kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ibu bapa yakin anak mereka lebih cemerlang

KUALA LUMPUR 29 Jun - Golongan ibu bapa rata-ratanya teruja dengan pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai esok, kerana meyakini sistem penilaian pelajar yang baru diperkenalkan itu mampu membantu anak-anak mereka lebih berminat dengan pembelajaran.

DI ALOR SETAR, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sri Gunung, Zubair Hussain, 50, yakin pelaksanaan sistem pentaksiran baharu itu akan turut membangkitkan minat para pelajar yang lemah dalam bidang akademik untuk ke sekolah menuntut ilmu.



SITI Nur Zakirah Mohd. Zaki, pelajar SMK Perempuan Bandaraya (kanan), Chia Jun Hang, pelajar SMK Maxwell (tengah) dan Y. Vindhini dari SMK (P) Taman Petaling antara yang terlibat dengan pelaksanaan PT3.

"Daripada apa yang saya faham, para pelajar akan dinilai mengikut kemampuan mereka dalam bidang tertentu dan bukannya akademik semata-mata.

"Sudah tentu mereka akan berusaha bersungguh-sungguh dalam bidang yang mereka minati untuk mendapat markah yang baik.

"Setidak-tidaknya mereka yang lemah dalam akademik tidak bosan untuk ke sekolah," katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau seperti ibu bapa lain bagaimanapun berharap sesi penerangan mengenai konsep ini diperbanyakkan bagi menghilangkan keraguan terhadap kebaikan PBS.

Bagi kebanyakan generasi lama katanya, mungkin ada yang tidak bersetuju dengan PBS kerana beranggapan sistem penilaian pelajar berasaskan peperiksaan berpusat yang diamalkan selama ini merupakan cara terbaik untuk menilai pelajar.

"Namun kita perlu akur dengan peredaran masa. Apabila kementerian sudah buat keputusan begini yang tentunya dinilai oleh para pakar, saya fikir mereka perlu diberi peluang untuk membuktikannya," ujarnya.

Sementara itu, seorang bapa, Loganathan Rajendra, 44, turut bersetuju PT3 yang merupakan salah satu segmen pentaksiran di bawah Pentaksiran Bersepadu Sekolah (PBS) mampu mendidik individu menjadi lebih berkemahiran dalam menjalani kehidupan.

"Tidak guna kita melahirkan individu yang cemerlang di atas kertas peperiksaan tetapi akhirnya gagal berkomunikasi dengan baik. Saya fikir PBS dan PT3 mampu memberi jawapan kepada masalah itu selain mendidik anak-anak supaya kerap berfikir bagi menyelesaikan masalah dan isu.

"Namun cara bagaimana ia diimplementasi perlu diperjelaskan," katanya.

Di SARAWAK, seorang bapa, Abdul Aziz Harun, 49, berkata, dia memang teruja dengan pelaksanaan PBS dan PT3 setelah dimaklumkan sistem penilaian terbaru itu memberi banyak kebaikan kepada pelajar.

"Saya mempunyai seorang anak yang akan memasuki tingkatan tiga tahun depan dan menjadi antara kumpulan pelajar terawal di negara ini bakal menggunakan PBS dan PT3.

"Memandangkan saya sebagai ibu bapa belum memahami sepenuhnya sistem itu, saya berharap pihak sekolah dapat memberikan taklimat dan penerangan kepada ibu bapa agar lebih memahami PBS dan PT3," katanya.

Seorang ibu, Teo Siok Cheng, 36, turut menyokong penuh sistem penilaian baharu diperkenalkan itu kerana yakin mampu memberi kebaikan kepada anaknya dalam pembelajaran.

"Anak perempuan saya, Celine Chang Li Xin akan memasuki Tingkatan 3 tahun depan dan pasti dia berasa gembira kerana tidak perlu lagi berasa terbeban untuk menduduki PMR," katanya.

Di IPOH, pekerja swasta, Mardiati Rahim, 40, berkata, dia dimaklumkan oleh anaknya yang PT3 ini lebih baik bukan sahaja kerana tidak lagi berorentasikan peperiksaan tetapi corak penilaiannya lebih mudah kerana memberi ruang dan peluang kepada pihak sekolah menilai sendiri pelajar mereka.

"Pada saya ia amat baik kerana sebelum ini ibu bapa memberi penekanan berlebihan terhadap peperiksaan menyebabkan aktiviti kokurikulum anak mereka terabai sedangkan sudah terbukti aktiviti tersebut dapat membentuk dan membina keupayaan pelajar selain mengembangkan bakat kepimpinan, membina sahsiah dan keperibadian mereka," katanya.

Pengurus Jualan, Nur Airini Norzid, 40, pula berkata, selain guru dan pelajar, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memastikan kecemerlangan seseorang pelajar tersebut.

Justeru, dia berharap ibu bapa didedahkan dengan setiap program yang diikuti pelajar di sekolah termasuk sistem baru yang ingin dilaksanakan kerajaan supaya golongan itu tahu peranan yang patut mereka laksanakan.

Di SHAH ALAM, seorang bapa yang mempunyai anak di Sekolah Menengah Seksyen 24 (2), Shah Alam, Dr. Faizal Md. Aris berkata, PT3 perlu diterima oleh semua ibu bapa kerana sistem pendidikan berubah selaras dengan perkembangan semasa.

Jelasnya, sebagai ibu bapa atau penjaga, mereka perlu benar-benar memahami bagaimana perubahan sistem pendidikan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan mengikut keperluan dan tuntutan masa depan.

"Ada pihak yang masih keliru dengan perubahan dalam sistem penilaian pelajar tanpa peperiksaan berpusat seperti PMR kerana mereka sudah terbiasa dengannya.

"Di bawah PT3, bukan pemeriksa kertas peperiksaan PMR yang menilai prestasi pelajar Tingkatan 3 tetapi guru-guru mereka sendiri meliputi semua subjek termasuk Sivik dan Pendidikan Seni," ujarnya.

Tambahnya, ibu bapa harus memahami bahawa PT3 adalah peperiksaan di bawah PBS yang disediakan oleh pihak sekolah sebagai penilaian untuk memilih pelajar ke sekolah berasrama penuh selepas tingkatan tiga.

Di PULAU PINANG pula, peniaga kecil, Abdul Aziz Man, 54, yakin matlamat pelaksanaan PBS dan PT3 adalah untuk membantu meningkatkan mutu pendidikan negara.

Bapa kepada seorang anak yang bakal menduduki PT3 tahun hadapan ini berkata, sebagai rakyat, dia meletakkan kepercayaan penuh kepada Kementerian Pendidikan dalam usaha mencorak dan memajukan taraf pembelajaran anak-anak generasi akan datang.

Sementara itu, Pembantu Hal Ehwal Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Azizi Jasa, 43, menyokong usaha kerajaan melakukan perubahan dalam sistem pendidikan yang disifatkan perlu ke arah mencapai negara maju pada 2020.



ANGELINA SINYANG, ROKIAH ABDULLAH, ABDUL RAZAK IDRIS, MOHD. SAHRUL MOHD. dan AZIZI MAJID Utusan/Pendidikan/20140630
Tags: pbs
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments