kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bertimbang rasalah dengan pembayar PCB

Sebagai kakitangan awam dan swasta, jangan haraplah dapat lari daripada cukai pendapatan. Kalau nak ‘belit’ dalam penyata pendapatan pun susah. Kecuali golongan berkerja sendiri yang tak ada slip gaji.

Golongan makan gaji di sektor awam dan swasta yang termasuk dalam kumpulan pembayar cukai inilah yang setia bayar cukai dan diwajibkan membuat potongan cukai berjadual iaitu PCB.

Dahulu langkah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ini diperkenalkan untuk memudahkan (bukan meringankan beban) potongan cukai. Selepas itu dikatakan PCB memudahkan pengiraan sebenar melalui e-filing yang biasanya diisikan pada Mac setiap tahun.

Sekarang ceritanya sudah lain. Bayar tetap bayar. Kalau terlewat atau terlupa isytihar pendapatan bercukai bagi tahun tertentu, tunggulah surat daripada LHDN - bukan setakat denda lewat, ditambah pula dengan potongan kiraan oleh pihak LHDN sendiri.

Kiraannya jangan harap serupa macam potongan PCB. Jumlah potongannya tak termasuk potongan untuk isteri dan anak-anak. Takkan data peribadi pembayar PCB pun tak ada dalam rekod LHDN. Mudah betul kerja. Jadi bayangkan jumlah potongan cukai itu. Saya akui hal ini sebab sudah ada pengalaman.

Sekarang LHDN bertambah pandai. Tak peduli pandangan pembayar cukai dan kesatuan sekerja. Sejak 16 Jun lalu LHDN mengarahkan majikan melaksanakan potongan gaji (Arahan CP38) ke atas pembayar cukai yang memperoleh pendapatan daripada sumber penggajian tetapi masih mempunyai tunggakan cukai.

Tunggakan cukai satu hal, tapi bagaimana dengan mereka yang tiap-tiap bulan gaji dipotong untuk PCB. Sesetengah pihak terutama bagi LHDN, arahan potongan gaji merupakan langkah yang betul dan kaedah terbaik bagi ‘mengajar’ sikap liat membayar cukai yang membelenggu masyarakat.

Bayar

Walaupun mereka liat, tapi mereka tetap bayar cukai melalui PCB.

Ada juga kata, arahan potongan gaji bulanan adalah kaedah terbaik bagi memastikan pembayar tidak terlepas pandang dalam melaksanakan kewajipan membayar cukai.

Yang ini saya setuju. Namun pembayar cukai hanya boleh menggunakan e-filing untuk taksiran cukai dalam tempoh satu bulan sahaja (1-30 Mac). Pada LHDN, buatlah apa cara sekalipun sama ada guna e-filing atau datang ke kaunter mereka. Tak isytihar taksiran cukai, tanggunglah denda.

Mengikut rekod LHDN, sehingga 24 Mei lalu, dianggarkan 156,158 orang pembayar cukai individu menerima Arahan CP38 yang melibatkan amaun tunggakan cukai berjumlah hampir RM418 juta. Wow, banyak jumlahnya. Tapi adilkah cara ‘mengejut’ LHDN mengambil tindakan pemotongan gaji terhadap pembayar cukai ini?

Tempoh masa kurang daripada sebulan selepas pengumuman arahan pada 2 Jun lalu, sedangkan arahan potongan gaji kepada majikan pada 16 Jun dilihat membebankan pembayar cukai dan merupakan satu tindakan tidak adil.

Adakah LHDN sudah terdesak untuk mengutip cukai sebagaimana disasarkannya sebanyak RM140.15 bilion tahun ini, berbanding RM128.9 bilion tahun lalu. Khabarnya sehingga 30 April lalu sebanyak RM41.5 bilion sudah dikumpul. Takut sasaran tak kesampaian maka pembayar cukai tetap PCB pula didera.

Hakikatnya mahu tak mahu LHDN tetap akan mendapat kutipan cukai mengikut jadual daripada pembayar cukai melalui PCB. Jadi apakah salah mereka hingga didera supaya membayar cukai mengikut kiraan suka hati LHDN. Kalau mereka masih tak isytihar taksiran, untunglah LHDN dapat cukai daripada potongan gaji bulanan dan PCB.

Hakikatnya pembayar cukai PCB sudah lama dipaksa membayar awal kepada LHDN tapi penyelarasnya dibuat kemudian. Kalau ada lebihan bayaran cukai, lambat pula dipulangkan. Tapi kalau pembayar cukai PCB lewat isytihar, denda tetap dikenakan.

Mungkin LHDN tidak buka fail betul-betul, golongan mana yang akan menerima kesan daripada pelaksanaan arahan potongan gaji kepada para majikan. Barangkali LHDN tak perasan bahawa golongan berpendapatan rendah yang menerima bebanan ini.

Tanpa rundingan dengan pembayar cukai terlebih dahulu, arahan sudah pun bermula bagi gaji bulan Julai ini. Tanpa perbincangan, LHDN tak peduli apakah masalah dan halangan utama yang menyebabkan ramai pembayar cukai gagal melunaskan baki tertunggak atau tak isytihar taksiran seperti yang diwajibkan.

Beberapa komitmen dan tanggungan lain pembayar cukai seperti tanggungan keluarga, ansuran kereta, rumah dan perbelanjaan harian, memang bukan urusan LHDN. Tapi LHDN perlu prihatin beban pembayar cukai yang semakin tinggi terutamanya kos sara hidup yang tinggi sekarang.

Kalau LHDN dikatakan boleh memberi ‘layanan istimewa’ kepada syarikat korporat dalam bentuk pembayaran secara ansuran dalam tempoh tidak munasabah dan pemotongan melampau bagi penalti kerana mempunyai cukai tertunggak, jadi apakah pembayar tetap PCB tak layak mendapat layanan yang sama.

Berlaku adil dan bertimbang rasalah kepada pembayar cukai PCB. Kementerian Kewangan kenalah ambil tahu terhadap perkembangan ini. Azman Anuar Utusan/Rencana/20140629

Tags: lhdn
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments