kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Benarkah etika sukan semakin dipinggirkan?

SUKAN boleh dibahagikan kepada dua kategori. Kategori pertama adalah sukan yang dipertandingkan, sementara yang lagi satu tidak dipertandingkan. Kebiasaannya sukan yang dipertandingkan akan melibatkan imbuhan piala, wang tunai atau cek dan barangan.

Bila sukan yang melibatkan pertandingan, ia sudah tentu menjadikan persaingan lebih sengit dalam kalangan peserta yang mengambil bahagian. Sudah menjadi norma apabila bertanding, para peserta atau pun pasukan akan cuba sedaya upaya untuk memenangi pertandingan yang disertai. Kalah menang dalam pertandingan itu adalah perkara biasa dan adat pertandingan.

Semangat untuk menang itu memang patut digalakkan dalam sukan. Pernah seorang jurulatih pasukan American football yang terkenal iaitu pasukan Green Bay Packers bernama, Paul ‘Bear’ Byrant menyatakan bahawa, ‘Kemenangan bukanlah segala-galanya, tetapi ia penting’.

Dalam dunia sukan sekarang kemenangan akan membawa impak dan perubahan yang besar pada seseorang atlet dan juga pasukan yang menang. Dari kehidupan yang serba kekurangan seseorang atlet yang berjaya itu akan dilimpahi dengan kemewahan seperti wang ringgit, tajaan yang bernilai ribuan ringgit, disanjung dan dikenali ramai. Sebelum itu tiada siapa yang kisah dan ambil peduli akan mereka.

Dalam buku Michael Jordan and the New Global Capitalism, ditulis oleh Walter Lafeber menceritakan seorang anak muda Amerika, bernama Max Perelman mengembara ke kawasan pedalaman China pada Januari 1977. Beliau terkandas dan bermalam dengan beberapa individu Tibet dan salah seorang daripadanya bertanya pada Max Perelman, “Apa yang dibuat oleh Michael Jordan? “Bagaimana individu Tibet tadi dapat mengetahui akan Michael Jordan tidak berapa jelas. Yang pasti kemasyhuran Michael Jordan itu sendiri dalam sukan bola keranjang dan dikenali serata dunia yang berkemungkinan besar individu Tibet tadi dapat mengenalinya.

Ramai sudah atlet yang terkenal dan berjaya yang asal usulnya dari keluarga yang sederhana dan miskin. Antaranya Micheal Jordan, Maradona, Wayne Rooney dan ramai lagi. Hidup mereka kini senang tidak seperti dulu kerana berjaya dalam bidang sukan masing-masing. Ada juga atlet pada mulanya kaya tetapi mereka lupa diri; suka minum arak, kaki perempuan dan berjudi. Akhirnya kehidupan mereka dihimpit segala macam kesukaran akibat tindakan mereka yang tidak menguntungkan.

Dua aspek penting yang selalu dikaitkan apabila atlet bertanding adalah semangat kesukanan dan semangat permainan. Semangat kesukanan lebih dikenali sebagai sportsmanship, manakala semangat permainan diberi nama gamesmanship. Yang perlu dan sentiasa ditekan kepada setiap atlet yang bertanding ialah sportsmanship dan bukan gamesmanship. Sebab itu kita kerap lihat terutama dalam kejohanan besar bolasepak seperti Piala Eropah dan Piala Dunia sebelum para pemain kedua-dua pasukan memasuki padang, yang akan mendahului ialah perarakan membawa bendera berwarna kuning tertera perkataan Fair Play. Para pemain juga dikehendaki bersalaman sebelum dan selepas tamat pertandingan.

Kita percaya ramai atlet atau ahli sukan apabila bertanding mengamalkan sikap sportsmanship yang menjadi teras dan penekanan dalam sesuatu sukan itu sendiri. Tetapi ada juga atlet yang terus mengenepikan akan falsafah sedemikian tetapi memilih amalan gamesmanship semata-mata ingin meraih kemenangan. Mungkin juga ia dilakukan secara sedar dan tidak sedar. Gamesmanship bermaksud ingin meraih kemenangan dengan apa cara sekali pun; ini termasuk melakukan kekasaran dan juga penipuan semasa bertanding semata-mata ingin meraih kemenangan.

Peristiwa Mike Tyson menggigit telinga Hollyfield semasa bertarung dalam satu kejohanan tinju dunia suatu ketika dahulu adalah sesuatu yang memalukan bukan sahaja kepada individu terbabit tetapi sukan itu sendiri. Yang terbaru Suarez, pemain sensasi Liverpool dan juga pasukan Uruguay dikatakan menggigit telinga Giorgio Chiellini, pemain Itali dalam kejohanan Piala Dunia 2014 yang sedang berlangsung. Yang lebih memalukan adalah mereka ialah atlet profesional dan sepatutnya tingkah laku mereka tidak sebegitu.

Banyak faktor boleh dikaitkan kenapa atlet berkelakuan sebegini. Mungkin atas desakan atlet itu sendiri yang ingin menang dengan apa cara sekali pun, atas arahan jurulatih, media memainkan peranan sebagai ‘batu api’ dan faktor-faktor lain.

Sebenarnya asas pertandingan adalah memberi peluang ribuan para penonton yang hadir untuk menikmati pertandingan pada hari itu tanpa suatu insiden yang memalukan berlaku. Etika kesukanan perlu dijaga dan dititik beratkan oleh setiap jurulatih dan juga pihak pengurusan. Peraturan yang jelas akan peranan yang harus dilakukan oleh setiap pemain dalam gelanggang mesti sampai kepada semua pemain dan sesiapa dalam kalangan pemain melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan, ia harus dikenakan tindakan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Isu mendidik ini harus bermula di peringkat sekolah lagi supaya sikap yang baik sebagai pemain dapat diterapkan secara berterusan. Ibu bapa juga harus memainkan peranan yang sama dalam mendidik anak-anak mereka yang berkecimpung dalam aktiviti sukan.

Kita percaya etika kesukanan itu penting dan tidak seharusnya dipandang remeh oleh semua pihak terbabit. Maka, usaha berterusan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan perlu diteruskan agar semangat sukan itu sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat. Kita tidak mahu masyarakat suatu hari nanti menjauhkan diri mereka dari menonton aktiviti sukan kerana merasa mual apa yang berlaku atas padang atau gelanggang dan merosotnya nilai etika atlet itu sendiri.

* HAMDAN AHMAD ialah bekas Pemangku Dekan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam Utusan/Rencana/20140630

Tags: etika, sukan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments