kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Nasib Khalid di hujung tanduk?

APAKAH dengan kekalahan mengejut Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di peringkat Cabang PKR Kuala Selangor beberapa hari lalu menjadi noktah pengakhiran kedudukan jawatan Menteri Besarnya?


Sudah beberapa kali percubaan untuk menyingkirkan Abdul Khalid sebelum ini namun masih gagal dan berjaya dipatahkannya. Tetapi dengan kekalahan mengejutnya di tangan bekas Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam yang diselangi dengan kejadian pelik ‘blackout’ (elektrik terputus) hampir dua jam semasa pengiraan undi, apakah kali ini Abdul Khalid masih terselamat atau ‘bungkus’?

Walaupun percubaan terakhir untuk menyingkirkan Abdul Khalid dipercayai dilakukan menerusi ‘Langkah Kajang’ dengan di saat-saat akhir Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menjadi calon kerana berdepan kes mahkamah, kekalahan di Cabang Kuala Selangor itu dilihat ‘platform terbaik’ seperti mana diinginkan oleh pihak-pihak dalam PKR untuk mengundurkan Abdul Khalid.

Kini, nasib beliau seolah-olah di hujung tanduk. Kata Anwar, kedudukan Abdul Khalid akan ditentukan oleh pimpinan tertinggi pembangkang melalui persetujuan ramai. Di satu sudut lain, kononnya tanpa persetujuan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempunyai hubungan baik dengan Menteri Besar itu, segala perancangan untuk menyingkirkan Abdul Khalid tidak akan berjaya.

Mungkin Abdul Hadi sendiri merasakan beliau layak menjadi kata pemutus dengan kedudukan jumlah kerusi Pas di Selangor lebih satu kerusi daripada PKR. Namun berdasarkan sentimen tahun lepas di kala pelbagai pihak mendesak Pas supaya tekad mengambil alih kerusi Menteri Besar daripada PKR, hasilnya - wakil-wakil rakyat Pas menampakkan diri terlalu defensif. Walaupun pada peringkat permulaan tampak begitu meyakinkan tetapi apabila ‘disergah’ dan ditambah dengan kurang pengalaman dan keintelektualan seperti mana Abdul Khalid, Pas melepaskan begitu sahaja peluang yang terhidang dalam membuktikan kewibawaannya.

Ini ditambah lagi dengan kegusaran parti berteraskan Islam itu untuk berdepan dengan satu lagi sekutu pakatan, DAP yang menjadi ‘mastermind’ di Selangor.

Sabtu lalu, Manikavasagam berjaya meraih 701 undi menewaskan Khalid yang mendapat 515 undi. Abdul Khalid bagaimanapun berjaya mendapatkan undi lebih banyak berbanding penyandang, Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden.

Pengundi Kuala Selangor memberikan Khalid 517 undi, Azmin 440 undi dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebanyak 50 undi.

Walaupun ada mengatakan Manikavasagam menang kerana beliau dilihat sebagai calon tertindas selepas digantung keahlian parti selama beberapa minggu ekoran beliau lantang bercakap tentang penentangan terhadap politik wang, namun isu ‘blackout’ semasa pengiraan undi tetap menjadi percakapan.

Abdul Khalid didakwa Manikavasagam sebagai seorang yang mengamalkan politik wang, walaupun dinafikan sekeras-kerasnya oleh Menteri Besar Selangor itu. Walau bagaimanapun, penggantungan keahlian Manickavasagam kemudiannya dibatalkan untuk membolehkan beliau kembali bertanding dan muncul pemenang menentang Abdul Khalid yang merupakan penyandang jawatan di cabang tersebut.

Sebenarnya, usaha menyingkirkan Abdul Khalid dikatakan dibuat sejak setahun dua ini. Beliau ditempelak kerana kononnya gagal menguruskan wang kerajaan negeri dengan baik. Pencapaian beliau pernah dibandingkan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Sebelum ini, Abdul Khalid pernah berbangga dengan lebihan kewangan yang diperoleh tetapi gagal dalam membelanjakannya dengan baik.

Abdul Khalid juga pernah ditempelak di hadapan orang ramai dalam forum Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Petaling Jaya, Selangor.

Tanpa mengambi kira perasaannya, Anwar dikatakan memuji Guan Eng yang disifatkannya berjaya membawa Pulau Pinang mencapai tahap prestasi terbaik.

“Saya puji Lim Guan Eng yang membawa Pulau Pinang pada tahap prestasi terbaik, bagaimanapun tidak kepada Khalid kerana sudah masanya Selangor tidak lagi berbangga dengan lebihan yang diperoleh", kata Anwar.

Tindakan Anwar mengkritik prestasi Abdul Khalid itu dilihat agak pelik kerana beliau sendiri ialah Penasihat Ekonomi kerajaan PKR Selangor.

Kelmarin, Abdul Khalid menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor sekalipun kalah dalam pertandingan Timbalan Presiden PKR.

Malah, tegas beliau, kekalahan dalam pertandingan tiga penjuru itu tidak relevan dengan jawatannya sekarang, kerana untuk menjadi seorang menteri besar, beliau hanya perlu menjadi ADUN Selangor.

“Bagaimana jika kalah sebagai ahli Parlimen, jadi tidak boleh menjadi menteri, itu okey. Tetapi jika kamu seorang ahli Parlimen, kamu akan kekal sebagai ahli Parlimen sehingga pilihan raya umum akan datang," katanya.

Sebelum ini Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Jaafar Sulaiman dilaporkan memberitahu beberapa pemimpin parti itu kini tidak lagi menyokong Abdul Khalid untuk terus menjadi Menteri Besar.

Kata Jaafar, sikap Abdul Khalid yang sering membuat keputusan bersendirian serta membelakangkan sekutu pakatan pembangkang membuatkan mereka menolak kepimpinannya kali ini.

Malah, Jaafar berkata, gaya urus tadbir Abdul Khalid yang masuk penggal kedua di negeri itu tidak berubah biarpun ditegur beberapa kali oleh pimpinan akar umbi PKR.

PKR dan DAP Selangor sering mengkritik Abdul Khalid kerana dilihat tidak serius mengendalikan isu-isu hangat di Selangor. Antaranya, masalah bekalan air, serta yang terbaharu, isu rampasan kitab Bible berbahasa Melayu dan Iban.

Namun sehingga petang semalam, Abdul Khalid tetap tidak berganjak dan muktamad dengan pendiriannya mahu mengekalkan kedudukan Menteri Besar. Pastinya Anwar sendiri pening kepala, sekali gus mungkin sedang memikirkan ‘strategi terbaharu’.   Zulkifli Jalil Utusan/Rencana/20140630

Tags: pkr, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments