KUALA LUMPUR 27 Jun - Konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) perlu dihayati semua stake holders yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaannya bagi merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan modal insan berdaya saing dan holistik.
Menurut Ketua Sektor, Sektor Pengendalian Peperiksaan Menengah Rendah, Johara Abdul Wahab, pihak terbabit dimaksudkan termasuk pentadbir sekolah, guru sekolah, ibu bapa, pihak berkepentingan selain murid sendiri.
Setiap daripada mereka mempunyai peranan masing-masing dalam memastikan PBS dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan optimum," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagi pentadbir sekolah kata Johara, peranan mereka dilihat penting dalam menyokong program pembangunan staf secara berterusan yang merangkumi aspek pengetahuan dan kaedah pelaksanaan Pentaksiran Sekolah.
Selain itu katanya, pentadbir sekolah perlu menyediakan peralatan dan bahan selain kemudahan kepada guru sebagai sokongan moral kepada mereka untuk melaksanakan Pentaksiran Sekolah.
Pentadbir sekolah merujuk guru besar dan pengetua perlu menjalankan pementoran, pemantauan, penyelarasan dan pengesanan agar guru melaksanakan PBS mengikut garis panduan yang ditetapkan Lembaga Peperiksaan, katanya.
Sementara itu, Johara berkata, Pentaksiran Sekolah yang dilaksanakan sepenuhnya oleh guru berperanan memantau, mentaksir dan melapor perkembangan pembelajaran setiap pelajar.
Antara tugas penting guru katanya, mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pelajar dalam pembelajaran untuk tindakan susulan yang berkesan.
Guru perlu mendapatkan profil murid atau gambaran tentang perkembangan pembelajaran pelajar bagi membolehkan mereka merancang pengajaran yang lebih berkesan melalui program intervensi atau pemulihan.
Dalam hal ini, katanya, pihak berkepentingan perlu mengetahui dan memahami transformasi pendidikan dalam aspek pentaksiran.
Sebagai ibu bapa kata Johara, mereka perlu menggalakkan anak-anak mengambil bahagian dalam aktiviti PBS selain memastikan mereka bertanggungjawab melaksanakan tugasan pentaksiran mengikut prosedur ditetapkan.
Paling penting, ibu bapa harus bersikap terbuka terutama dalam memahami dan mengiktiraf kewujudan perbezaan individu yang membabitkan anak mereka.
Selain itu, ibu bapa juga tidak boleh alpa sebaliknya harus mengambil tahu perkembangan pembelajaran anak melalui komunikasi dengan mereka," katanya.
Menurut Johara, pelaksanaan PBS ternyata memberi fokus kepada pelajar yang mana mereka adalah komponen terpenting dalam melibatkan diri dengan aktiviti pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran.
Sebaiknya pelajar melaksa-nakan tugasan pentaksiran mengikut kemampuan masing-masing selain mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri berdasarkan maklum balas daripada guru dan memperbaiki prestasi.
Mereka harus mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada guru atau rakan sebaya cara memperbaiki pembelajaran dan prestasi," katanya.
Utusan/Pendidikan/20140628