kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Isu-Isu Akhbar Cina ~ MCA , PTPN

PELUANG TERAKHIR MCA


AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 30 Jun 2014 meramalkan masa depan MCA akan musnah sekiranya parti itu tidak memanfaatkan dengan sebaik-baiknya peluang menyertai semula barisan Kabinet.

Artikel bertajuk 'Peluang terakhir untuk MCA' yang merupakan pandangan pengarang akhbar berkenaan disiarkan dalam ruangan Pendapat Yan Lun halaman W3.

Dua hari selepas menyertai semula Kabinet, kekecohan berlaku dalam MCA apabila Presiden parti, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dilantik sebagai Menteri Pengangkutan baharu dijadikan sasaran serangan oleh bekas Presiden, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.

Dalam satu perjumpaan dengan perwakilan MCA Bahagian Batu Pahat, Johor pada 27 Jun lalu, Soi Lek menuduh Presiden enggan memperkenan anaknya yang juga Naib Presiden parti, Datuk Chua Tee Yong untuk berada dalam barisan Kabinet.

Soi Lek menafikan sama sekali portfolio Timbalan Menteri Kewangan yang kini disandang Tee Yong adalah hasil cadangan nama diberikan Tiong Lai kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ramai melihat tuduhan yang dilemparkan Soi Lek terhadap Tiong Lai ini tidak lebih sekadar satu usaha untuk menimbulkan semula perbalahan dalaman MCA.

Turut meluahkan perasaan tidak berpuas hati ialah bekas ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA, Loh Seng Kok yang mahu Tiong Lai secara terbuka menjelaskan pertukaran beberapa jawatan dalam parti yang dibuat tanpa perbincangan dan pengetahuan individu berkenaan.

Ia termasuk pertukaran jawatan Seng Kok sendiri sebagai Setiausaha Agung Koperasi MCA dan jawatan Koh Nai Kwong daripada ahli CC ke jawatan timbalan naib presiden.

Seng Kok mendakwa, setiap kali rombakan dilakukan biasanya akan dibincangkan di peringkat dalaman, namun kepemimpinan sekarang langsung tidak memaklumkannya termasuk menukar beberapa juruaudit profesional MCA.

Tenteramkan dahulu isu dalaman MCA, barulah parti boleh mengorak langkah keluar untuk menghadapi musuh.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan PRU 2013, MCA tewas teruk umpama sebuah gunung yang tumbang.

Perebutan kuasa dalam MCA dikenal pasti punca sebenar kenapa parti itu kalah teruk ketika dua PRU sebelum ini. Sekarang MCA masih lagi mahu bercakaran sesama sendiri. Adakah pada PRU akan datang parti itu masih berpeluang untuk bangkit kembali?

Ketika zaman kegemilangannya, MCA mempunyai empat jawatan menteri dan 13 jawatan timbalan menteri, tetapi kini merudum apabila hanya tinggal dua jawatan menteri dan tiga jawatan timbalan menteri.

MCA kini berada dalam kedudukan yang amat genting. Jika ia masih dibelenggu dengan sifat tidak sedarkan diri, sudah pasti parti berkenaan akan jatuh lebih teruk. Orang Cina yang akan menyokong MCA akhirnya tidak sampai 15 peratus.

Penyelesaian terbaik ialah kepemimpinan MCA perlu bersatu hati. Seperti pepatah Cina menyebut, sudah tahu bersalah mengaku sahajalah.

PRU akan datang adalah peluang terakhir MCA. Jika dalam parti masih berpuak-puak, sudah pasti tidak lama lagi MCA akan menjadi sebuah kata nama dalam buku sejarah. Tidak akan lagi ada orang yang memandang MCA dengan perasaan simpati.

Semasa Najib umumkan tambahan anggota Kabinet, beliau secara berterus-terang berkata, langkah itu bertujuan membawa masuk wakil MCA walaupun bilangan jawatan menteri yang parti itu peroleh tidak begitu memberangsangkan.

MCA sendiri telah memilih jalan untuk masuk ke dalam Kabinet. Buatlah bersungguh-sungguh yang mana patut dan jangan hampakan tanggungjawab yang diberikan.

HUKUM PEMINJAM TIDAK BAYAR HUTANG

ISU 180,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih lagi tidak membayar hutang mereka setelah mendapat pekerjaan turut diulas akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 25 Jun 2014.

Artikel yang merupakan pendapat pengarang akhbar itu bertajuk 'Hukuman keras terhadap mahasiswa tidak bayar hutang pinjaman' disiarkan dalam ruangan Pendapat Yan Lun halaman W3.

Menurut satu bidalan, mereka yang memulangkan pinjaman ialah manusia mulia, manakala mereka yang tidak membayar pinjaman ialah manusia licik.

Mereka yang tidak memulangkan wang yang dipinjam daripada agensi kerajaan sudah pastinya manusia yang sangat licik.

Hari ini, ramai cerdik pandai setelah berjaya menamatkan pengajian dengan pinjaman PTPTN cuba mencari pelbagai alasan untuk tidak memulangkan wang berkenaan sehingga menjejaskan peluang orang lain untuk membuat pinjaman.

Cerdik pandai yang bersikap seperti ini boleh diumpamakan seperti mereka yang menuntut ilmu sampah dalam longkang!

Menurut laporan PTPTN, jumlah keseluruhan wang yang belum dibayar adalah sebanyak RM1.3 bilion yang melibatkan 19 peratus daripada keseluruhan peminjam.

Sikap graduan tidak mahu melunaskan bayaran pinjaman menyebabkan enam bulan terakhir tahun ini, lebih 50,000 mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tidak akan mendapat wang pinjaman PTPTN.

Sebenarnya isu ini telah berlarutan begitu lama. Sebelum ini pihak PTPTN pernah mencadangkan supaya pelajar yang tidak membayar kembali pinjaman disenaraihitamkan dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS) bagi memaksa mereka melunaskan hutang.

Bagaimanapun, kerana pelbagai sebab kerajaan mengabaikan cadangan itu sehingga menyebabkan PTPTN berada dalam keadaan yang meruncing sekarang.

Oleh itu, kerajaan perlu memikirkan alternatif lain bagi membantu PTPTN termasuk mengkaji cadangan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) agar majikan dibenarkan memotong gaji pekerja setiap bulan bagi melunaskan hutang berkenaan.

Sudah sampai masanya PTPTN menyenaraikan di dalam CCRIS dan menghadapkan ke mahkamah peminjam yang masih liat membayar hutang walaupun telah mendapat pekerjaan.

Kita tidak boleh berlembut dengan orang yang mempermainkan tanggungjawab mereka untuk membayar kembali pinjaman kerana tindakan itu telah menjejaskan hak pemohon baharu.

Jika kita terus memanjakan individu yang liat untuk membayar hutang, lebih banyak lagi hak orang lain yang mereka akan rampas.

Kepada peminjam yang benar-benar tidak mampu, mereka hendaklah diberi peluang untuk membayar balik hutang dalam jumlah paling minimum setiap bulan walaupun tempoh pembayaran balik pinjaman akan menjadi lebih panjang. Utusan/Rencana/20140703

Tags: mca, ptpn
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments