambaran tidak baik kepada masyarakat antarabangsa.

Apakah wujud kebenaran analisis Jabatan Negara AS yang mengandaikan bahawa kerajaan tidak serius untuk menyekat fenomena pemerdagangan manusia adalah menarik untuk di teliti. Salah satu kriteria yang digunakan oleh Jabatan Negara AS adalah berlaku penurunan dalam jumlah penyiasatan dan pertuduhan kes mahkamah untuk kes pemerdagangan manusia.

Persepsi yang digunakan oleh Jabatan Negara AS adalah lebih banyak kes pertuduhan yang dibawa ke mahkamah, maka ia memberi gambaran bahawa terdapat ke­sungguhan sesebuah kerajaan dalam mengekang aktiviti pemerdagangan manusia.

Afghanistan umpamanya di kekalkan pada Tahap 2 kerana terdapat 14 kes pertuduhan pemerdagangan manusia berjaya dibawa ke mahkamah.

Membawa kes pemerdagangan manusia ke mahkamah bukan satu perkara yang mudah kerana ia memerlukan bukti dan lazimnya mangsa agak keberatan memberi kerjasama. Sebab itu bermula dari November tahun lepas, kerajaan telah memperkenalkan Garis Panduan Operasi (SOP) untuk semua agensi yang terlibat dalam kes pemerdagangan manusia bagi memastikan setiap operasi yang dilaksanakan dapat bertahan jika kes tersebut dibawa ke mahkamah.

Laporan Jabatan Negara AS juga secara khusus membuat andaian bahawa kerajaan Malaysia tidak bersungguh-sungguh menjaga kepentingan mangsa kerana lebih menjerumus kepada proses menghukum.

Agak menghairankan juga mengapa la­poran tersebut tidak mengambil kira da­sar kerajaan yang membenarkan mangsa permerdagangan manusia ini bekerja dan menetap di Malaysia secara sah untuk jangka waktu tertentu.

Malaysia juga telah bekerjasama de­ngan beberapa negara seperti Bangladesh, Kanada, China, Arab Saudi, United Kingdom dan AS untuk berkongsi maklumat perisikan khusus mengenai pemerdaga­ngan manusia dengan hasrat mengekang fenomena ini.

Malaysia juga turut terlibat secara aktif dalam beberapa inisiatif seperti Proses Bali Untuk Pemerdagangan dan Penyeludupan Manusia dan Jenayah Rentas Sempadan yang secara khusus ditujukan untuk rantau Asia Pasifik.

Malaysia bukan sahaja aktif di peringkat antarabangsa dalam mengekang aktiviti terkutuk ini tetapi juga memperkemaskan perundangan tempatan selari dengan kehendak antarabangsa. Umpamanya pada 28 Februari 2008 kerajaan telah menguatkuasakan perundangan Antipenyeludupan Manusia 2007 (Akta) 670. Apa yang menarik, penggubalan akta tersebut mengambil kira protokol Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyekat, mencegah dan menghukum pelaku penyeludupan manusia terutama wanita dan kanak-kanak.

Begitu ironis sekali apabila Malaysia dilemparkan tuduhan tidak prihatin kepada mangsa pemerdagangan manusia sedangkan lebih 35,000 pelarian Rohingya yang lari dari kekejaman di Myanmar menganggap Malaysia tempat perlindungan yang selamat dan selesa. Lebih mengaibkan lagi apabila Myanmar dikekalkan pada Tahap 2, iaitu kedudukan jauh lebih baik daripada Malaysia.

Justeru ada sesuatu yang tidak kena dalam Laporan Jabatan Negara AS tersebut.

Perlu diungkitkan pada 2009, Malaysia mengalami situasi yang serupa iaitu kedudukan Tahap 2 pada 2008 dijatuhkan taraf ke Tahap 3 pada tahun berikutnya. Pada ketika itu persepsi dikaburi oleh Laporan Senat Kongres AS mengenai nasib pelarian rakyat Myanmar di Malaysia. Laporan Kongres yang dibuat melalui Jawatankuasa Hubungan Luar Senat AS menggambarkan bagaimana pelarian dari Myanmar ini diugut dan dijadikan bahan perdagangan untuk tujuan pelacuran dan kerahan tenaga percuma.

Serupa juga untuk 2014, persepsi laporan tersebut telah dipengaruhi oleh laporan berat sebelah daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Malaysia.

Jika Tahap 3 2009 menongkah arus pandangan Presiden Barack Obama terhadap Malaysia, begitu jua Tahap 3 2013 melalui senario yang serupa. Beberapa bulan setelah dilantik sebagai presiden pada 2009, Obama telah menyebut secara khusus dalam ucapan beliau di Kaherah bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang perlu dicontohi oleh negara Islam yang lain. Begitu juga pada tahun ini ketika lawatan rasmi ke Malaysia pada April lepas, Obama tidak memberi pandangan negatif terhadap situasi hak asasi di Malaysia walaupun terdapat tekanan supaya beliau menyentuh isu tersebut.

Jabatan Negara AS tidak sepatutnya bergantung kepada sumber maklumat yang mempunyai agenda tidak baik terhadap Malaysia dan perlu lebih bersifat terbuka. Jika Malaysia berlaku kejam terhadap mang­sa pemerdagangan manusia, maka tidak mungkin berjuta pekerja migran sama ada secara sah atau tidak yang berada di negara ini menganggap Malaysia adalah syur­ga untuk mencari rezeki.

* Azmi Hassan ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM Utusan/Rencana/20140626

Tags: ranking
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments