kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Datang ke JKM, jangan dengar cakap orang

SAYA tertarik dengan artikel "Semua orang salah, kecuali diri sendiri" yang ditulis oleh wartawan Utusan Malaysia, Fauziah Arof dalam ruangan rencana baru-baru ini.

Dalam artikel itu, Fauziah menyentuh tentang sikap masyarakat kita yang hanya tahu menyalahkan orang lain ketika memberi respon terutamanya dalam laman media sosial berhubung kes remaja Orang Kurang Upaya (OKU), Adik Muhammad Firdaus Dullah, 15 tahun. Saya setuju dengan kenyataan wartawan berkenaan. Ada benarnya.

Adik Muhammad Firdaus menjadi perhatian dan bualan ramai kerana ditemui dalam keadaan yang begitu daif, kurus kering kotor dan berbau dalam sebuah bilik Rumah Pangsa, Nilai Negeri Sembilan yang di keliling najis serta sampah baru-baru ini.

Sejak kes ini timbul, ramai memberi komen pedas kerana terkejut dan simpati terhadap apa yang menimpa remaja malang itu. Komen tersebut banyak ditujukan kepada ibu remaja itu yang dianggap gagal dan mengabaikan tanggungjawabnya dalam soal menjaga anak.

Tetapi ada juga pihak yang menyebelahi ibu berkenaan kerana simpati akan kesempitan hidupnya.

Saya sendiri telah memberi respon terhadap kes ini dalam laman sosial tetapi lebih kepada mempersoalkan tindak tanduk ibu Firdaus setelah membaca kenyataannya di media cetak yang seolah-olah tidak mengetahui tentang kewujudan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan cara memohon bantuan.

Selepas kenyataan ibu itu dibuat, ramai yang juga memberi respon negatif terhadap bantuan OKU yang disediakan oleh JKM dan menyatakan kepayahan mereka berurusan dengan JKM.

Walau apa pun respon atau komen orang ramai tentang isu ini yang paling penting ialah tindakan pantas yang dilakukan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim telah meminta JKM untuk memberi perlindungan segera terhadap Firdaus. Alhamdulillah ketika artikel ini ditulis keadaan adik Firdaus semakin pulih.

Berbalik kepada isu ini tujuan saya menulis artikel ini bukanlah untuk mempersoalkan lagi tentang komen mereka tentang isu Firdaus ini. Sebaliknya ingin memberi penerangan tentang jenis bantuan OKU yang disediakan oleh JKM.

Sebenarnya, skim bantuan yang diberikan kepada OKU banyak dan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu elaun pekerja cacat (EPC), bantuan penjagaan OKU terlantar / pesakit kronik terlantar (BPT), bantuan OKU tidak berupaya bekerja (BTB), bantuan OKU tidak berupaya bekerja (BTB) dan geran pelancaran (GP).

Elaun pekerja cacat diberikan RM300 sebulan seorang sebagai insentif untuk menggalakkan OKU bekerja, hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif dan meningkatkan taraf hidup OKU di dalam masyarakat. Antara syarat kelayakan khusus adalah:

* Perlu berdaftar dengan JKM;

* Berpendapatan bulanan pemohon tidak melebihi RM 1,200 sebulan tidak termasuk pendapatan keluarga;

* Berumur 16 tahun ke atas;

* Tidak tinggal di institusi yang telah disediakan kemudahan tempat tinggal, makan/minum dan pakaian percuma; dan

* Pemohon mestilah menyertakan slip gaji/surat pengesahan pendapatan daripada majikan/surat pengesahan pendapatan daripada pemohon sendiri bagi yang bekerja sendiri.

Bantuan penjagaan OKU terlantar / pesakit kronik terlantar pula diberikan RM300 sebulan seorang bertujuan membantu meringankan bebanan perbelanjaan penjagaan yang dihadapi oleh keluarga penjaga serta menggalakkan penjagaan yang sempurna kepada kumpulan sasar OKU dan pesakit kronik terlantar.

Antara syarat kelayakan khusus ialah:

* Pemohon adalah peniaga yang merupakan ahli keluarga OKU / pesakit kronik terlantar;

* Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia;

* Sedang memberi jagaan kepada ahli keluarga yang OKU/ pesakit kronik terlantar sepenuh masa;

* Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM 3,000 sebulan; dan

* Keluarga yang berkeperluan dan tidak berkemampuan.

Bantuan OKU tidak berupaya bekerja pula diberikan sebanyak RM150 sebulan.

Antara syarat kelulusan khusus bantuan ialah:

* Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia;

* Sumber pendapatan individu tidak melebihi PGK semasa. Sumber pendapatan adalah merujuk kepada semua sumber pendapatan yang diterima oleh individu termasuk pencen Ilat, pencen terbitan, pencen bulanan, Perkeso, bantuan bulanan, insurans dan lain-lain.

* OKU perlulah berdaftar dengan JKM;

* Disahkan oleh pegawai perubatan bagi kes-kes yang meragukan; dan

* Bukan penerima skim bantuan bulanan JKM sedia ada;

* Bukan peserta program pemulihan dalam komuniti kelolaan JKM dan program penjagaan /pemulihan kelolaan agensi kerajaan dan NGO Kebajikan; dan

* Bagi keluarga yang menerima bantuan bulanan termasuk bantuan penjagaan OKU terlantar yang berpendapatan di bawah PGK semasa, bantuan ini boleh dipertimbangkan kepada pemohon.

Segala permohonan bagi mendaftar sebagai OKU boleh dibuat di mana-mana pejabat kebajikan daerah, jajahan dan bahagian dengan mengisi borang yang disediakan. Borang juga boleh dimuat turun melalui laman sesawang JKM iaitu www.jkm.gov.my.

Saya harap masyarakat yang mempunyai sebarang kemusykilan berkaitan apa-apa jenis permohonan skim bantuan boleh terus ke pejabat JKM yang terdapat di semua negeri dan daerah atau boleh lawati laman sesawang JKM di www.jkm.gov.my atau juga boleh menghubungi talian Nur 15999.

Ingin saya tekankan bahawa, banyak lagi yang kerajaan sediakan untuk membantu OKU. Bagi pasangan ibu bapa yang ingin memberi rawatan pemulihan kepada anak OKU tetapi tidak mampu, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan tersebut Pusat Dalam Komuniti (PDK).

Antara aktiviti di PDK yang boleh dinikmati bagi membantu proses pemulihan anak OKU ialah sesi fisioterapi, senaman pagi, latihan sukan paralimpik, kemahiran moto kasar dan moto halus, terapi muzik, terapi air, pengurusan diri, pra-menulis, membaca, mengira dan melukis.

Bukan itu sahaja, malah mengikut surat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 30 Ogos 2004 mengenai waktu bekerja bagi pegawai perkhidmatan awam yang mempunyai anak-anak kurang upaya ada menyatakan bahawa pegawai perkhidmatan awam yang mempunyai anak kurang upaya dibenarkan menggunakan waktu bekerja biasa sebagaimana yang sekarang diamalkan untuk menguruskan kebajikan dan keperluan anak mereka.

Maka kepada orang ramai di luar sana, janganlah membuat kenyataan atau komen tanpa usul periksa sama ada melalui media sosial atau saluran media lain tentang sesuatu isu. Jangan membuat komen berdasarkan komen orang lain atau mendengar cakap orang tanpa usul periksa.

Dalam kes ini, tanyalah JKM untuk mendapatkan maklumat tepat. Saya percaya JKM akan memberi bantuan. Pada masa sama, JKM sedia menerima teguran atau kritikan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Shahren Yusri ialah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. Utusan/Rencana/20140701

Tags: oku
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments