kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

PBS serlahkan potensi sebenar pelajar

SEPERTI dasar-dasar pembangunan lainnya, sistem pendidikan negara juga berdepan proses pembaharuan dinamik. Malah, pembaharuan itu menjadi lebih kritikal bagi sistem pendidikan negara yang merupakan instrumen utama melahirkan generasi masa depan berkualiti. Program Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang mula dilaksanakan bulan April lalu misalnya menjadi bukti yang sistem pendidikan negara tidak bersifat statik. Namun lumrah dalam mana-mana pembaharuan yang mahu diperkenalkan, apatah lagi membabitkan dasar penting seperti sistem pendidikan, pastinya berdepan pelbagai isu, tidak terkecuali PBS.

Menjawab segala permasalahan itu, Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Anuar Ahmad (gambar) berpendapat, sistem tersebut tidak sepatutnya dihukum sebelum dilaksanakan. Kepada Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL, beliau berkongsi pandangan dari pelbagai sudut berhubung pelaksanaan sistem tersebut.

UTUSAN: Adakah pelaksanaan PBS tepat dan kena pada masanya?

PROF. ANUAR: Salah satu tujuan utama pendidikan ialah membangunkan negara dan masyarakat. Kita harus faham semua negara maju mempunyai dua ciri utama penilaian dalam sistem pendidikan mereka. Pertama, penilaian mereka bersifat holistik, berteraskan pembangunan insan dan secara berterusan sepanjang sesi persekolahan. Kedua, guru sekolah telah diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan penilaian. Sistem penilaian berpusat sudah tidak sesuai jika kita ingin melihat progress pendidikan individu. Penilaian berpusat lebih sesuai untuk menilai kemampuan pencapaian pelajar pada peringkat akhir sahaja.

Malaysia ingin segera mencapai tahap negara maju, maka sistem penilaian kita juga harus memenuhi keperluan-keperluan ini. Maka saya setuju adalah sangat penting untuk Malaysia melaksanakan PBS dan PT3. Kita harus keluar daripada kelaziman menilai keupayaan pelajar sebagaimana dahulu. Kita bukan hanya perlu menilai apa yang pelajar hafal dan faham, tetapi juga mesti menilai apa yang pelajar boleh rumuskan, aplikasi dan jana idea-idea baharu daripada pembelajaran mereka. Ini akan menggalakkan kreativiti dan inovasi. Inovasi menjadi kunci kepada pembelajaran negara maju. Kita pastinya tidak mahu ketinggalan.

Sejauh mana PBS mampu memberi impak positif kepada kumpulan sasar pelajar?

Kita harus faham ada beza antara konsep dan amalan dalam isu PBS. Secara konsep, PBS sesuai untuk kita laksanakan jika kita ingin menghargai potensi pelajar. Dulu kita bergantung sepenuhnya kepada peperiksaan. Kelemahan peperiksaan ialah pendekatan itu tidak mampu memberikan justifikasi sebenar potensi pelajar.

Peperiksaan hanya memberikan data pengukuran berkaitan tahap akademik semata-mata. Kita tidak mampu mengukur kebolehan dan bakat pelajar. Dulu tiada juga konsep menilai pembelajaran secara hands on dan praktik. Kini PBS membuka peluang kepada pelajar mengenali kebolehan masing-masing dan berusaha untuk meningkatkannya. Melalui PBS juga, pelajar akan mula tahu potensi dan bakat mereka. Ini juga merupakan asas mengapa PBS diperkenalkan.

Jika begitu mengapa ada suara-suara seolah-olah tidak boleh menerima sistem ini?

Kita juga kena akui secara amalannya PBS berhadapan dengan beberapa isu teknikal. Paling utama ialah beban tugas guru yang bertambah, sistem online yang tidak mampu menampung kapasiti dokumen secara pantas dan kefahaman konsep PBS yang kabur dalam kalangan pelajar dan ibu bapa. Guru juga ada yang kabur tentang apa dan mengapa PBS ini diperkenalkan. Tetapi sesuatu yang pasti, PBS jika berjaya dilaksanakan akan jauh lebih baik berbanding peperiksaan yang dilakukan secara tradisional selama ini.

Kita perlukan masa untuk menguasai kaedah penilaian baharu melalui PBS. Rakyat khususnya ibu bapa perlu memberi peluang pihak kerajaan melakukan perubahan. Impak paling besar melalui PBS ialah setiap individu pelajar akan mula dikenal pasti keupayaan, potensi dan kebolehan mereka. Setiap pelajar unik dan istimewa. Sistem pendidikan yang baik berupaya mencungkil potensi pelajar. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Sebab jika kita lihat, orientasi akademik meminggirkan keupayaan lain.

Sehingga hari ini, Prof. Howard Gardner telah mengenal pasti lapan potensi manusia. Saya yakin lebih banyak yang belum kita ketahui. Sistem peperiksaan tradisional hanya mengutamakan satu daripada lapan iaitu keupayaan intelek. Jika kerajaan ingin bangunkan masyarakat Malaysia yang kuat berinovasi, cara lama penilaian pelajar tidak akan menjayakan usaha ini. Kita harus berubah.

Bagaimana pula dengan kesediaan guru-guru dalam menerima sistem ini?

Saya yakin apabila PBS ditambah baik mulai bulan April lalu, isu beban guru dapat kita atasi. Namun, pada hakikatnya, kerajaan perlu mengakui masih banyak yang perlu dilakukan dalam perkembangan sistem PBS ini. Tetapi, kita juga sudah nampak kemajuannya dalam dua bulan yang lepas. Sebelum bulan April lalu, memang saya akui dan ada bukti-bukti jelas guru terbeban dengan pelaksanaan PBS. Dokumen pembuktian dan pengisian secara online jelas gagal dilakukan secara berkesan kerana terlalu banyak item serta keupayaan bahagian teknikal PBS menguruskannya. Hari ini, saya sudah tidak lagi mendengar keluhan besar yang disuarakan. Bukan tiada masalah, masih ada tetapi sedang dipertingkatkan.

Kementerian Pendidikan harus proaktif dan bersikap terbuka untuk terus menerima pandangan dan keluhan para guru. Yang penting, pada akhirnya sistem penilaian yang digunakan untuk PBS akan berjaya.

Antara kebimbangan lain juga adalah pengenalan PT3 sebagai komponen PBS. Apa pandangan Prof.?

Sebenarnya, ini juga adalah kebimbangan besar saya. Sejauh mana PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3) ini akan boleh diserap oleh pelajar? Apakah mereka faham prinsip pentaksiran yang holistik dan berterusan? Apakah mereka boleh menerima penilaian yang dilakukan oleh guru-guru mereka? Saya akui ini perkara kritikal dan memerlukan tumpuan daripada Kementerian Pendidikan dan guru-guru pula merupakan ejen yang utama.

Guru harus boleh menterjemahkan bagaimana PT3 ini akan dilaksanakan khususnya kepada kumpulan kohort pertama 2014 yang akan bermula esok.

Apakah sudah memadai kefahaman bagaimana proses ini akan dilaksanakan?

Saya fikir belum memadai. Usaha harus dipertingkatkan lagi. Dokumen standard pentaksiran yang dikeluarkan nampaknya ada kesan baiknya kepada kumpulan guru, tetapi ramai pelajar masih kabur. Sedangkan mereka adalah 'pelanggan' kepada PT3. Ibu bapa apatah lagi.

Apa sebenarnya kekaburan utama ibu bapa berhubung PBS dan PT3 ini?

Satu perkara yang harus difahami oleh masyarakat ialah PBS dan PT3 adalah satu mekanisme penilaian yang akan menumpukan kepada keupayaan bakat dan kebolehan pelajar.

Ibu bapa tentu gembira jika mereka tahu anak anak mereka mempunyai bakat tertentu sejak daripada usia muda. Pelajar juga akan lebih seronok belajar bila pembelajaran di sekolah disesuaikan dengan minat dan kecenderungan mereka.

Kerajaan juga akan menerima sumber manusia yang tahu apakah bakat dan kebolehan mereka. Ini akan menyokong negara yang mementing inovasi dalam perancangan pembangunan negara.

Prof. sendiri yakin sistem ini akan berjalan dengan jayanya?

Kerisauan saya ialah bila ada pihak yang menggunakan isu PBS dan PT3 sebagai bahan politik. Mereka ada yang menghasut masyarakat menolak PBS tanpa bukti yang jelas dan nyata. Ini bertujuan menimbulkan kebencian masyarakat kepada pihak kerajaan. Malangnya mereka tidak ada hujah yang kuat. Lebih kepada sekadar bermain emosi dan andaian semata-mata. Ini akan memburukkan keadaan dan akhirnya merugikan masa depan anak-anak kita yang mempunyai pelbagai potensi. Utusan/Pendidikan/20140701

Tags: pbs, pentaksiran
Subscribe

  • Reflection of current leaders

    The dramas played by the policy-maker of our country has now becoming absurdly ridiculous. Of late, Malaysians are in need of someone or…

  • March 2020 is not Ides of March

    History had made a mark in Malaysia as in March 2020, the country’s eighth prime minister took over as prime minister in order to “save…

  • Reflection of our current leaders

    I refer to ' Time to reflect on what is important' dated 3 Mar 2020. The dramas played by the policy-maker of our country has now becoming…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments