kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Salah Presiden Petronaskah?

PENULIS sebenarnya agak terkejut dengan respons ekstrem, sedikit melampau dan beremosi beberapa pihak dengan kenyataan Presiden Petronas baru-baru ini. Pada pandangan penulis, pandangan sesiapapun, baik beliau merupakan seorang Presiden sebuah syarikat minyak yang kita bangga-banggakan, mahupun pandangan seorang pemandu teksi, ia perlu diraikan sebagai 'pandangan' dan pendapat semata-mata.

Apakah kita ini sudah menjadi masyarakat yang begitu sensitif dengan kenyataan yang bersifat umum dan ikhlas? Apakah kita sama sekali tidak boleh berbeza pandangan dalam semua perkara? Sampai bila kita mahu menjadi masyarakat yang menerima semuanya sebagai betul dan tepat pada mata kita, sekali gus tidak meraikan pandangan orang lain?

Sebagai seorang yang diberikan amanah untuk menjaga amanah negara, Presiden Petronas selayaknya diberikan sedikit ruang untuk memberikan pandangan dan pendapat. Mungkin, adakalanya kenyataan yang diberikan agak kasar, namun itu sahajalah mungkin caranya untuk memberikan sedikit kesedaran bahawa mengurus Petronas bukan semudah mengurus sebuah NGO!

Sebagai seorang Melayu, penulis merasakan maki-hamun dan celaan bukanlah penyelesaian masalah. Memang penyakit orang kita, ada sedikit masalah, orang tersebut mesti meletakkan jawatan. Kalau beberapa minggu lalu pentadbiran Esscom menjadi sasaran, beberapa hari kebelakangan ini, CEO Petronas pula menjadi mangsanya.

Pemimpin Perkasa dan khususnya Ketua Kluster Minyak dan Gasnya patut bertanya pada diri mereka sendiri, apakah mereka sudah menyumbang membina spill-over effect kepada usaha membangun ekonomi Melayu? Setakat mana? Mohon dinyatakan berapa syarikat yang benar-benar sudah dibangunkan Perkasa dengan jayanya di peringkat dunia, kalau tidak pun di dalam senarai Fortune 500.

Membangunkan ekonomi Melayu bukan dengan gegak gempita 'kenyataan akhbar' yang longgar adab dan adat Melayu. Mempermainkan perkataan 'ini bukan bapak dia punya', hanya menampilkan akhlak yang rendah dan perjuangan tanpa fakta dan asas.

Penulis secara kebetulan pernah diberikan ruang yang sekejap untuk bertugas di Petronas. Pemikiran penulis mengenai daya pengurusan, tahap profesionalisme, kesungguhan, ketajaman akal anak Malaysia di dalam Petronas adalah di tahap yang hampir luar biasa. Untuk Petronas mengekalkan tempatnya di senarai syarikat terbaik dunia tidak datang dengan 'kenyataan akhbar' Perkasa.

Harus penulis 'garis-bawahkan' perkataan 'anak Malaysia' itu agar kita tidak sewenang-wenangnya menggunakan nama Melayu atas nama keyakinan yang melampau-lampau. Ya, Petronas dibangunkan oleh anak Malaysia. Kalaupun ada kakitangan berbangsa bukan Melayu di Petronas, mereka meletakkan 'Malaysia' sebagai keutamaan. Minyak dan gas adalah 'sumber nasional' (national resource).

Merujuk kejayaan Petronas selama ini sebagai kehebatan Melayu dan bumiputera juga perlu diperhalusi sebaiknya. Ramai sahaja anak-anak Malaysia pelbagai keturunan, baik dari Sabah dan Sarawak yang menyumbang kepada kejayaan Petronas selama ini. Kehadiran mereka juga memberi makna kepada pengukuhan Petronas di segenap peringkat.

Pada pandangan penulis, kenyataan Presiden Petronas tempoh hari itu bukan berniat menidakkan Melayu. Ia hanya ingatan kepada ahli ekonomi dan usahawan Melayu bahawa mereka perlu bersaing di pentas yang terbuka. Petronas mesti diberikan 'kemerdekaan' untuk membuat keputusan pelaburan yang dirasakan tepat dan mendatangkan 'nilai jangka panjang' kepada syarikat dan akhirnya negara secara keseluruhannya.

Komitmen Perdana Menteri untuk membenarkan Petronas diberikan ruang sebagai entiti ekonomi sebenar ini diberikan dalam pertemuan dengan kakitangan sebelum PRU yang lalu. Seingat penulis, Perdana Menteri sendiri mahukan 'keputusan profesional' dilakukan oleh mereka yang berada di dalam bidangnya.

Kita boleh memberikan pandangan mengenai kelemahan Petronas, khususnya dalam membina usahawan dan pemain ekonomi Melayu. Apakah 'persepsi' itu tepat dan betul? Pernahkah kita bertanya bagaimana Program Pembangunan Vendor (VDP) membina kumpulan usahawan Melayu yang berwibawa? Apakah kita ada angka yang tepat dan sahih?

Menyerang dengan persepsi memang mudah. Memaki hamun dan mencela tanpa asas juga perkara mudah. Membuat page untuk mendesak Presiden Petronas pun bukannya kerja susah. Jagoan siber berbayar mampu melakukannya sekelip mata. Tapi apakah ada untungnya kepada jatidiri orang Melayu dan anak Malaysia? Puaskah hati kita apabila melihat seorang lagi profesional Melayu diserang tanpa had dan tanpa batas?

Industri minyak dan gas adalah salah satu teras NKEA Malaysia. Industri bukan industri ribuan dan jutaan. Secara keseluruhan, industri minyak dan gas dijangka mendatangkan Pendapatan Kasar Nasional (GNI) sebanyak RM131.4 bilion pada tahun 2020. Jika industri paling strategik seperti ini mahu dijadikan sebagai 'alat NGO', kita sebenarnya sedang berada di dalam pengurusan ekonomi yang sukar.

Petronas mungkin satu-satunya syarikat minyak dan gas di dalam senarai Fortune 500 yang perlu mewujudkan keseimbangan di antara melakar kejayaan besar ekonomi - dan menjaga 'sensitiviti' kenegaraan yang ada bersamanya. Mungkin. Syarikat seperti Shell, ExxonMobil, Sinopec, CNPC, Gazprom, Chevro, ConocoPhillips - hanya punya satu tujuan, membuat keuntungan maksima. Angkubah 'bina negara' tidak ada pada mereka.

Apa salahnya kita memberikan sedikit ruang untuk mereka yang profesional memberikan pandangan menurut perspektif mereka. Janganlah menganggap kenyataan yang tidak sealiran dengan kita sebagai 'pemikiran songsang' yang tidak patritotik dan menjatuhkan negara.

Penulis boleh bersetuju bahawa Fortune 500 bukanlah satu-satunya angkubah menilai kejayaan Petronas. Namun kita juga harus mengakui, cabaran mewujudkan keseimbangan di antara usaha memperkasa syarikat, memaksimumkan nilai minyak dan gas; dengan cabaran mengurus sensitiviti masyarakat itu bukanlah usaha yang mudah.

Petronas perlu menempuh banyak lagi cabaran masa hadapan, khusus untuk memastikan sumber semulajadi Malaysia diurus dengan sebaiknya. Cabaran teknologi industri minyak dan gas juga bukanlah perkara yang boleh diusahakan sekelip mata. Komitmen mengeluarkan nilai daripada medan-medan minyak kecil memerlukan pelaburan yang bukan sedikit.

Penulis sama sekali tidak mempertahan Petronas di atas semangat sentimental bekas kakitangan. Itu bukan isu. Yang lebih penting adalah keperluan kita menilai isu dengan lebih jujur dan tidak beremosi. Ruang berbeza pendapat tidak semestinya diakhiri dengan 'engkau mesti letak jawatan'.

Pasti ada kaedah lebih baik dalam kita menyantuni isu dan permasalahan. Berikan merit kepada setiap yang diperkatakan dengan hati yang terbuka. Jaga adab dan tatasusila. Jangan sampai kita memalukan bangsa dengan kecenderungan maki-hamun seolah-olah kita yang paling bijak dan pejuang sebenar Melayu. Zaman sudah berubah. BEKAS KAKITANGAN PETRONAS, Keramat, Kuala Lumpur Utusan/Forum/20140702

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments