kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Usah melatah tetapi bertindaklah

BUKANLAH sesuatu yang mengejutkan jika ada mana-mana agensi penguat kuasa ‘melompat’ apabila akhbar Mingguan Malaysia semalam mendedahkan kegiatan mesin judi haram yang semakin berleluasa dan berada pada tahap yang cukup luar biasa.

Ia mungkin kerana mereka merasakan sudah cukup dengan apa yang dilakukan bagi membanteras gejala itu khususnya melalui serbuan-serbuan ke atas premis-premis terlibat.

Penulis tidak menafikan kesungguhan ini dan menghargai segala perit payah yang dilakukan oleh agensi penguat kuasa bagi membanteras gejala itu tetapi apakah ia benar-benar berkesan?

Kalau benarlah serbuan dan operasi yang dilakukan memberi kesan positif kenapakah jumlah premis yang terlibat semakin bertambah? Kenapakah bermula dari bandar besar kini perjudian itu boleh menular pula ke bandar dan pekan-pekan kecil? Bagaimana pula di jeti nelayan pun boleh wujud permainan haram berkenaan?



KETUA Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob melihat sebahagian daripada mesin judi yang dirampas dalam beberapa operasi di sekitar daerah berkenaan pada April lalu.

Dan penulis juga mahu bertanya, kenapakah premis yang diserbu dan disahkan terlibat mengendalikan mesin judi haram masih lagi ‘berdiri teguh’ tanpa dilakukan penyitaan oleh pihak berkuasa?

Kenapakah premis mereka masih ada kemudahan bekalan air dan elektrik sedangkan mereka sudah melanggar undang-undang? Apa pula undang-undang yang digunakan oleh pengusaha mesin judi haram apabila mereka terlepas daripada tindakan apabila mengupah warga Bangladesh yang mempunyai permit bekerja di ladang untuk menjaga premis perniagaan di ladang? Malah kita juga mengetahui bagaimana sebuah premis yang baharu diserbu beroperasi semula selepas serbuan dilakukan?

Sebenarnya, terlalu banyak soalan yang boleh dilontarkan berhubung usaha membanteras gejala mesin judi haram ini. Tetapi sekarang bukanlah masa untuk mencari salah sesiapa atau menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya masa untuk bertindak dengan lebih berkesan lagi.

Janganlah membuang masa dengan berasa kecewa kerana seolah-olah segala usaha yang dilakukan selama ini tidak dihargai atau berasa bangga dengan statistik, tetapi soalnya sejauh manakah keberkesanan, itu yang lebih penting.

Penulis diberitahu, masalah mesin judi haram ini bukanlah perkara kecil malah boleh merosakkan bukan sahaja kehidupan rakyat dan masa depan negara. Ini bukan soal setakat meraih keuntungan dalam perniagaan tetapi juga memberi peluang kepada pihak lain untuk mengaut keuntungan jangka panjang.

Apa yang mengecewakan, ketagihan bermain mesin judi haram mengakibatkan pelbagai kesan buruk kepada masyarakat sehingga ada antara mereka yang sanggup berhutang dengan ah long dan ‘menggadaikan’ isteri apabila kalah berjudi.

Oleh itu janganlah melihat pembanterasan mesin judi haram ini satu perkara kecil atau dilakukan secara bermusim atau terasa hati apabila ia didedahkan oleh media. Sebaliknya pihak berkuasa perlu bersungguh-sungguh untuk menghapuskan sehingga ke akar umbi.

Jangan biarkan mana-mana pihak mengaut keuntungan dengan merosakkan rakyat negara ini dan lebih malang lagi jika ia berlaku disebabkan oleh kelemahan agensi penguat kuasa kita.

Satu sumber memberitahu penulis, Malaysia adalah negara yang mempunyai undang-undang membanteras judi dan dadah paling lengkap di dunia. Oleh itu jika ia digunakan sepenuhnya sudah pasti isu mesin judi haram ini mampu dihapuskan bak kata orang seperti ‘mengunyah kacang’ sahaja.

Tetapi malangnya ia tidak berlaku kerana agensi penguat kuasa kita tidak bersungguh-sungguh untuk melaksanakan peruntukan sedia ada. Akta Anti Penggubahan Wang Haram antara undang-undang yang boleh digunakan ke atas mana-mana pengusaha premis yang menjalankan mesin judi haram.

“Bagaimanapun undang-undang ini tidak digunakan, kalau setakat merampas peralatan komputer dan wang tunai ia tidak akan memberi kesan apa-apa kepada pengusaha. Sebab itulah pembanterasan perlu melibatkan operasi bersepadu semua agensi penguat kuasa termasuklah pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),’’ kata sumber itu.

Justeru kenapakah semua agensi berkenaan tidak boleh bergabung tenaga memikirkan perkara ini? Kenapakah perlu diharapkan kepada satu dua agensi sahaja untuk bertindak? Apa guna serbuan dibuat, jika perlanggaran undang-undang lain tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa terlibat?

Sama ada hendak diakui atau tidak, gejala mesin judi berada pada tahap serius. Di sesetengah kawasan bukannya berpuluh malah beratus-ratus. Sebagai penguat kuasa di satu-satu kawasan, tak kanlah mereka yang terlibat tidak mengetahui perkara itu. Oleh itu sudah sampai masanya, pembanterasan mesin judi haram bukan lagi dilakukan secara bermusim atau sekali sekala sebaliknya secara bersepadu seperti mana Kementerian Dalam Negeri (KDN) melancarkan Ops Cantas.

“Kalaulah dalam usaha membanteras kongsi gelap dan pendatang tanpa izin ia boleh dilakukan kenapakah untuk mesin judi haram tidak boleh dibuat? Saya yakin apabila operasi besar-besaran dilakukan sudah pasti gejala itu dapat dihapuskan,’’ katanya.

Bagaimanapun langkah pertama sebelum operasi itu dilakukan ialah memastikan semua anggota agensi penguat kuasa yang terlibat dibersihkan seorang demi seorang. Jangan ada ‘musuh dalam selimut’, ‘duri dalam daging’ atau mereka yang bersedia untuk makan duit haram dengan menyalurkan maklumat operasi kepada pengusaha atau sindiket.

‘Spesies’ yang sanggup mengkhianati amanah dan tanggungjawab yang diberikan serta bersedia menyara keluarga melalui rasuah tidak boleh dibiarkan berada dalam mana-mana agensi penguat kuasa. Jika tidak segala operasi tidak akan berjaya, ibarat sekadar merampas peralatan komputer tetapi cipnya entah ke mana, sedangkan cip itulah memainkan peranan penting bagi mesin judi haram.

Begitulah juga dengan anggota agensi penguat kuasa yang sanggup menjadi ‘hamba’ kepada pengusaha-pengusaha mesin judi haram ini, mereka perlu dibersihkan dahulu supaya usaha kerajaan tidak akan menjadi sia-sia.

Apa pun adalah diharapkan kerajaan khususnya KDN akan memandang serius masalah mesin judi haram yang semakin menular. Tindakan lebih bersepadu perlu dilakukan kerana masalah ini sudah berlanjutan sekian lama. Bayangkanlah ketika orang lain mengutip jutaan ringgit setiap bulan melalui kegiatan haram itu, ada orang Melayu yang terpaksa bergolok bergadai kerana ketagihan berjudi.

Justeru jangan biarkan ia membawa implikasi lebih besar kepada orang Melayu kerana mesin judi bukan sekadar soal berjudi, apakah itu pasti ada pihak yang tahu jawapannya.

Yang penting sekarang bukannya melatah tetapi bertindaklah demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara. Gunakanlah segala peruntukan undang-undang dalam usaha pembanterasan itu dan bukannya membiarkan ada pihak merasakan sudah ‘membeli’ undang-undang.



Zulkiflee Bakar: Utusan/Rencana/20140630
Tags: kdn
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments