kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

MCA, Gerakan perlu pembaharuan

Kemasukan tiga wakil rakyat untuk menjadi menteri persekutuan daripada MCA (2) dan Gerakan (1) sudah dijangka oleh semua pihak. Nampak sangat politik Malaysia belum terlepas daripada kongkongan paradigma politik etnik atau politik perkauman yang diwarisi sejak 1960-an lagi. Ini adalah kerana kemasukan wakil Cina daripada MCA dan Gerakan mencerminkan pendekatan politik Malaysia bahawa semua kaum atau etnik utama 'mesti' diwakili dalam kerajaan, baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri. Oleh kerana selama ini tiada wakil kaum Cina dalam Kabinet Persekutuan, maka sering dikatakan bahawa masyarakat Cina tidak diwakili dalam Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN).

Kemasukan wakil MCA adalah berikutan pertukaran dasar tidak mahu bersama dalam Kabinet kerana prestasi buruk MCA dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan dasar ini telah ditukar apabila Datuk Seri Liow Tiong Lai naik menjadi Presiden MCA menggantikan Datuk Seri Chua Soi Lek yang bertanggungjawab terhadap tiada wakil MCA dalam Kabinet selepas PRU-13.

Sementara, kemasukan Datuk Mah Siew Keong daripada Gerakan pula adalah bagi memenuhi janji bahawa jika beliau menang di Teluk Intan, dia akan dilantik menjadi Menteri Persekutuan. Ini janji pilihan raya tetapi terpaksa ditunaikan kerana jika tidak masyarakat akan kata, janji BN janji kosong.

Secara hakikatnya MCA dan Gerakan sudah ditinggalkan oleh masyarakat Cina. Ini cukup jelas pada PRU-13. Justeru, membawa masuk tiga wakil Cina daripada MCA (2) dan Gerakan (1) yang kalah teruk dikatakan tidak memberi kesan apa pun. Ini adalah kerana mereka tidak mewakili suara Cina.

Untuk mengembalikan suara Cina, MCA dan Gerakan perlu berkerja keras membawa isu dan masalah Cina ke meja rundingan BN. Jika tidak dalam Kabinet pun, MCA dan Gerakan sudah ada saluran berbuat demikian, iaitu melalui peranan kedua-dua parti itu dalam BN.

Apabila MCA dan Gerakan menaruh harapan bahawa dengan jawatan menteri baharulah parti itu bisa dan boleh berdepan dengan masyarakat, maka itu sudah silap dan salah dasar untuk memperjuangan kepentingan masyarakat mereka.

Justeru, MCA dan Gerakan masuk kembali ke Kabinet dengan melangkah (crowling) kerana kedua-dua parti itu masuk dengan kelemahan dan bukan masuk ke Kabinet dengan kekuatan

Saya tidak fikir bahawa MCA dan Gerakan diberi jawatan kerana mereka mampu menuntutnya daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Sebaliknya saya melihat itu ihsan Najib kerana berdasarkan kepada realiti kedudukan mereka sebagai parti politik dalam BN. Jadi apa kekuatan mereka untuk menuntut apa-apa daripada Perdana Menteri sedangkan mereka tidak ada apa-apa untuk diberikan.

Perdana Menteri membawa mereka masuk kerana Najib mahu menunjukkan kepada Malaysia bahawa dia mengambil berat nasib dan masa depan masyarakat Cina yang tidak ada wakil walaupun Najib tahu bahawa dia dan Kabinetnya bekerja untuk semua orang Malaysia dan bukan sahaja untuk masyarakat yang ada wakil dalam Kabinet beliau.

Oleh itu MCA dan Gerakan perlu pembaharuan. Kedudukan MCA lebih baik berbanding Gerakan kerana sudah ada orang baharu di puncak kepimpinannya. Tetapi ramai lagi pemimpin lama yang perlu digantikan dengan barisan wajah baharu untuk memberi tenaga dan nafas baharu yang mempunyai pandangan sama dengan masyarakat Cina sekarang.

Masyarakat sekarang mahu banyak perkara yang mencerminkan nilai semasa seperti ketelusan, kebertanggungjawaban, bersih, moral tinggi dan sebagainya. Dalam pembaharuan ini, perkara seperti ini perlu diambil kira kerana masyarakat moden tidak berdiam diri seperti zaman ibu bapa dan datuk nenek mereka.

Oleh itu, kedudukan dalam kerajaan ini tidak cukup untuk MCA dan Gerakan memainkan peranan dalam mengembalikan sokongan masyarakat Cina kepada parti itu dan BN. Kepimpinan kedua-dua parti itu perlu ada perancangan dan strategi yang lebih fokus, dan engaging dengan masyarakat Cina dan bukan dilihat sebagai parti tauke, dan parti yang berebut mahu jawatan dalam kerajaan semata-mata.

Politik Malaysia sudah maju dan berlainan daripada dahulu. Namun pemikiran orang dalam politik Malaysia agak ketinggalan kerana ahli politik kita masih terperangkap dalam paradigma bahawa semua kaum utama mesti diwakili dalam Kabinet untuk menjamin kerjasama dan kemajuan semua.

Paradigma ini diterjemahkan oleh BN yang ada 13 parti komponen, malangnya terdapat parti yang umpama parti 'nyamuk' (kecil). Sudah sampai masa untuk mengurangkan parti-parti kecil ini dan menyatukannya dalam ikatan yang lebih besar supaya perasaan kekitaan cepat dapat dibina.

Sudah sampai masanya untuk idea menubuhkan satu parti untuk semua, difikirkan semula. Idea ini bukan baharu kerana idea satu parti untuk semua mula diperkenalkan oleh pengasas UMNO sendiri yang pada masa itu dianggap terlalu ke hadapan pada zamannya.

MCA dan Gerakan sebagai sebuah parti mewakili masyarakat Cina perlu jujur dan ikhlas. Mereka perlu berterus terang dengan BN. Semua perkara yang penting dan menyentuh masyarakat Cina termasuk yang menyentuh sensitiviti kepada orang Melayu dan bumiputera, perlu disampaikan kepada pucuk pimpinan BN namun tidak semestinya disampaikan melalui pihak media.

Cara MCA dan Gerakan perlu berhemah. Bukan tikam belakang seperti bercakap melalui media dan sebagainya. Mereka perlu berdialog dengan semua sekutu dalam BN.

Lagipun apabila sudah masuk kembali dalam Kabinet, mereka kena faham konsep collective responsibility bahawa mereka perlu akur segala yang dilakukan kerajaan. Jika tidak mahu akur, tinggalkan Kabinet. Mereka tidak boleh bertindak sebagai atau seperti pembangkang ibarat "membasuh kain kotor di tempat awam" (washing dirty linen in public).

Namun begitu, kemasukan MCA dan Gerakan tidak menjejaskan peranan penting parti komponen dari Sabah dan Sarawak dalam BN. Pertama, peranan komponen Sabah dan Sarawak sudah tertulis dalam sejarah sebagai penyelamat BN kerana kerajaan BN hanya berjaya ditubuhkan dengan kemenangan besar daripada kedua-dua negeri tersebut.

Kedua, pertama kali dalam sejarah Malaysia, negeri Sabah dan Sarawak mempunyai wakil dalam Kabinet Persekutuan paling ramai, enam orang dari setiap negeri. Bagaimanapun, sentimen daripada Sarawak bahawa kebanyakan menteri dari negeri berkenaan tidak diberi portfolio penting.

Peranan MCA dan Gerakan tidak sama seperti peranan kedua-dua parti itu dalam Kerajaan Persekutuan sebelum PRU-13. MCA diberi satu kementerian iaitu Kementerian Pengangkutan, sementara dua lagi menteri, 1 MCA dan 1 Gerakan, adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam bahasa Dayak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (atau menteri tanpa portfolio) atau diterjemahkan sebagai 'Menteri nadai batang kerja' (atau menteri tiada kerja).

Sebenarnya MCA dan Gerakan patut berdiri atas kaki sendiri, berdepan dengan masyarakat mereka sendiri tanpa ada sokongan di belakang oleh pemimpin lain. Mereka perlu tunjukkan usaha dan keikhlasan kepada masyarakat yang mereka wakili. Dengan cara itu sahaja masyarakat Cina akan menimbang untuk kembali menyokong atau tidak.

Bercakap tentang MCA dan Gerakan, perkara di atas secara langsung relevan untuk semua parti dalam BN yang kalah, termasuk UMNO yang sudah hilang separuh sokongan masyarakat Melayu. SUPP dari Sarawak juga dalam dilema yang sama. Seperti MCA, ia juga sudah tenggelam dan apakah mampu ditimbulkan kembali dengan separuh daripada pemimpin dan sokongan dalam SUPP sudah berpecah dan meninggalkan parti berkenaan. Bagaimana pula MIC? Parti ini juga sama. Cuma nasib MIC ialah wakil parti dikekalkan dalam Kabinet walaupun parti tersebut tidak berhak ke atas kedudukan itu kerana prestasi yang ditunjukkan juga kurang memberangsangkan. PROF. DR. JAYUM JAWAN: Utusan/Rencana/20140629

Tags: cina, politik
Subscribe

  • Bersuaralah

    Pada saat permintaan komunikasi yang telus di tempat kerja berada pada tahap premium, ramai yang masih tidak bersuara dan memberi pandangan yang…

  • Falsafah politik adalah ideologi?

    Ahli politik tak lagi cenderung soal falsafah, ideologi - Musa Hitam (7/3/2021) menjadi tajuk salah satu berita. Ahli falsafah politik…

  • Falsafah dan ideologi sudah mati?

    Ahli politik di negara ini tidak lagi memikirkan hal falsafah dan ideologi, sebaliknya mereka hanya mementingkan sokongan untuk kelansungan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments