kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Teruja, seronok tunggu PT3

KUALA LUMPUR 1 Julai - Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang bermula semalam disambut pelajar dengan rasa 'teruja' lebih-lebih lagi bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi yang memerlukan mereka membuat kajian secara berkumpulan.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekolah-sekolah di seluruh negara mendapati kebanyakan pelajar sudah bersedia dengan sistem peperiksaan baharu ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Putih, Kuantan, Liow Yit Ching, 15, berkata, ujian PT3 amat berbeza dengan peperiksaan yang pernah diambilnya sebelum ini.

"Saya tidak pernah membuat tugasan yang kata cikgu seperti `di universiti' yang mana kami boleh mengumpul maklumat di luar waktu pengajian dan pembelajaran.

"Ini merupakan sesuatu yang baharu bagi saya. Kami juga dibenarkan membuat kajian secara berkumpulan tetapi hasil kerja mestilah sendiri," katanya ketika ditemui.

Rakannya, S. Kessvinder pula berkata, ujian ini tidak memerlukannya untuk menumpukan perhatian kepada pembelajaran untuk peperiksaan semata-mata.

"Kaedah ini tidak membebankan saya kerana sepanjang kajian ini dijalankan guru-guru akan terlibat serta membimbing sekali menyiapkan tugasan," katanya.

Sementara itu di JOHOR, pelajar tingkatan 3 di SMK Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Alez Syuraya Mohd. Hatta sudah bersedia dengan PT3 yang tidak bergantung sepenuhnya kepada peperiksaan lagi.

"PT3 menggunakan pendekatan yang berbeza, sebagai contoh, bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi, para pelajar perlu membuat ujian amali, projek, kajian lapangan atau kajian kes," katanya.

Bagi rakannya, S. Ishavini semua pelajar di sekolahnya sudah diberikan penerangan yang jelas tentang sistem pentaksiran baharu itu.

"Bagi saya, PT3 ini amat bagus kerana membuatkan pelajar lebih fokus dalam pembelajaran. Saya berharap dapat keputusan yang cemerlang nanti," katanya.

Di PERAK, seorang pelajar Orang Asli di Sekolah Menengah Sultan Tajul Ariffin, Manong, Zurenzi a/l Zulkifli memberitahu, PT3 yang akan bermula hari ini, memberi lebih ruang kepadanya untuk bergiat aktif dalam aktiviti luar di sekolah kerana ia juga termasuk dalam penilaian sistem baharu itu.

Katanya, cara pembelajaran sedemikian membuatkan pelajar merasa lebih selesa dan tidak terlalu tertekan.

"Jadi sistem baharu ini membolehkan semua itu dilakukan secara seimbang. Jika tidak mampu menjawab peperiksaan dengan baik sekalipun, pelajar masih boleh bergantung kepada penilaian aspek lain yang dibuat pihak sekolah," katanya.

Sementara itu di SARAWAK, pelajar tingkatan tiga berketurunan Iban dari SMK Batu Lintang, Kuching, Clara Jane berkata, walaupun banyak perubahan format dalam sistem itu namun PT3 dilihat tidak mengganggu cara mereka belajar.

"Walaupun memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan PT3, guru-guru banyak membantu, memudahkan lagi kami memahami sistem baharu ini," katanya ketika ditemui.

Darshen Ambikapathi pula melihat PT3 yang diperkenalkan bagi menggantikan PMR lebih memberi tumpuan kepada kefahaman dan hafalan pelajar.

"PT3 bertujuan meningkatkan minda dan kemahiran berfikir kita, di samping dapat mengenal pasti kelemahan yang ada daripada awal lagi.

"Guru dapat mengenal pasti kelemahan pelajar dan kita dapat memperbaikinya dalam PT3 bagi mendapat keputusan yang lebih baik," ujarnya.

Siti Nurul Abdilah pula berkata, ujian baharu itu dilihat diperkenalkan bagi membolehkan pelajar menjadi lebih baik bukan hanya daripada segi akademik malah kemahiran lain.

"PT3 dikatakan dapat membuatkan pelajar untuk berfikir pada tahap yang tinggi lagi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

"Pelajar tidak hanya dinilai pada peperiksaan tetapi juga tugasan dan kajian lapangan," ujarnya.

Seorang lagi pelajar Matteus Lim berkata, sistem penilaian mengikut band akan membolehkan setiap pelajar mengetahui mereka berada di tahap mana.

"Pelajar boleh memperbaiki kelemahan diri agar mendapat keputusan yang lebih baik walaupun memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan ujian baharu ini," katanya.   Utusan/Pendidikan/20140702

Tags: pbs, pentaksiran
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments