kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Lawan tetap lawan, senjata makan tuan

Ketika ini banyak pihak terutamanya ahli PKR sangat mengharapkan sentuhan emas maestro mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tidak pernah dalam sejarah 15 tahun PKR, parti ini terhina sebegini sekali.

Lebih teruk, yang menghina itu ialah ahli sendiri dalam saat-saat mereka sepatutnya menunjukkan tauladan amalan sihat meraikan demokrasi dalam parti.

Anwar yang dipuja-puja sehingga digelar sebagai 'anugerah Tuhan' dan diuar-uarkan mampu menyelesaikan apa juga masalah negara bahkan dunia seperti hilang punca. Beliau tercungap-cungap dalam kubangnya sendiri. Ahli-ahli PKR sendiri yang bertanya di mana Anwar?

Pemilihan PKR kali ini yang bermula 25 April dan sepatutnya berakhir 11 Mei lalu benar-benar telah memperlihatkan wajah PKR, membuka segala keburukan parti. Tiada lagi silap mata yang boleh menyelamatkan imej dan integriti parti ini. Sampah-sarap yang semakin menimbun di bawah permaidani PKR sudah tidak boleh disorok lagi. Apakah namanya semua itu jika tidak gila kuasa? Kerusi berterbangan, bertumbuk sehingga berdarah, maki hamun, dakwaan rasuah, manipulasi, salah guna kuasa bahkan bekalan elektrik terputus semasa kiraan undi mengiringi pemilihan PKR.

Barangkali Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang juga Setiausaha Agung PKR pun tidak menjangka pemilihan kali ini akan memakan waktu sebegitu lama. Calon Timbalan Presiden ini yang tertinggal jauh berbanding undi yang diperolehi penyandang Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dilaporkan berada di London untuk mengikuti kursus dua bulan. Saifuddin seakan-akan tidak boleh menunggu lagi. Pemilihan ini seperti tidak boleh dikawal dan berlarutan terlalu lama. Mujurlah ada tarikh lupus iaitu sebelum Kongres PKR pada 22 Ogos ini. Keputusan rasmi dijangkakan pada 12 Ogos ini. Kita lihat sahajalah bagaimana pemilihan lintang-pukang PKR ini akan berakhir.

Dalam pemilihan PKR ini kelemahan pengurusan dan gila kuasa begitu terserlah. Terbukti orang 'sekaliber' Anwar yang dinobatkan sebagai Ketua Umum PKR gagal menanganinya. Parti ini seperti terkena sumpahan sendiri. Senjata yang dahulu digunakan untuk menyerang kerajaan mahupun membangkitkan semangat penyokong, kini makan tuan.

Dahulu mereka gunakan reformasi untuk menggerakkan terutamanya orang muda bangkit menentang apa yang mereka sifatkan sebagai kezaliman dan ketidakadilan penguasa. Kini, di laman-laman sosial penyokong PKR mempersenda reformasi sebagai 'reforkerusi'. Para pemimpin akar umbi PKR malah tanpa segan silu menzahirkan lelucon sinis itu secara terbuka. Reformasi yang selama ini telah menyatu dan menggerakkan jentera Anwar, kini hanya dianggap sebagai satu jenaka. Reformasi yang selama ini menggegar apa sahaja yang menghadang, tertunduk layu dilanyak oleh ahli sendiri. Reformasi tiada makna kepada parti ini. Reformasi dalam PKR sudah mati.

Kekecohan

Demonstrasi jalanan pula yang menjadi ikon PKR terbawa-bawa dalam urusan dalaman parti ini. Sepanjang pemilihan PKR ini, rasanya sudah tidak terhitung berapa banyak tunjuk perasaan yang diiringi dengan tuduhan dan maki hamun kepada pemimpin parti dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR. Diumum kalah sahaja terus kumpul penyokong untuk buat demonstrasi. Dipecat pun buat kekecohan dengan berdemonstrasi. Ada sahaja cara digunakan. Jika parti tidak melayan tuntutan, mereka akan sebarkan dakwaan dan pekung di dada dalam media sosial. Habis parti dibogelkan, tidak kira maklumat itu benar atau palsu. Dalam konteks nama baik negara dan pemimpinnya, inilah yang mereka lakukan dahulu. Pemimpin kerajaan dan agensi penguat kuasa bahkan produk kebanggaan negara seperti batik diperlekehkan di luar negara. Kata-kata azimat yang sudah menjadi jenama 'lawan tetap lawan' kini dijadikan senjata untuk menentang ketidakadilan penguasa dalam parti itu. Mereka yang dipecat, digantung dan dikenakan tindakan disiplin oleh parti, yang merasakan diri mereka dianiaya bertegas menggunakan slogan 'lawan tetap lawan' untuk menentang hukuman yang dikenakan.

Tidak cukup dengan itu, sudah ada yang menfailkan saman di mahkamah kerana tidak puas hati dengan keputusan parti. Setakat ini, Ahli Jawatankuasa PKR Ampang, Nasharudin Md. Isa dilapor telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membatalkan keputusan pemilihan PKR cabang itu. Siapakah yang mengajar semua ini? Pemimpin dan penyokong PKR sudah lama terdidik dengan budaya songsang ini. Merekalah yang mengamuk dan berdemonstrasi apabila kalah pilihan raya. Merekalah yang dahulu membuat bermacam-macam tuduhan kepada SPR, polis, tentera dan agensi kerajaan lainnya.

Bukankah kelompok ini yang tidak menghormati lawan yang telah diisytiharkan menang? Merekalah yang bergegas mengumpulkan rakyat agar membantah keputusan rasmi pilihan raya umum. Inilah demokrasi dan reformasi PKR yang sekarang sedang dilawan daripada dalam. ZULKEFLI HAMZAH Utusan/Rencana/20140629

Tags: pkr, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments