kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

PBS lengkapi pelajar depani globalisasi

PELAKSANAAN Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bermula 1 April lalu di semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan termasuk sekolah swasta yang menggunakan kurikulum kebangsaan.

Ia dilaksanakan setelah Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Disember 2010 bersetuju supaya PBS dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program transformasi pendidikan.



Dr. Sulaiman Hashim
Timbalan Pengarah (Operasi) Lembaga Peperiksaan

Pengoperasian PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah pada sesi persekolahan tahun 2011 dan sekolah menengah pada sesi persekolahan tahun 2012.

Ketika awal, pelaksanaan PBS mencetus keresahan di kalangan masyarakat khususnya guru dan ibu bapa yang masih belum yakin selain tidak jelas hala tuju PBS pada masa depan.

Wartawan Utusan, RAJMAH HASAN dan jurugambar, SHIDDIEQIIN ZON menemu bual Timbalan Pengarah (Operasi) Lembaga Peperiksaan, Dr. Sulaiman Hashim bagi mendapatkan gambaran sebenar penerimaan PBS setakat ini.

UTUSAN: Apa itu PBS dan bagaimana ia beroperasi?

DR. SULAIMAN: PBS adalah dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh (holistic) terhadap pencapaian murid yang terangkum menerusi empat komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Pusat (PP).

Menerusi komponen PS, pentadbiran dilaksana guru sebagai sebahagian daripada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah. Ia melibatkan pentaksiran sebagai pembelajaran, pentadbiran untuk pembelajaran dan pentaksiran tentang pembelajaran.

Ia boleh dilaksanakan menerusi pemerhatian atau kajian berbentuk bulanan, penggal dan tahunan termasuk apa-apa bentuk pentaksiran yang menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis, projek, persembahan, demonstrasi, kajian lapangan atau kajian kes.

Dari aspek pentaksiran PAJSK pula, pentadbiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah oleh guru untuk mengukur dan menilai prestasi, penglibatan dan penyertaan murid dalam aktiviti jasmani, kesihatan, sukan dan kokurikulum.

Pentaksiran PPsi yang dilaksanakan di peringkat sekolah untuk mengukur kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid.

Bagi aspek PP pula, pentaksiran yang mana pihak sekolah mentadbir instrumen serta mentaksir, memberi skor terhadap respons murid berdasarkan instrumen dan panduan penskoran yang setara disediakan oleh Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan.

Pendek kata, PBS merupakan sistem pentaksiran yang akan digunakan bagi menjamin pencapaian seseorang murid supaya tidak lagi dinilai berasaskan peperiksaan semata-mata.

Benarkah ketika awal pelaksanaan PBS mendapat tentangan daripada guru. Dan apa yang telah dilakukan bagi meningkatkan keyakinan mereka menjayakan PBS?

DR. SULAIMAN: Tidak dinafikan ada sedikit kelonggaran di sana sini ketika awal pelaksanaannya.

Bagi memantapkan pelaksanaan PBS, kita telah melaksanakan kajian semula serta melakukan beberapa penambahbaikan terhadap pelaksanaannya agar menjadi lebih mesra guna.

Antara penambahbaikan yang dilakukan termasuk Dokumen Standard Prestasi (DSP) diganti menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid yang lebih fleksibel bagi membantu guru untuk beri fokus terhadap PdP serta merancang pentaksiran se-suai untuk murid.

Menerusi DSP ini, guru hendaklah mengajar menggunakan kurikulum kebangsaan yang dibangunkan berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu dikuasai oleh murid.

Guru seterusnya mentaksir perkembangan pembelajaran murid berdasarkan pemerhatian dan penilaian mereka sendiri dengan merujuk kepada Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid tersebut.

Seterusnya penambahbaikan Fail Perkembangan Murid (FPM), Fail Showcase (FS) dan Rekod Transit yang mana guru tidak perlu lagi menyediakan FPM, FS dan melengkapkan Rekod Transit. Perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut keperluan kreativiti dan kesesuaian masa guru.

Penambahbaikan juga dibuat daripada aspek Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) yang mana guru tidak lagi perlu mengisi data secara online yang menyukarkan mereka selama ini. Sebaliknya guru boleh merekod perkembangan pembelajaran murid secara offline atau secara normal mengikut ke­sesuaian guru.

Setakat ini kira-kira 6,000 guru telah mengikuti kursus latihan PBD anjuran Lembaga Peperiksaan dan kita sasarkan lebih 60,000 akan mengikuti kursus sama. Alhamdulillah setakat ini guru-guru mula menunjukkan reaksi positif untuk sama-sama menjayakan PBS biarpun masih ada beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan lagi dari semasa ke semasa.

Benarkah PBS tidak mementingkan pe­periksaan dan itu antara kerisauan ibu bapa?

DR. SULAIMAN: Tidak benar sama sekali. Biarpun tidak melaksanakan sistem peperik­saan awam berpusat seperti mana PMR, PBS sebaliknya menekankan pentaksiran pelajar yang dibuat secara berterusan dan tidak bersifat terlalu berorientasikan peperiksaan. Walaupun tiada peperiksaan awam sepanjang dua tahun semasa di tingkatan satu dan dua, setiap pelajar masih dinilai kemampuan mencerap ilmu berdasarkan kemampuan mereka memahami setiap topik diajar.

Di sini, tugas guru mengenal pasti jika ada antara pelajar yang tidak dapat mengikuti pembelajaran dan mereka akan diberi perhatian sama menerusi program intervensi atau pemulihan. Berbanding Penilaian Menengah Rendah (PMR), peperiksaan awam dibuat secara ‘bermusim’ dan pelajar cenderung untuk menghafal untuk berjaya.

PBS menekankan kemahiran komunikasi dan kemahiran. Hakikatnya, pelajar PBS daripada segi mental dan fizikal akan lebih bersedia untuk menghadapi dunia globalisasi pada masa depan.

Tidakkah tindakan memansuhkan PMR yang telah dilaksanakan dari tahun 1993 hingga 2013 itu satu usaha terburu-buru apabila menggantikannya dengan PBS yang hanya diperkenalkan dua tahun lalu?

DR. SULAIMAN: Kerajaan sebenarnya tidak tergesa-gesa dalam melaksanakan se­suatu dasar seperti cadangan kemungkinan supaya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan PMR dimansuhkan.

Hakikatnya, kajian mengenai PBS telah lama dibuat iaitu sejak tahun 2007 lagi kementerian sudah ada pasukan yang meneliti isu berbangkit.

Lagipun, jika melihat kepada perkembangan ilmu di dunia, banyak pakar mengatakan Malaysia sepatutnya sudah lama me­laksanakan PBS kerana sistem sama telah dilaksanakan oleh kebanyakan negara maju dan mereka telah lama menghapuskan peperiksaan berpusat yang mengukur pencapaian dalam pembelajaran bilik da­rjah untuk murid sekolah rendah dan menengah.

Jika mahu melahirkan modal insan berdaya saing pada masa depan, Malaysia harus nekad meneruskan PBS. Biarpun keberkesanannya masih belum terbukti, sekurang-kurangnya masyarakat perlu menyokong bagi menjayakan pelaksanaan PBS. Utusan/Pendidikan/20140628

Tags: pbs
Subscribe

  • Pelajar Guru Dewasa

    Sama seperti belajar, mengajar adalah merupakan salah satu kerja dan usaha keras bahkan mungkin lebih sukar. Walaupun mengajar anak kecil…

  • Pelajar Dewasa

    Mengajar pelajar dewasa boleh menjadi sangat bermanfaat, tetapi juga sangat mencabar. Kita tidak boleh lupa bahawa kita berurusan dengan…

  • Jiwa Berani

    Saudara Pengarang Dalam perjuangan kehidupan, maruah adalah lebih bermakna "Terdapat dua jalan menyimpang dalam hutan dan saya mengambil…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments