kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Analisis Mingguan: Bisik-Bisik Awang Selamat

Nasihat yang betul


Titah ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah pada Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159 telah dua minggu dizahirkan tetapi ia meninggalkan kesan tersendiri dengan mendapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat akar umbi.

Atas sentimen tersebut, lebih-lebih lagi mahu mengambil kesempatan pada awal Ramadan ini, wajar rasanya sedutan daripada titah Sultan Nazrin dijadikan renungan. Kerana ungkapan yang begitu kuat nilainya, tidak perlu lagi Awang ulas panjang. Yang penting, falsafah, semangat dan pemikiran di sebalik titah itu boleh dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja terutama yang memikul amanah besar. Berikut ialah sedutannya:

"Akan beta jadikan pedoman kata-kata yang terkandung dalam ucapan wakil Siswazah Kehormat yang dizahirkan oleh paduka ayahanda beta, ketika masih seorang hakim, dikenali sebagai Yang Amat Mulia Raja Tan Sri Azlan Shah semasa dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Sains Malaysia pada 28 Jun 1980, yang antara lain memberikan peringatan;

"...sejarah telah menunjukkan bahawa takhta yang dialihkan dari istana ke muzium sejarah adalah hasil daripada salah nasihat yang diberi oleh penasihat-penasihat istana yang tidak bertanggungjawab kepada rakyat. Sebenarnya, penasihat-penasihat istana ini adalah terdiri daripada mereka yang mencari keuntungan jangka pendek bagi kepentingan diri mereka sendiri tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara.

"Apabila keadaan ini berlaku, maka lambat-laun rakyat akan memberontak dan takhta akan tergugat. Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis rahsia atau pegawai istana digaji untuk melindungi dan menjaga takhta, namun tidak satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Jika kehendak rakyat jelata itu dimakbulkan Allah, maka berpindahlah takhta dari istana ke muzium seni dan budaya.

"Beta amat insaf dengan kata-kata yang terkandung dalam sumpah jawatan yang beta telah zahirkan; ia adalah ikrar perjanjian beta dengan Allah SWT. Ia adalah amanah dan tanggungjawab amat berat; meletakkan beta dalam akauntabiliti baik di dunia, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan Tuhan Rabbuljalil pada hari kebangkitan di Mahsyar nanti.

"Beta mohon mendapat sebaik-baik nasihat dan panduan daripada ahli-ahli Dewan Negara untuk membolehkan beta menyempurnakan amanah dan tanggungjawab ini sebaik-baik mungkin. Sembah maklumkan kepada beta perkara yang benar, betapa pahit sekalipun dan betapa berat untuk lidah mengucapkannya.

"Setiap kebenaran wajib disembahkan dan jangan sama sekali dirahsiakan daripada pengetahuan beta. Jauhkan beta daripada cerita-cerita penglipur lara hingga mendorong beta untuk berkhayalan, lena dengan mimpi indah; sedangkan realiti yang berlaku di kalangan rakyat dan di dalam negeri sangat berlainan dengan apa yang diceritakan.

"Semoga ahli-ahli Dewan Negara akan membantu beta dengan segala keikhlasan dan kejujuran agar beta dapat menyempurnakan amanah dan tanggungjawab dengan adil lagi saksama.

Tebuslah malu

Awang mengambil pendirian untuk menyokong pelantikan lima pemimpin MCA dan seorang pemimpin Gerakan sebagai menteri dan timbalan menteri. Dengan kembalinya kedua-dua parti itu, ia lebih reflektif kepada Kabinet pelbagai kaum sebagaimana tradisi perkongsian kuasa yang dirintis Barisan Nasional (BN) sejak belum merdeka lagi.

Ternyata Perdana Menteri, Najib Tun Razak komited kepada semangat permuafakatan antara kaum biar apa pun cabarannya. Sebagai parti komponen, MCA dan Gerakan memang wajar diperkasakan untuk hadapi pilihan raya umum akan datang.

Selepas dimalukan, kedua-dua parti tersebut telah memberikan mesej jelas kepada masyarakat Cina apabila enggan menerima jawatan dalam kerajaan ekoran prestasi buruk semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 2013. Setakat ini, prestasi MCA masih hambar, tewas dalam Pilihan Raya Kecil Kajang sementara Gerakan dapat keyakinan baharu selepas menang di Teluk Intan.

Lebih setahun tiada penyertaan kedua-dua parti itu dalam kerajaan terutama Kabinet. Maka menjadi harapan dengan kembalinya MCA dan Gerakan, akan memberi dorongan kepada kedua-dua parti itu untuk menarik sokongan kaum Cina yang terikut rentak percaturan DAP pada 2013.

Salah satu cabaran MCA dan Gerakan ialah menerobos ke kawasan-kawasan majoriti pengundi Cina dan tidak lagi hanya bergantung kepada sokongan pengundi Melayu. Itulah ujian dalam menentukan kekuatan sebenar mereka. Persoalannya mampukah MCA dan Gerakan ketika majoriti kaum Cina belum menampakkan petunjuk untuk beralih menyokong BN.

Awang tidak mahu berharap tetapi menanti kedua-dua parti itu untuk memberi impak terutama dari segi khidmat kepada rakyat. Cuma janganlah mudah mengalah sebelum berjuang habis-habisan di bawah panji-panji BN. MCA khususnya, tentu punya maruah bagi menebus malu yang terpalit hingga hari ini.

Nasib Khalid ...

Awang kasihan dengan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang menghadapi ujian dan tekanan yang makin kuat dalam partinya sendiri iaitu PKR dan komponen pakatan pembangkang.

Bagaikan tidak percaya, seorang bergelar Menteri Besar boleh tewas kepada calon bukan pilihan, S. Manikavasagam bagi jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor. Awang seakan-akan terdorong untuk percaya seperti ada yang tidak kena. Mungkin benar cakap-cakap dalam PKR, memang ada gerakan tersusun untuk menjatuhkan Khalid.

Agak aneh, Khalid menang bagi kiraan undi pencalonan Kuala Selangor untuk jawatan Timbalan Presiden mengalahkan Azmin Ali tetapi tewas bagi jawatan Ketua Cabang sedangkan pengundi adalah sama. Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR boleh memberikan apa sahaja alasan tetapi ia dilihat tidak meyakinkan. Persoalannya bagaimana bekalan elektrik boleh terputus secara kebetulan di seluruh blok Tropicana ketika kiraan undi sedang dibuat.

Ini bukan kali pertama bekalan elektrik terputus menjadi isu dalam pemilihan PKR.

Kontroversi di cabang Kuala Selangor adalah antara tumpuan perhatian pemilihan PKR yang makin panas di seluruh negara kebekalangan ini. Tidak putus-putus berlaku insiden keganasan dan pergaduhan dalam pemilihan PKR. Malah pemilihan semula di banyak cabang turut menyaksikan tumbuk menumbuk dan baling kerusi sebagaimana di cabang Kuala Langat dan Kota Raja.

Musim pemilihan 2010 juga begitu senarionya. Masa berlalu tetapi tiada perubahan. Wajah hodoh PKR terus terserlah pada pemilihannya yang penuh dengan dakwaan penipuan, pergaduhan dan ketegangan. Makin ramai kecewa sehinggakan berlaku seorang ahli di cabang Ampang memfailkan saman di mahkamah. Di sebalik semua itu, pemimpin utama PKR masih belum tampil memohon maaf atas segala kelemahan dan kepincangan seolah-olah ia memang resam dan budaya parti itu.

Lebih menarik untuk diketahui selepas ini ialah nasib Khalid. Dengan kekalahan di cabang Kuala Selangor, kedudukan beliau sebagai Menteri Besar cukup tergugat. Ini adalah kesempatan terbaik bagi musuh-musuhnya dalam PKR meningkatkan tekanan supaya beliau berundur. Khalid juga sudah hampir pasti tidak dapat menyaingi Azmin yang kini mendahului dengan selesa bagi pemilihan jawatan Timbalan Presiden. Lebih memburukkan, pemimpin-pemimpin DAP antaranya Jeff Ooi dan Pas Selangor khususnya Khalid Abdul Samad mahukan seorang menteri besar baharu di negeri itu. Bersediakah Khalid menyerah kalah begitu sahaja atau bangkit mengejutkan semua?

LHDN dan tarian

Beberapa teman menarik perhatian Awang tentang klip video dalam Youtube bertajuk Happy Cyberjaya Pharell Williams - Happy Parody: http://youtu.be/RzyOb-Dd1g.

Dalam klip video yang dihasilkan oleh Yayasan Inovasi Malaysia, sekumpulan pengurusan kanan dan petugas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diketuai Ketua Pengarah menari-nari keriangan. Aksi mereka dirakamkan di lobi, ruang pejabat malah di tandas. Difahamkan, ia bertujuan meningkatkan semangat kerja dan keceriaan ketika bertugas. Awang sekadar tertanya-tanya apakah tanpa menari-nari, semangat kerja dan produktiviti tidak boleh dilonjakkan.

Tetapi jika itu yang diyakini oleh LHDN dan Yayasan Inovasi Malaysia, Awang tidak mahu membantah. Mana tahu, cara itu lebih berkesan. Harap-harap prestasi kutipan cukai akan naik mendadak (tanpa beri keistimewaan kepada bilionair), begitu juga khidmat cemerlang kepada orang ramai. Kita tunggu hasilnya nanti.

Ramadan dan jihad

Apa perkara paling mengganggu fikiran Awang dengan bermulanya puasa pada Ramadan kali ini?

Pertama, soal makan berlebih-lebihan dan pembaziran sehingga makanan berlimpah terutama pada majlis-majlis berbuka puasa.

Setiap kali Ramadan, itulah yang kita selalu saksikan. Walaupun kita di Malaysia diberi nikmat kemakmuran, janganlah sampai terlupa tentang kesederhanaan yang menjadi tuntutan Islam. Kedua, Awang mendapat tahu semalam, makin ramai orang muda Islam mahu ke Syria pada Ramadan ini untuk menyertai perjuangan bersenjata di sana atas nama jihad. Malah Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan penyertaan berpuluh-puluh rakyat Malaysia dalam perang saudara di Syria.

Nampaknya jihad terus disalah erti dan diambil dalam konteks yang merugikan. Awang setuju dengan Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman bahawa berjihad untuk ilmu dan ekonomi Islam di negara ini lebih menjadi keutamaan. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, "Penuhi terlebih dahulu tanggungjawab kepada ibu, bapa dan masyarakat sekeliling kita sebelum berjihad". Sudahkan kita sempurnakan jihad itu? Utusan/Rencana/20140629

Tags: lhdn, ramadhan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments