kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bukan semua yang baik datangnya dari negara orang

KEHANGATAN Piala Dunia FIFA 2014 semakin membahang selepas memasuki pusingan kedua atau pun perlawanan kalah mati.

Dalam perlawanan pertama pusingan ini, tuan rumah Brazil sudah pun menghantar pulang pasukan Chile manakala Colombia menyingkirkan Uruguay.

Menariknya pada perlawanan di antara Belanda dan Mexico kelmarin, stadium Castelao di Fortaleza betul-betul membahang dengan cuaca panas sehingga mendorong pengadil memberikan masa 'cooling time' untuk menyejukkan badan selama tiga minit walaupun baru setengah jam permainan.

Lalu para pemain Belanda dan Mexico pun ke tepi padang meneguk air, membasahkan muka dan meletakkan tuala basah di badan.

Pada pukul 1 tengah hari semalam, suhu di Sao Paolo dan Rio de Janeiro direkodkan pada 23 darjah Celsius, musim panas yang masih terlalu sejuk jika dibandingkan dengan kita di Malaysia. Semalam, Kuala Lumpur merekodkan suhu 34 darjah Celsius.

Pada 2022, Piala Dunia FIFA akan berlangsung di Qatar. Semalam, suhu di negara Asia Barat itu dicatatkan 45 darjah Celsius. Hampir dua kali ganda kepanasan di Brazil.

Bayangkan agak-agaknya berapa kali 'cooling time' perlu diberikan untuk satu-satu perlawanan di negara padang pasir itu? Mungkinkah perlawanan perlu dilangsungkan dalam stadium yang dilengkapi penyejuk hawa atau diadakan sahaja pada waktu malam.

Yang pasti penganjuran piala dunia bukan calang-calang persediaan dari segi tenaga dan wang ringgit.

Adakah Malaysia sudah bersedia menjadi tuan rumah? Jawapan penulis belum masanya. Dalam hal ini kita perlu ukur baju di badan sendiri, akur bahawa kita bukan sahaja tidak ada tenaga (sebagai pasukan bola sepak yang mampu layak ke pusingan akhir) bahkan tidak cukup wang ringgit untuk menyediakan beberapa stadium bertaraf Olimpik, yang bukan setakat besar namun serba-serbi canggih.

Penulis juga tidak yakin kita sanggup meminda undang-undang seperti Brazil, hanya untuk membolehkan arak dibawa masuk ke dalam stadium kerana mendengar kata penaja.

Dalam hal berkaitan Piala Dunia FIFA, memang negara lain lebih terkehadapan daripada negara kita.

Sebagai negara yang masih muda - baru berusia 57 tahun - masih banyak keperluan pembangunan asas yang hendak dan patut didahulukan.

Pembangunan modal insan termasuk pemain bola sepak yang mampu menyarung jersi kebangsaan dan membawa pasukan negara layak ke piala dunia, patut lebih dahulu jadi keutamaan dan tumpuan.

Tidak ada gunanya hanya gah sebagai penganjur tetapi orang lain yang menaiki pentas dan dijulang sebagai pemenang.

Ramai mengkritik sistem pendidikan kita gagal melahirkan individu yang menyerlah kecemerlangannya selain dalam bidang akademik. Kita ketinggalan dalam bidang teknologi, sukan mahupun seni dan hiburan.

Menyedari hakikat ini kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan memperkenalkan kaedah baharu menilai pelbagai potensi pelajar.

Penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan mulai April lalu, cuba membuang imej sistem pendidikan yang didakwa hanya berorientasi peperiksaan. Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai semalam juga cuba mengurangkan beban pelajar yang tidak habis-habis stres memikirkan tentang peperiksaan.

Baru sahaja selesai Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan melangkah ke sekolah menengah, sudah kena memikirkan pasal PMR. Baru habis PMR, sudah sibuk pula bersedia untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kalau gagal memasuki kolej atau universiti dan terpaksa meneruskan pelajaran di Tingkatan 6, kena pula pulun belajar untuk menghadapi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Ibu bapa turut stres dan terbeban sebab mahu memastikan anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang dalam semua peperiksaan besar itu.

Guru-guru dan pentadbir sekolah turut stres kerana mahu menjamin peratusan lulus kekal tinggi dan tergolong kategori cemerlang.

Mengambil kira tekanan atau stres serta beban yang dihadapi semua, sistem pentaksiran baharu sekolah ini diperkenalkan.

Kita tidak mahu lagi pelajar kita dikatakan hanya tahu menghafal jawapan kepada soalan peperiksaan. Kita mahu mereka mampu menghurai dan menjelaskan sesuatu keadaan menggunakan daya intelek atau otak yang cerdas.

Pelajar akan ditaksir pencapaian mereka bukan sahaja dari segi akademik tetapi potensi-potensi lain misalnya kecenderungan dalam bidang sukan, seni, sastera, teknikal, kemahiran dan sebagainya.

Tujuannya bukan mahu melahirkan pelajar yang serba boleh dalam semua bidang tetapi yang menguasai satu-satu bidang yang sudah dikenal pasti mereka mempunyai potensi, kebolehan dan minat untuk digilap dan dikembangkan.

Dasar dan konsepnya disediakan setelah mengambil kira permintaan masyarakat dan pandangan pelbagai pihak yang sebelum ini mahukan penambahbaikan kepada sistem yang diamalkan selama ini.

Nama pun baharu, pasti ada kekurangan di sini sana. Namun tidak bermakna ia tidak bagus. Sebagaimana barang baru, ia perlu diuji terlebih dahulu untuk mengetahui keberkesanannya.

Jadi berilah sokongan. jangan mudah mengkritik dan cepat mengatakan tidak kepada sistem yang baru sahaja diperkenalkan ini kalau betul-betul mahu menyaksikan perubahan sistem pendidikan kita ke arah yang lebih baik.

Mana tahu ketika pengundian tuan rumah Piala Dunia FIFA selepas 2020, hasil pelaksanaan PBS, yang berjaya menyerlahkan potensi pelajar, kita berjaya membariskan pemain bola sepak negara yang layak bermain di atas padang yang sama dengan pasukan hebat dunia seperti Brazil, Belanda dan Argentina.

Atau setidak-tidaknya kita sudah mampu menjadi penganjur atau tuan rumah dengan rakyat kita sendiri yang mencipta inovasi untuk menyejukkan udara atmosfera di stadium sepanjang masa tanpa perlu pengadil memberikan 'cooling time'. Siapa tahu?

Coretan Marhaen: Utusan/Rencana/20140701
Tags: bolasepak, pbs
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments