kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jangan biar Pengerang mengerang

MINGGU lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Pengerang, kawasan di Johor yang dipilih untuk menjadi hab minyak dan gas negara.

Kunjungan itu adalah yang kedua bagi Perdana Menteri selepas pertama pada 2012.

Dalam ucapannya, beliau mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam membangunkan projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) supaya memastikan kawasan tersebut dapat direalisasikan dengan jayanya sebagai hab minyak dan gas negara.

Perdana Menteri mahu pihak berkenaan bekerjasama menjadikan Pengerang benar-benar muncul sebagai pusat minyak dan gas antara terpenting di dunia dan visi menjadikannya seperti Rotterdam (hab minyak dan gas terbesar dunia) menjadi realiti.

Kenyataan Najib jelas menunjukkan betapa penting dan hebatnya projek PIPC bukan sahaja kepada Johor, malah juga Malaysia.

Masakan tidak, PIPC yang kini sedang dalam pembinaan berpotensi menarik pelaburan dijangka mencecah lebih RM170 bilion dengan impak kepada Pendapatan Kasar Negara (GNI) mencecah RM48 bilion apabila siap kelak.

Projek mega dibangunkan di kawasan Pengerang yang terletak di sebelah hujung tenggara Johor di kawasan seluas lebih 8,000 hektar, bukan sahaja mampu menukar landskap industri minyak dan gas negara, malah di rantau ini.

Malah mampu mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan dan dilihat sebagai antara penyumbang penting untuk melonjakkan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan menjadi pemain penting dalam sektor berkaitan.

Jika dibandingkan keluasan pembangunan PIPC, nyata lebih besar daripada Putrajaya (4,528 hektar), saliran utama projek berkenaan pula sepanjang 72 kilometer (km), lebih jauh berbanding jarak antara Kuala Lumpur dan Seremban iaitu 68km.

Setakat ini, PIPC telah menerima komitmen pelaburan berjumlah RM98 bilion iaitu daripada Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) RM89 bilion dan syarikat kerjasama Kumpulan Dialog-Royal Vopak-State Secretary Incorporated (RM9 bilion).

Itu antara gambaran tentang projek PIPC itu yang nyata mampu memberi limpahan ekonomi yang sangat besar kepada negara.

Bagaimanapun, terdapat segelintir pihak yang tidak dapat melihat kepentingan PIPC sehingga ada yang sanggup 'berusaha' untuk melengah-lengahkan pembangunan projek berkenaan dengan menggunakan pelbagai cara.

Mereka gagal untuk memahami bahawa tindakan itu memberi ruang kepada pihak lain, khususnya Singapura yang tidak mempunyai sumber dan kawasan bagi membangunkan industri minyak dan gas mengambil kesempatan atas kelewatan projek PIPC itu.

Singapura yang tidak mempunyai setitik minyak kini merupakan hab terunggul dalam sektor perdagangan hasil minyak di Asia nyata tidak berpeluk tubuh dan sanggup melabur secara besar-besaran untuk industri itu yang berpusat di Jurong.

Indonesia juga tidak ketinggalan menerusi pelaburan di kawasan zon perdagangan bebas di Batam, tidak jauh dari Pengerang mengorak langkah dengan sebuah syarikat dari China bagi pembinaan terminal penyimpanan minyak terbesar di Asia Tenggara.

Pakatan pembangkang sebelum ini juga dengan lantang mengecam projek PIPC kerana mendakwa menjejaskan alam sekitar.

Ada juga kalangan pemimpin mereka yang membuat kenyataan mahu menamatkan 'riwayat' projek itu jika mereka memerintah.

Biarpun bantahan yang dibuat mereka sebelum ini sudah tidak didengari secara lantang, namun masih ada segelintir daripada mereka yang bergerak atas nama badan bukan kerajaan (NGO) terus 'mengganggu' kelancaran projek berkenaan.

Tidak kurang juga dengan tindakan sebahagian penduduk di kawasan terlibat yang menunjukkan pelbagai macam ragam terutama dalam proses pemindahan kubur bukan Islam yang sudah memakan masa agak lama. Itu semua boleh melengahkan projek PIPC.

Pemindahan kubur itu sepatutnya tidak dijadikan isu kerana pihak bertanggungjawab iaitu Johor Petroleum Development Corporation (JPDC) sudah pun menyediakan apa yang perlu bagi memudahkan proses tersebut.

Malah, JPDC turut memanggil seorang pakar Feng Shui untuk mencari lokasi baharu yang sesuai dan dilengkapi kemudahan serta kedudukan yang terbaik mengikut fahaman masyarakat terlibat dan proses tersebut masih giat dijalankan.

Bukan itu sahaja, semua penduduk di Pengerang yang terlibat dalam proses pemindahan juga sudah disediakan pampasan sewajarnya termasuk menyediakan kawasan kediaman baharu yang cantik dan selesa serta kemudahan lain.

Penduduk di situ khususnya dan rakyat amnya perlu faham bahawa Pengerang ini bukan dipilih secara suka-suka tetapi kerana kesesuaian semula jadi untuk menjadikan kawasan itu sebagai hab minyak dan gas negara yang dinamik.

Pengerang dipilih kerana mempunyai kawasan yang luas, mempunyai kedalaman air 24 meter yang membolehkan kapal angkut minyak mentah terbesar (VLCC) melaluinya dan paling penting kedudukannya terletak di laluan dagangan utama minyak dan gas.

Sehubungan itu, bagi segelintir penduduk terlibat yang masih degil, janganlah membiarkan tindakan sesetengah pihak yang sengaja mahu mensabotaj projek itu mempengaruhi anda kerana tempias PIPC akan dapat dirasai penduduk setempat.

Tempiasnya bukan kepada syarikat minyak dan gas semata-mata, namun banyak lagi impak ekonomi dari bidang lain yang boleh diperoleh serta diceburi penduduk setempat, sekali gus dapat membantu menjana pendapatan pada masa akan datang.

Biar apa jua cabaran yang dihadapi dalam merealisasikan PIPC itu, Ketua Eksekutif JPDC, Mohd. Yazid Jaafar optimis projek tersebut akan terus mengorak langkah, sekali gus memastikan kelebihan yang ada di Pengerang digunakan sebaiknya.

Beliau tidak menafikan pada peringkat permulaan pembangunan PIPC menghadapi pelbagai halangan, namun pihaknya sedang berusaha sebaik mungkin dari segenap aspek bagi melihat projek yang semakin rancak dibangunkan itu berjaya dilaksanakan.

Justeru, semua pihak terlibat perlu bekerjasama dalam menjayakan projek mega yang mampu melonjakkan lagi nama Malaysia dalam sektor minyak dan gas di mata dunia, sekali gus memastikan Pengerang tidak mengerang kesakitan dan menjadi satu projek sakit.



NURUL HUDA HASSAN huda.hassan@utusan.com.my Utusan/Rencana/20140701
Tags: ekonomi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments