Pola pengundian masyarakat Cina adalah sesuatu yang amat sukar untuk diramalkan oleh mana-mana pihak.
Pada tahun 1998 ( Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU-10), masyarakat Cina menjadi benteng Barisan Nasional (BN) apabila majoriti mereka mengundi untuk BN pada ketika itu.
Pada tahun 2004 (PRU-11), sokongan Cina terhadap BN juga tidak banyak berubah dan akhirnya memenangkan BN dengan kerusi Parlimen yang paling banyak dalam sejarah negara.
Namun begitu, pada PRU-12 ramai penganalisis politik tidak meramalkan bahawa sokongan Cina beralih kepada pakatan pembangkang dan akhirnya pola pengundian pada PRU-12 sekali lagi memeranjatkan majoriti penganalisis politik tanah air berikutan ramai yang sudah beralih arah menyokong pakatan pembangkang.
Pada PRU-13 sememangnya sudah diramalkan bahawa sokongan kaum Cina terhadap pakatan pembangkang akan meningkat tetapi sekali lagi keputusannya memeranjatkan ramai apabila sokongan kaum Cina kepada pakatan pembangkang melebihi 90 peratus. Keputusan ini mengejutkan apabila penganalisis politik kedua-dua pihak hanya meramalkan sokongan sekitar 70 peratus atau 80 peratus.
Tidak lama kemudian apabila kedua-dua pihak sudah tidak lagi mempercayai bahawa kaum Cina akan menyokong BN, tetapi masyarakat ini sekali lagi memberi kejutan dengan sokongan 70 peratus dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau.
Keadaan ini berterusan dengan peningkatan sebanyak 7 peratus dalam PRK Kajang dan 10 peratus di Teluk Intan baru-baru ini. DAP sehingga hari ini cuba mencari pelbagai alasan demi menutup realiti kekalahan mereka disebabkan para pengundi Cina sudah mula menghukum mereka.
Pemimpin DAP cuba menyalahkan rakan seperjuangan mereka iaitu Pas kerana memainkan isu hudud sehingga menyebabkan kekalahan mereka di Teluk Intan.
Namun begitu, dalam isu hudud Pas, masih belum lagi timbul suara sinis ketika berlangsungnya PRK Sungai Limau dan juga PRK Kajang, dan pengundi Cina sedikit sebanyak sudah beralih kembali sokongan mereka terhadap BN walaupun dalam skala yang kecil.
Masyarakat Cina sebenarnya hanya hendak menghantar mesej kepada kedua-dua pihak tidak kira pihak BN mahupun pakatan pembangkang, tiada mana-mana pihak yang sebenarnya mampu untuk memonopoli dan menguasai undi mereka.
Pola pengundian mereka boleh berubah pada bila-bila masa dan paling menggerunkan ialah ia berubah dengan mendadak mengikut kesesuaian dan cita rasa mereka.
Ada juga pengalisis politik tertentu yang menyatakan bahawa perlunya wakil masyarakat Cina dalam Kabinet baharulah dapat mengembalikan sokongan kaum Cina kepada BN.
Sebenarnya teori ini belum tentu ada kebenarannya kerana pada PRU-12 dan PRU-13 terdapat ramai wakil kaum Cina dalam Kabinet tetapi pola pengundian masyarakat Cina tetap tidak menyokong BN.
Teori ini walaupun ada kebenarannya namun ia masih belum cukup kuat untuk membuktikan bahawa masyarakat Cina akan kembali menyokong BN jika parti yang mewakili masyarakat Cina sendiri tidak berubah mengikut apa yang dimahukan rakyat. Utusan/Rencana/20140629