kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Demi memperkasa syarat kemelayuan

TIGA perkara yang sentiasa membidangi tamadun Melayu ialah agama, bahasa dan budaya yang di dalamnya terkandung adat. Jika diamati budaya dan adat, kedua-duanya saling berkaitan. Dalam erti kata sebenar budaya itu sedia berada di dalam adat; juga boleh dikatakan bahawa adat ada di dalam budaya. Lebih daripada itu, jika dikatakan bahawa mengamalkan adat atau 'adah' dalam bahasa Arabnya sekali gus seseorang itu mengamalkan budayanya.

Dalam memperkatakan hal-ehwal adat dan budaya inilah terbit beberapa aspek permasalahan kebudayaan Melayu, suatu subjek yang sering tidak dipedulikan oleh pelbagai pihak dalam sibuk dalam kehidupan moden kini.

Yang ternyata pada hari ini ialah berkurangannya perhatian dan perjuangan berkaitan budaya Melayu yang di bawahnya tercakup pelbagai macam kandungan warisan ketara dan tak ketara seperti bahasa, cara hidup berbudaya atau beradat. Pada masa sama, budaya atau kebudayaan itu sering bermain di bibir sekian banyak pihak termasuk pemimpin dan golongan yang dipimpin.

Semasa Inggeris menjajah Tanah Melayu beberapa orang pegawai tinggi mereka dikhususkan mempelajari hal-hal berkaitan budaya Melayu termasuk bahasa, adat istiadat dan kedudukan masyarakat Melayu. Pembesar-pembesar-pembesar mereka seperti Sir Frank Swettenham, Hugh Cliffords, RJ. Wilkinson, Sir Richard Windstedt, JM Gullick dan Tan Sri Mubin Sheppard, begitu banyak mempelajari dan mempromosi budaya Melayu sehingga sebahagian daripada mereka lantas menjadi sarjana bertaraf antarabangsa.

Dalam Perlembagaan parti-parti politik juga, termasuk UMNO (Fasal 3) ada dimuatkan dengan perkara berkaitan kebudayaan kebangsaan, kedudukan bahasa Melayu dan lain-lain hal penting di sisi perjuangan berkaitan budaya. Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia (PPM) perkara kebudayaan dimasukkan ke dalam perakuan jadualnya. Sebaliknya, istilah atau terma adat istiadat Melayu disebut dengan terang dan nyata - iaitu pada Perkara 160 PPM yang memperuntukkan:

Melayu ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan (a) lahir sebelum Hari Merdeka (31 Ogos 1957) di Persekutuan atau di Singapura atau pada Hari Merdeka itu ia adalah berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau (b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.

Definisi di atas menimbulkan beberapa persoalan yang semestinya setiap yang dijeniskan Melayu harus berfikir dan berbuat sesuatu. Kaum-kaum lain memang mengetahui definisi ini dan cerdik pandai Perlembagaan mereka sering menyorot peruntukan ini sebagai khas bagi orang Melayu sahaja. Ini adalah kerana tiada diberi sebutan atau definisi tentang siapakah seseorang Cina, atau seseorang India dan siapa yang berbangsa lain-lain. Tentang Sabah dan Sarawak ada peruntukannya iaitu "Bumiputera mana-mana negeri Borneo" (lihat klausa (1) Perkara 153 PPM.

Setakat ini tiada lagi didapati mana-mana pihak yang mencabar siapa itu Melayu. Tetapi akan sampai masanya apabila seseorang yang menyatakan dirinya Melayu dipertikaikan di sisi undang-undang negara khasnya bila berkaitan dengan hak-hak istimewa kedudukan seseorang Melayu di bawah Perkara 153 PPM.

Mendiang peguam Karpal Singh pernah menyatakan kepada saya bahawa pada tahun 1990 beliau ada cadangan untuk mencabar kesahihan seseorang individu Melayu ketika itu yang menyatakan kepadanya bahawa dia bukan lagi seorang Melayu kerana, menurut kenyataannya, dia sudah tidak lagi mengamalkan adat istiadat Melayu dan juga tidak lagi lazim berbahasa Melayu. Kalau menurut kehendak Perkara 160 PPM kesahihan kemelayuannya sudah boleh dipertikaikan dan mahkamah boleh membuat penentuan status jika dipohon berbuat sedemikian. Kes tersebut tidak sampai ke tahap penghakiman kerana anak guam berkenaan dilaporkan meninggal dunia pada tahun 1991.

Penakrifan

Yang penting dan paling utama dimengertikan tentang siapa itu Melayu ialah hal yang berkaitan agama Islam, bahasa percakapannya dan adat yang diamalkannya. Sementara memang boleh dikatakan bahawa di bawah tajuk budaya - agama dan adat itu mungkin sahaja dianggap sebagai berada di bawah bidang budaya. Tetapi pendekatan dan penakrifan begini tidak wajar kerana agama Islam yang kerap juga dianggap sebagai cara hidup atau way of life, hakikatnya ialah lebih kemas dan teratur jika agama Islam sebagai anutan kepercayaan keagamaan diasingkan daripada penakrifan di bawah mauduk budaya.

Seterusnya ketiga-tiga syarat tersebut - Islam, bahasa Melayu dan adat istiadat merupakan entiti tali tiga sepilin dalam ikatan erti dan definisi siapa itu Melayu. Perkara 160 tidak pula mensyaratkan peratusan amalan yang perlu ada bagi memuaskan klausa "menganut agama Islam", "lazim bercakap bahasa Melayu" dan "menurut adat istiadat Melayu". Dengan sifat yang agak 'am' sedemikian tentulah ada baiknya kerana dalam sesuatu peruntukan undang-undang yang bersifat 'am' atau genaris agak mudah seseorang itu membuat hujah mempertahankan sesuatu keadaan.

Namun begitu agak merunsingkan apabila difikirkan tentang klausa menurut adat istiadat Melayu di bawah Perkara 160 tersebut. Ini adalah kerana adat istiadat Melayu itu sendiri bersandar kepada kebudayaan atau budaya Melayu yang pada hari ini sudah cukup caca-merba keadaannya.

Tanpa menghiraukan aspek-aspek lain dalam hujah ini, apa yang harus dilakukan secara bersungguh-sungguh adalah bagi kerajaan dan rakyat untuk terus memperkukuh warisan, kebudayaan dan seni Melayu demi identiti dan keluhuran Melayu.

Melatih semula perkara-perkara berkaitan budi, nilai-nilai murni, menyusun dan mengamalkan semula petua-petua adat Melayu yang bersifat turun-temurun termasuk tamadun positif istana Raja-Raja Melayu yang tidak bercanggah Islam; memperkaya bahasa Melayu lengkap dengan peribahasa, perumpamaan, bidalan, pantun, seloka, teromba dan lain-lain cabang budaya berbahasa indah; menghidupkan semula amalan gotong-royong, adat resam berbudi luhur, perkampungan murni dan mengungkai semula kebijaksanaan orang Melayu berfikir dan bertindak.

Kesemua ini mesti diajarkan semula. Yang mula-mula harus diajar ialah guru, bukan murid. Juga yang perlu diajar semula ialah para pensyarah guru-guru. Mereka perlu dibedung dengan dasar pembelajaran yang kini sedang melalui fasa transformasi pesat.

Kita perlu bertindak sekarang demi mempertahankan budaya Melayu yang dalamnya terkandung adat dan adat istiadat Melayu. Tindakan harus disegerakan mewujud dan memperbesarkan kumpulan budayawan Melayu. Pusat-pusat pengajian Melayu mesti diperhebat dan digalakkan agar tamadun Melayu dapat digembleng menjadi murni, hebat dan disegani semula.

Itu pun kalau benar-benar tak mahu Melayu hilang di dunia. * TAN SRI DR. RAIS YATIM ialah Penasihat Sosio-budaya Kerajaan Malaysia. Utusan/Rencana/20140629

Tags: agama, bahasa, budaya
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments