kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

PBS, PT3 asuh pelajar berbincang, berfikir lebih kreatif

Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) adalah satu daripada komponen di bawah PBS yang diperkenalkan untuk menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai salah satu usaha kerajaan memansuhkan sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan.

Menerusi PT3, kreativiti para pelajar akan dapat dikembangkan melalui penilaian berterusan di sekolah berbanding dengan sistem peperiksaan sebelum ini.

Dalam wawancara Wartawan Utusan Malaysia, FITRI AFFENDI MUSTAFA bersama tokoh pendidikan, TAN SRI DR. ABDUL RAHMAN ARSHAD (gambar), beliau yakin sistem baharu itu dapat meningkatkan tahap berfikir dan kreativiti para pelajar di negara ini.

UTUSAN: Kenapa perlu perkenal PBS? Ada mana-mana negara yang sudah melaksanakan PBS dan bukan peperiksaan bersepadu seperti sebelum ini?

ABDUL RAHMAN: PBS merupakan satu langkah yang baik oleh kerajaan kerana cara peperiksaan sebelum ini pelajar-pelajar hanya dibekalkan dengan pensel untuk menjawab soalan. Jika negara kita mahu melahirkan masyarakat yang kreatif, kita perlu mengubah minda pelajar-pelajar dengan menerapkan nilai perbincangan serta berfikir dan bukan hanya sekadar meneka jawapan sahaja.

Kita jangan hanya mengambil kira mengenai kurikulum semata-mata tetapi juga dalam aspek kokurikulum. Jika kita hendak melahirkan masyarakat pemikir dan kreatif, kerajaan perlu menggalakkan para pelajar untuk berbincang dan perkara ini hanya boleh dilakukan di sekolah. Kita mahu para pelajar dapat berbincang dengan para penilai serta tidak mahu pelajar-pelajar yang hanya menjawab soalan seperti sistem sebelum ini. Jadi, kita mesti mengubah minda pelajar-pelajar supaya lebih berfikir. Sebenarnya sistem seperti ini (PBS) sudah banyak dilaksanakan di negara lain. Malah, ini juga bukan perkara baharu di seluruh negara kerana sebelum ini juga sudah ada ujian bulanan dan tahunan dijalankan.

Sistem pendidikan kita sering dikritik kononnya tidak cukup bagus berbanding negara jiran, Singapura dan Indonesia dalam melahirkan pelajar yang berfikiran kritis. Adakah PBS jawapannya?

Ya. Melalui PBS dapat melahirkan para pelajar yang berfikir, proaktif dan kreatif disebabkan dahulu pelajar-pelajar kurang berfikir apabila mereka lebih banyak meneka jawapan. Mereka hanya perlu menanda jawapan peperiksaan yang dilihat tidak menggalakkan mereka berfikir. Sebagai contoh, dalam PBS ini, akan menggalakkan para pelajar untuk berbincang. Jadi, jika hendak berbincang mereka perlu ada ilmu pengetahuan dan nak dapat pengetahuan itu pula mereka perlu mencarinya. Jadi, PBS mempunyai semua perkara itu.

Apakah kebaikan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)?

Pelajar-pelajar harus diuji setiap waktu. Ini kerana pengetahuan pelajar semakin bertambah dan mereka perlu mendapat pengetahuan yang sesuai pada setiap waktu dan bukan hanya di peringkat tingkatan tiga.

Oleh itu, melalui PT3, guru-guru dapat menilai pelajar sejak awal. Sebagai contoh, pelajar yang baik, kita dapat tingkatkan lagi prestasi mereka. Sementara yang kurang baik kita boleh bantu mereka. Jika tiada penilaian sejak awal, kita tidak akan tahu yang mana pelajar baik dan kurang baik. Guru-guru pula sentiasa mengajar tetapi kita tidak tahu sejauh mana kebolehan para pelajar. Melalui penilaian ini (PT3), guru-guru akan dapat tahu kelebihan serta kekurangan pelajar-pelajar agar kita dapat memajukan pelajar supaya lebih baik serta membimbing mereka yang kurang baik.

Mengapa perlu diwujudkan PT3?

Objektif kerajaan adalah untuk melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif. Jika kita mahukan ini, kita mesti mencipta sesuatu yang baharu. Kita tidak boleh mencipta sesuatu perkara baharu jika pelajar tidak boleh berfikir. Hendak berfikir mesti ada perbincangan dan kajian dan ini perubahan yang sedang dilakukan. Kita mahu melahirkan masyarakat yang kreatif dan perkara itu tidak akan berlaku jika mereka tidak boleh berfikir. Sekolah membekalkan ilmu pengetahuan, tetapi kejayaan kita ialah dengan menggalakkan para pelajar untuk berfikir dengan mengadakan perbincangan.

Apa kelebihan PT3 berbanding PMR sebelum ini?

PMR banyak menumpukan peperiksaan apabila para pelajar hanya memilih jawapan betul atau tidak betul dengan pilihan yang diberikan. Sementara PT3, kita mahu menggalakkan pelajar-pelajar untuk berbincang dan berfikir. PMR, mereka hanya tanda jawapan yang betul. Dalam PT3, mereka akan berbincang dan menilai sesuatu tajuk. Perkara ini dapat menilai tahap kebolehan pemikiran para pelajar.

Apakah kelebihan PT3 dalam membentuk sahsiah pelajar?

PT3 bukan sahaja berkesan dalam meningkatkan kemahiran akademik pelajar, malah sistem ini juga memberi nilai tambah kepada bidang kokurikulum mereka sebagai perimbangan yang sempurna.

Sistem ini juga membantu jati diri dan sikap mereka secara keseluruhan. Kesimpulannya, PT3 bersikap holistik dalam memanfaatkan golongan pelajar di negara ini.

Melalui penilaian ini (PT3), guru-guru akan dapat tahu kelebihan serta kekurangan pelajar-pelajar agar kita dapat memajukan pelajar supaya lebih baik serta membimbing mereka yang kurang baik.

Bagaimana PT3 dapat membantu guru-guru menilai potensi para pelajar?

PT3 dapat memberi peluang kepada guru-guru untuk menilai potensi sebenar para pelajar mereka melalui penilaian yang dijalankan secara berterusan di sekolah.

Daripada situ, guru-guru dapat membantu meningkatkan tahap pencapaian akademik para pelajar mereka yang lemah sejak awal melalui sistem penilaian yang dijalankan secara berterusan. Perkara ini bermakna, guru-guru akan dapat mengesan potensi dan kekurangan yang terdapat dalam para pelajar mereka.   Utusan/Pendidikan/20140701

Tags: pbs, pentaksiran
Subscribe

  • Reflection of current leaders

    The dramas played by the policy-maker of our country has now becoming absurdly ridiculous. Of late, Malaysians are in need of someone or…

  • March 2020 is not Ides of March

    History had made a mark in Malaysia as in March 2020, the country’s eighth prime minister took over as prime minister in order to “save…

  • Reflection of our current leaders

    I refer to ' Time to reflect on what is important' dated 3 Mar 2020. The dramas played by the policy-maker of our country has now becoming…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments