kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

PBS sistem terbaik nilai prestasi pelajar

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) adalah sistem yang terbaik kerana kaedah penilaian prestasi pelajar lebih menyeluruh serta tidak lagi dibuat berdasarkan akademik semata-mata.

Selain itu, sistem berkenaan juga dilihat lebih adil kerana tidak meminggirkan kebolehan pelajar dalam bidang lain.

Ini sekali gus memberi lebih peluang kepada pelajar menonjolkan kebolehan masing-masing termasuk aspek kecerdasan dan psikometrik.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berpendapat sistem pendidikan terdahulu banyak meminggirkan kebolehan pelajar dalam bidang lain yang sepatutnya perlu diberi penilaian.

Bangun modal insan

Beliau berkata, badan bukan kerajaan (NGO) dalam bidang pendidikan berpendapat sistem terdahulu tidak selaras dengan maksud pendidikan itu sendiri yang mahu membangunkan modal insan sehingga peringkat tertinggi.

“Berikutan itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Disember 2010 bersetuju supaya PBS dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program transformasi pendidikan,” katanya ketika di hubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Alimuddin yang juga Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad berkata, usaha untuk melaksanakan PBS sudah mula dilaksanakan sejak dilantik Ketua Pengarah Pelajaran.

Beliau berkata, kelebihan sistem PBS ialah pelajar akan mendapat perhatian lebih daripada guru kerana mereka dinilai sepanjang tahun, sekali gus dapat memperbaiki kelemahan masing-masing.

Mengenai ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), beliau berkata, sistem pentaksiran baharu itu mempunyai kelebihan berbanding Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ini kerana, katanya, kaedah penilaian prestasi akademik pelajar tidak lagi dibuat ke atas kertas jawapan yang dihantar mereka di dalam dewan peperiksaan semata-mata.

“Sekiranya pelajar yang menduduki peperiksaan tidak sihat, ia pasti akan menjejaskan tumpuan menjawab soalan sekali gus memberi kesan terhadap markah mereka.

Penilaian sepanjang tahun

“Namun, jika situasi itu berlaku ketika pelaksanaan PBS, mereka masih mempunyai kelebihan kerana pelajar dinilai sepanjang tahun,” katanya.

Sementara itu, tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad, berkata PT3 melengkapkan kaedah penilaian untuk melahirkan pelajar inovatif dan kreatif, menggabungkan pengetahuan dan kuasa fikir diperlukan bagi mencapai objektif terbabit.

Beliau berkata, jika sebelum ini peperiksaan tidak ada kuasa fikir, maka kita perlukan kedua-dua pihak berperanan.

Maka katanya, Kementerian Pendidikan menyediakan peperiksaan manakala bahagian kuasa fikir atau subjektif ditentukan oleh sekolah.

“Saya lihat pembaharuan ini sangat baik dan selaras dengan perubahan sistem sedia ada kerana PT3 mampu melonjakkan pendidikan bertaraf dunia, katanya.

Beliau berkata, guru memainkan peranan yang amat besar dan pastinya dilatih secukupnya untuk memahami, menilai dan memberi markah kepada elemen kuasa fikir itu.

“Saya berpendapat perlu ada satu badan yang menyelaraskan peranan guru di sekolah bagi memastikan PT3 mencapai matlamat ini.

“Lembaga Peperiksaan (LP) mesti melantik individu yang menyelaras guru-guru supaya mereka memberi markah yang betul dan tidak berat sebelah,” katanya.


pt3 005
Sumber: Harian Metro Setempat Selasa, 1 Jul 2014 Muka Surat 9
Berita Harian Nasional 2014/07/01 - 05:50:25 AM
Tags: pbs
Subscribe

  • Orang tua sumber ilmu

    1 Oktober telah dipilih oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai Hari Orang Tua (Orang Lama) Sedunia. Menurut statistik penuaan penduduk…

  • Tradisi ilmu negara maju

    MASIH belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah kepada calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 yang memperoleh keputusan…

  • Menagih kejayaan sukan, Kanak-kanak dan keceriaan negara

    DUA tiga minggu ini kita di­hidangkan dengan be­ri­ta sensasi kejayaan be­berapa atlet negara dan juga atlet dan pasukan dari luar…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments