kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sikap udang di sebalik batu

Seperti yang saya katakan di bahagian terakhir coretan lalu, melalui persidangan parti di Chengdu pada bulan Mac 1958, Mao Tse-tung secara persendirian telah membatalkan semua keputusan Parti Komunis China (PKC) yang dibuat pada awal tahun itu yang bertujuan menghalang hasratnya untuk memulakan Great Leap Forward. Kecuali Chao En-lai yang telah tunduk kepada kehendak Mao, lain-lain pemimpin kanan PKC yang tidak sehaluan dengan Mao seperti Liu Shao-chi, Peng De-huai, Li Xian-nian dan Deng Xiao-ping tetap teguh dengan pendirian mereka.

Manakala beberapa orang pemimpin lain seperti Lin Biau dan Kang Sheng menyebelahi rancangan Mao. Boleh dikatakan mulai penghujung tahun 1950-an membawa kepada awal tahun 1960-an, kepimpinan PKC telah terbahagi kepada dua: di satu pihak, mereka yang menentang dasar-dasar Mao yang dipelopori Liu Shao-chi, di pihak lain Mao sendiri. Oleh sebab jentera parti dalam cengkaman Mao, boleh dikatakan yang menyebelahi Mao bersifat oportunis dengan hasrat mengambil hati Mao dengan menyimpan udang di sebalik batu. Ini khususnya menyentuh diri Lin Biau yang akan lebih dikisahkan dalam coretan akan datang.

Lin Biau lahir pada 1907 di Huanggang, provinsi Hubei, bahagian Tengah China. Dia memasuki PKC pada tahun 1925 (Lima tahun selepas parti ditubuhkan) dan merupakan salah seorang dari sepuluh Marsyal tentera yang mula-mula dilantik sesudah republik komunis China ditubuhkan. Mereka adalah veteran Long March 1934-1936. Lin Biau yang bertubuh sederhana dikatakan ialah orang kepercayaan Mao sejak awal-awal perjuangan parti melawan Kuomintang dan kerana pembabitan mendalamnya semasa Long March. Dia masyhur sebagai tactician perang gerila melawan Jepun semasa peperangan China-Jepun 1937-1945.

Menyentuh tentang Long March 1934-1936: Pada awal 1930, PKC telah berjaya mengalahkan tentera Kuomintang di wilayah Jiangxi, di selatan China. Di timur Jiangxi terletak wilayah Fujian, di selatan ialah wilayah Guangdong. Berpusat di bandar Ruijin di bahagian selatan Jiangxi, Mao telah mengisytiharkan Jiangxi sebagai wilayah Soviet pertama di China. Mao dan parti mahu menjadikan Soviet Jiangxi sebagai permulaan dan asas (foundation) untuk kemudiannya mendirikan negara Komunis Soviet China setelah Parti Kuomintang dikalahkan di seluruh China.

Bagaimanapun, dalam masa empat tahun penubuhan pemerintahan Soviet Jiangxi itu, tentera Kuomintang telah melancarkan kempen ketenteraan sebanyak lima kali terhadap pemerintahan komunis di wilayah itu. Untuk kempen kali yang kelima, Presiden Chiang Kai-shek, sebagai Ketua Parti Kuomintang, telah ‘turun padang’ ke Nanchang, ibu kota wilayah Jiangxi, untuk mengepalai kempen menghapuskan pemerintahan Soviet Jiangxi. Semasa kempen pertama pada 1931, Kuomintang dengan kekuatan 100,000 tentera berhadapan dengan 9,000 tentera komunis buat ketika itu, tetapi dikatakan pihak komunis mendapat sokongan dua juta rakyat.

Kuomintang dikatakan kehilangan hampir 50,000 tentera semasa kempen pertama dan 30,000 orang lagi semasa kempen pada awal 1933. Untuk kempen kelima pada bulan Julai 1933, Chiang Kai-shek telah menghimpunkan bilangan terbesar tenteranya seramai 500,000 dengan menggunakan senjata api terkini yang dibeli daripada Britain, Amerika Syarikat dan Jerman. Mereka berperang selama hampir setahun di mana pihak komunis kehilangan 50,000 tentera. Menjelang pertengahan 1935, PKC membuat keputusan untuk ‘mengundur diri’ dari wilayah Shangxi. Ini untuk menyelamatkan parti daripada kemusnahan total. Menurut Jung Chang-Jon Halliday dalam buku mereka Mao, the Unknown Story, pada bulan Oktober, 1934, 80,000 gerila komunis memulakan langkah Long March menuju ke arah barat, bermula dengan memasuki wilayah Hunan sebelah barat Jiangxi. Kata Jung Chang-Jon Halliday: "The procession moved over a ten-day period in three columns, with the two oldest and core units under Lin Biao and Peng De-huai respectively, on each side of the HQ. The 5,000-strong HQ consisted of the handful of leaders and their staff, servants and guards. Mao was with the HQ (halaman 135)".

Perjuangan

Menjelang bulan Disember 1934, Long March telah sampai lebih jauh ke barat iaitu wilayah Guizhou. Dari situ mereka menuju ke utara sampai ke wilayah Shanxi iaitu di timur laut China pada penghujung 1935. Pada penghujung 1935, Mao akhirnya membuka pangkalan baru perjuangan parti di Yanan, ibu kota Shanxi. Menurut Jung Chang-Jon Halliday: "For the next decade, Mao lived in Yanan, the capital of the territories Chiang assigned to the Reds. He (Mao) moved into the city on New Year’s Day 1937 … which silently opened up the columns of the Red Army Soldiers, marching along the broad dirt road that stretched into the infinity of yellow earth … (halaman 200)".

Menurut penulis Sun Shuyun dalam bukunya The Long March: "Every nations has its founding myth. For communist China, it is the Long March, for us (generasi baharu China) on a par with Moses leading the exodus out of Egypt. Any Chinese can tell it: how the fledgling Communist Party and its Red Armies, some 200,000 strong, were driven out of their bases in the South (Jiangxi) in the early 1930's by the Nationalist government … they choose the only way out, to go where no one could follow, over mountains higher than birds could fly … After two years of incredible endurance ... and a march of 8,000 miles, the Red Armies reached the barren Yellow Plateau of north-west China. Only a fifth of those who set out arrived (halaman 1)."

Saya mencoretkan panjang sedikit kisah Long March Parti Komunis China ini untuk menunjukkan betapa "teman-teman" seperjuangan Mao semasa sama-sama mengharungi Long March bakal dikenakan tindakan oleh Mao di kemudian hari selepas dia berjaya memegang tampuk kuasa. Ini terutama semasa Mao merancang hendak melaksanakan dasar Great Leap Forward pada tahun 1958. Pemimpin-pemimpin PKC yang turut bersama-sama Mao semasa Long March ialah Liu Shao-chi, Chou En-lai, Peng De-huai, Wang Jia-xiang, Lo Fu, Zhu De, Po Ku, Chen Yun, Xiang Ying dan Lin Biao. Kebanyakan mereka bakal menjadi mangsa kerakusan dan kezaliman semasa Mao melancarkan gerakan Cultural Revolution (Revolusi Kebudayaan) pada pertengahan 1960-an bertujuan apa yang dianggapnya untuk membersihkan parti daripada ‘petualang-petualang berhaluan kanan’. Ini akan dikisahkan lebih lanjut dalam coretan saya minggu hadapan. ABDUL RAHIM NOOR Utusan/Rencana/20140629

Tags: komunis, pkm
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments